Followers

Tuesday, December 21, 2010

Cuti! Yeay!


Minggu ini saya terpaksa bekerja lebih masa. Kenapa? Sebab minggu depan saya akan bercuti hingga ke 2.1.2011. Saya akan kembali ke pejabat pada 3.1.2011. Ikutkan hati saya malas nak bercuti lama-lama tapi bos 'paksa' saya habiskan cuti saya yang masih berbaki 15 hari itu. Banyakkan? Jadi hendak tak hendak saya terpaksalah bercuti minggu hadapan.
Semalam saya sempat merangka aktiviti yang akan dilakukan sepanjang masa bercuti itu. Yang pasti tidak ada acara 'cuti-cuti Malaysia ataupun antarabangsa' kali ini. Saya akan ke rumah mak su saya di Klang dan habiskan waktu di sana dengan membaca novel dan menulis. Ini juga bermakna tidak ada internet untuk saya selama seminggu. Seminggulah saya 'terputus' hubungan dengan dunia online. Harap-harap tidak ada peristiwa hangat akan berlaku dalam masa tu nanti. :P
Malam ini saya akan mula pack novel yang bakal dibaca nanti. Senarai paling atas ialah Planet Planet Cinta yang terpaksa saya sorok dari pandangan mata saya sekarang demi mengelakkan diri dari terbaca. Saya perlu masa yang betul-betul senggang untuk mengembara ke Jupiter. Next on my list is, Semanis Coklat. Selain tu ada tiga buku lagi yang bakal dibaca. Harap-harap semuanya selesai dibaca masa cuti ini. Tahun depan mahu cari buku baru pula!
Cuti ini juga akan saya gunakan untuk habiskan 2 buah draft cerita. Ini pun saya harap dapat disiapkan sebelum tahun baru menjelang sebab selepas tu saya nak mulakan proses editing. Saya dah letak target, tahun depan sekurang-kurangnya saya nak siapkan 3 manuskrip. Doakan target saya tercapai ye? :)

***

Oh ya, kepada pembaca blog e-novel Kasih Ilham ada sesuatu yang perlu saya beritahu. Tahun baru ini saya akan buka kembali blog itu. Kepada mereka yang ingin tahu kesudahan Ilham dan Kyriel, jangan lupa ke blog itu nanti ya?

Monday, December 6, 2010

Dulu dan Sekarang

: pic

Baru-baru ni saya terdengar keluhan seorang ibu yang datang mengadu pada emak. Dia sudah mati akal dengan perangai anaknya. Nasihat sudah. Marah pun sudah tapi anaknya itu masih tak nak berubah. Dalam dia mengeluh, dia akui kesilapan diri dia dan suami. Katanya dia terlalu memanjakan anak-anak. Dia terlalu mewahkan anak-anak dia hingga budak-budak itu naik lemak dan tidak mahu mendengar kata. Dalam pada tu, mak turut mengeluh mengenangkan adik-adik saya yang lahir ketika keluarga kami sudah mulai ‘senang’. Lebih kurang saja perangai mereka semua. Keluhan tu buat saya terkenangkan zaman saya membesar.

Kami bukan orang senang pada asalnya. Sewaktu mak dan ayah mula-mula berkahwin dulu, mereka tinggal di kuarters kerajaan di Jalan Sultan Salahuddin. Bukannya rumah sendiri pun tapi menumpang di rumah arwah wan. Ayah saya bukannya orang senang (literally). Walaupun keputusan STP dia bagus tetapi disebabkan kesempitan hidup, dia tidak menyambung pelajaran. Alasan yang klise kan? Tetapi itulah hakikatnya. Ayah hanya anak angkat kepada arwah wan. Ibu dan ayah kandungnya dah meninggal dunia sewaktu dia masih bayi lagi. Arwah wan pun bukannya orang lain, tetapi ibu saudara dia sendiri. Tetapi kalau dah adat menumpang kasih orang, terima sahajalah apa yang ada. Kalau kurang jangan nak meminta. Sebab itulah ayah tak sibuk-sibuk merengek dengan arwah wan nak sambung belajar. Disebabkan itu, habis sahaja sekolah ayah terus bekerja. Perkerjaan pertama ayah adalah sebagai pengawal keselamatan di sebuah universiti tertua di Malaysia. Rezeki ayah murah, beberapa bulan bekerja di situ ada pihak pengurusan keluarkan iklan jawatan kosong sebagai pembantu tadbir di situ dan ayah terus ambil peluang yang ada.

Lepas ayah dapat kerja sebagai pemb. Tadbir, kami sekeluarga menyewa di sebuah flat di Jalan San Peng. Masa tu umur saya sekitar 2 tahun. Sewaktu kecil, arwah nenek dan atuk yang menjaga saya dan adik. Saya ingat lagi setiap hari mak akan ulang alik hantar dan ambil kami dari rumah kami ke blok sebelah (rumah nenek). Hidup sewaktu tu memang bahagia sangat. Saya cucu sulung jadi perhatian tu memang lebih dari yang lain. Saya memang dimanjakan oleh mereka semua. Tapi itu tak bermakna kalau saya buat salah, saya tak kena marah. Manja, manja jugak. Tapi kalau buat perangai memang akan kena dengan nenek!

Dua tahun kemudian, nenek dan atuk pindah balik ke kampong di Melaka. Disebabkan kami masih belum bersekolah, saya dan adik ikut sama tinggal di kampong dengan mereka. Setiap kali cuti hujung minggu, ayah dan mak akan jenguk kami di Melaka. Dulu kami empat beranak tiada kereta. Tapi ayah gagahkan juga menunggang motosikal Hondanya dari KL ke Melaka. Sudahlah masa tu tak ada highway! Mak pernah bising betapa dia sakit pinggang kalau mereka balik ke kampong waktu tu. Kesudahannya, mereka balik naik bas sahaja (mungkin ayah tak tahan dengar mak membebel! Hehehe)

Sewaktu saya memulakan alam persekolahan, fasa baru dalam hidup kami pun bermula. Ayah dah mampu beli rumah sendiri. Kami sekeluarga berpindah ke Selayang. Rumah teres dua tingkat itu menjadi istana kami berempat. Daripada flat dua bilik, kami duduk di rumah tiga bilik. Waktu tu sayalah budak yang paling kaya sebab sepupu yang lain duduk di rumah flat lagi! Hehehe... Di sini semuanya berubah. Bermula dengan sebuah motor, ayah dah mampu beli kereta. Mak dah tak bising sakit pinggang lagi. Dari berempat, kami dah jadi berenam. Dari seorang cucu yang manja, saya dah jadi kakak kepada 4 orang adik lelaki. Tanggungjawab pun dah lebih.

Itu semua cerita 24 tahun dulu. Sekarang walaupun kami masih tinggal di rumah yang sama, keadaannya dah tak sama macam dulu. Rumah tak meriah sangat sebab adik-adik dah ada kehidupan masing-masing. Yang dah kahwin dah ada rumah sendiri. Yang masih belajar hanya ada di rumah sewaktu cuti semester. Ayah dan mak pun dah semakin tua. Kesihatan pun dan mula merosot. Ayah yang satu masa dulu cukup kuat dah mula sakit sana sini. Baru-baru ni dia diserang mild-stroke. Tapi alhamdulillah, masih belum tahap serius. Mak pun sudah tak bekerja. Dia sudah menjadi suri rumah sepenuh masa.

Bila saya fikirkan jerit perih dan susah payah yang kami hadapi sepanjang masa ni, buat saya semakin hargai kesenangan yang saya ada sekarang. Sewaktu saya membesar saya tak semewah kawan-kawan yang lain. Nak itu ini, senang saja diperolehi. Sedangkan saya kena berkira-kira nak minta pada mak dan ayah. Sebab itu sekarang, kalau saya nak apa-apa saya terus dapatkan tanpa fikir panjang. Sebab saya dah pernah rasai betapa seksanya untuk saya perolehi semua itu masa saya membesar dahulu.

Tiga orang adik saya sangat beruntung kerana sewaktu mereka membesar, mereka tak rasai apa yang saya dan adik pertama saya rasakan. Semuanya dah terhidang depan mata untuk mereka. Mereka tak perlu nak bersusah payah simpan duit belanja untuk beli buku rujukan. Tak perlu tunggu hujung bulan kalau terasa nak makan KFC. Tak perlu nak cari public phone kalau nak telefon sesiapa sebab masing-masing dah ada telefon bimibit! Beg sekolah saban tahun berganti. Kasut sekolah setahun dua pasang. Baju sekolah dua tiga pasang. Betapa beruntungnya mereka!

Buat generasi-generasi muda hari ini, hargailah apa yang anda semua ada sekarang. Jangan ambil mudah dan mengambil kesempatan di atas ‘kemewahan’ yang anda miliki. Tolonglah hargai apa yang ibu dan bapa anda sudah lakukan untuk anda. Bukan mudah jalan yang mereka lalui untuk sediakan segalanya untuk kita. Selagi masih ada kesempatan ni, balaslah jasa mereka. Bukan dengan wang ringgit tapi dengan diri kita. Jika diminta belajar, belajarlah hingga kita berjaya. Bila disuruh berbuat baik, buatlah dengan ikhlas. Bila dilarang lakukan sesuatu, patuhilah ia. Jadilah anak yang mendengar kata. Hanya itu yang mereka pinta...

Monday, November 15, 2010

Imaginasi yang terlebih!



Baru-baru ini saya balik ke kampung di Melaka untuk menjenguk rumah arwah nenek yang sudah hampir sebulan tidak dijenguk. Penat membersihkan rumah sepanjang hari membuatkan kami tidak larat nak masak sendiri untuk makan. Sudahnya kami ke Tampin untuk makan malam.  Kalau dah di kampung tu, memang suasananya berbezalah dengan di bandar. Di bandar, pukul 9 malam pun orang masih keluar rumah. Jalanraya masih ada kenderaan bertali arus. Tapi di kampung, jangan kata pukul 9, sebaik sahaja azan maghrib berkumandang, jalan raya dah sunyi sepi. Pintu rumah dah bertutup rapat. Kiranya pukul 9 malam di kampung, macam pukul 2-3 pagi di bandarlah. Sunyi dan sepi. Yang berbunyi cuma unggas-unggas malam dan macam-macam bunyi yang memang susah nak dengar di tengah bandar.
Perjalanan ke Tampin mengambil masa lebih kurang 30 minit dari kampung saya. Jalanraya yang dilalui memang lengang. Walaupun ada rumah-rumah di tepi jalan tu, tapi semuanya dah tutup pintu. Jadi perjalanan tu memang sunyi. Kalau dah sunyi tu, faham-faham sajalah. Mulalah kepala saya ni fikir benda macam-macam. Saat tu teringatlah segala macam kisah seram yang pernah saya baca dan tonton. Sewaktu melalui sebuah ladang kelapa sawit tiba-tiba saya terkenangkan cerita Janji Julia, Kak Maria Kajiwa. Mulalah terbayang scene yang Julia alami di dalam ladang tu. Seram sejuk jadinya.
Bila dalam perjalanan balik pula, kami melalui jalan yang sama. Nak dijadikan cerita, secara tidak sengaja kami terlanggar seekor beruk bewarna putih yan tersalah 'landing'. Disebabkan jam dah pukul 10.30 malam, jalan tu pula sunyi sepi dan gelap gelita, kami teruskan perjalanan. Entah apa nasib monyet tu, kami pun tak tahu. Masa tu bulu roma dah meremang. Kami pasang radio sekuat-kuatnya untuk tenangkan hati yang dah kacau. Masa ni saya asyik terkenangkan filem I Know What You Did Last Summer. Terbayang-bayang apa akan jadi kalau beruk tu mati dan suku sakatnya datang cari kami.
Tiga hari di kampung, macam-macam perkara yang terjadi. Bukanlah benda-benda yang menakutkan pun. Cuma imaginasi saya ni, bak kata Stacy 'terlebih sudah'. Apa sahaja yang berlaku, saya cepat sangatkan terbayangkan novel, cerita dan filem yang saya baca dan tonton. Bila dengar orang ketuk pintu rumah tengah-tengah malam, teringatkan filem Jangan Pandang Belakang. Hehehe...sedangkan itu nenek saudara saya dari rumah di atas, datang nak ambil kunci rumah! Bila nampak ada cahaya lampu di ladang getah depan rumah di subuh hari, saya dah mula fikir benda bukan-bukan sedangkan itu cahaya lampu kepala makcik/pakcik penoreh getah tu.
Bila balik ke KL lain pula ceritanya. Mak Su saya bercadang nak beli sebuah apartment baru. Kawasannya memang cantik. Lot yang ingin dibelinya mengadap bukit bukau dan kawasan hutan. Memang saujana mata memandang. Dan yang paling menarik, lot itu terletak di tingkat 13! Apa lagi, mulalah teringatkan karya Erti Cinta, Kak Maria! Kebetulan pula Mak Teh saya bercerita tentang sebuah lot apartment yang dikatakan haunted di sekitar kawasan Kg. Pandan. Waktu tu saya mula teringatkan budak kecil menanggis di tepi lif! Sekarang ni bila lalu je apartment yang tinggi-tinggi di waktu malam, terbayang-bayangnya cerita Erti Cinta.
Sebenarnya perkara ni dah berlaku sejak saya dulu lagi. Zaman cerita Speed, lakonan Keanu Reeves dulu, saya pernah takut nak naik lif sebab terbayang scene orang jahat tu memasang bom pada lif. Bila naik train terbayang filem Ghost Train. :P
Inilah penangan cerita seram/thriller/misteri dalam hidup saya. Yang peliknya, kalau berhadapan dengan perkara yang lovey dovey tu, tak nak pulak otak saya ni bayangkan novel-novel cinta dan filem romantik yang saya baca dan tonton! Bila diceritakan kepada seorang kawan, dia gelak besar. Saya tanya, 'gila ke aku ni?' Selamba dia menjawab 'You're not crazy. Just a little unwell!'  Ada beza ke? Hurmmmm....

Monday, November 1, 2010

Kalau berpacaran...

Lokasi: Sebuah restoren di  Damansara
Sabtu. 30.10.2010

Cik Adik dan Encik Abang yang ingin saya hormati,

Saya bukan ustazah yang layak untuk bersyarah tentang hokum hakam agama. Saya juga bukan kakak atau adik kamu yang punya hak untuk marah atau ‘menghadiahkan’ penampar ke wajah anda berdua yang tampan dan cantik itu. Saya cuma seorang perempuan, kakak dan anak kepada dunia, adik-adik saya dan emak dan ayah saya. Saya tahu saya tidak punya apa-apa hak untuk menegur kamu kerana antara kita tidak ada pertalian. Tapi saya juga tahu, walaupun DNA kita tidak sama, keturunan kita masih sama. Anda berdua dan saya datangnya dari Adam dan Hawa. Melihat dari cara Cik Adik berpakaian, saya kira kita berdua juga menjunjung rukun iman yang sama. Jadi atas tiket itulah, saya membuat teguran ini. Bukan apa, disebabkan saya berada di hadapan anda berdua ‘bekalan’ yang anda kumpul tu sedikit sebanyak terpalit pada saya. Percayalah, kalaulah masa boleh dipusing semula, saya akan pusing kembali ke putaran hidup yang sama kelmarin agar saya tidak perlu menyaksikan ‘telenovela’ yang anda berdua lakonkan. Selera makan saya juga terjejas disebabkan anda!

Cik Adik dan Encik Abang,

Ini hanya nasihat. Terpulanglah kalau mahu ikut atau tidak. Saya tahu anda berdua sedang asyik bercinta dan anda berdua mahu satu dunia tahu hakikat itu. Saya tak tahulah orang lain macamana, tapi melihat dari cara Encik Abang merangkul pinggang Cik Adik, saya tahu Encik Abang takut sayang gila dan takut kehilangan Cik Adik. Dan Cik Adik pun apa kurangnya. Pelukan dan lentukan ala-ala manja itu membuktikan yang Cik Adik juga sayang sangat dengan Encik Abang. Oh, itu belum lagi saat Encik Abang menghadiahkan ciuman hangat di pipi Cik Adik dan Cik Adik sambil tersipu-sipu malu (malu ke?) membalas ciuman Encik Abang. Kalau orang lain belum tahu, pasti public affection yang satu itu sudah cukup untuk memberitahu satu dunia yang anda sedang bercinta!

Alam bercinta ini memang indah. Saya tak tahu first hand tapi melalui novel-novel cinta yang saya baca, saat mula-mula anda berkenalan hinggalah ke saat anda melafazkan kalimah keramat I LOVE YOU (I have no idea why people say that!) memang anda rasakan dunia ini anda yang punya. Orang sekeliling tak wujud langsung. Saya rasa sebab itulah anda tidak segan silu berpelukan dan berciuman di khalayak ramai! Maklumlah, mata Encik Abang hanya nampak Cik Adik dan vice versa.

Tapi sayang, Encik Abang dan Cik Adik terlupa sesuatu. Anda bukan hidup berdua di dunia ini. Ada orang lain di sekeliling anda. Di sebelah anda ada saya; seorang perempuan yang masih tebal rasa malunya dan masih berfikiran konservatif walaupun kita sudah di abad ke-21! Berdekatan dengan anda juga ada sepasang suami isteri yang bersedih hinggakan si isteri mengeluarkan ayat “minta-minta anak dara kita tak macam tu ye, bang?” Oh, dan tidak jauh dari saya ada seorang lelaki yang merah padam wajahnya bila melihat Cik Adik melekapkan bibir ke pipi Encik Abang. Mungkin teringatkan adik atau kakaknya...

Alahai Cik Adik, di mana maruah Cik Adik? Di hilangnya malumu? Sewenang-wenangnya membiarkan tubuh anda disentuh lelaki yang bukan muhrim dan belum tentu lagi menjadi muhrim anda! Dan buat Encik Abang, anda sebagai seorang lelaki sewajarnya lebih mengerti. Bukankah anda dikurniakan 9 akal? Ataupun anda memang tidak berakal? Bayangkan kalau adik perempuan atau kakak anda diperlakukan begitu. Apa perasaan Encik Abang? Saya harap masih berperasaanlah ya. Kalau tidak, memang anda dah parah!

Saya tidak akan sentuh soal dosa pahala sebab saya bukan orang yang layak. Lagipun perkara itu memang sudah diajar sejak kecil lagi. Mak dan ayah di rumah pasti ada hantar anda berdua ke sekolah bukan? Di sekolah, saya percaya ustaz dan ustazah ada beritahu apa itu dosa dan apa itu pahala. Kalau anda tidak praktikkan, apa yang mampu kami lakukan? Umur bukan baru setahun dua. Tengok dari cara Cik Adik memakai tudung litup, saya kira Cik Adik tahu tentang dosa dan pahala. Atau bertudung itu pun sekadar fesyen? Tuhan saja yang tahu...

Encik Abang dan Cik Adik,

Saya minta maaf kalau apa yang saya tulis ini menyinggung perasaan anda. Saya gembira kalau anda tersinggung sebab itu membuktikan anda terasa dengan kata-kata saya. Sekurang-kurangnya anda masih boleh berubah dan diselamatkan. Tapi kalau sebaliknya, tiada apa yang boleh saya buat lagi. Cuma berdoa agar anda cepat-cepatlah berkahwin. Kalau tidak senang-senang saja buat dosa kering!

p/s: Oh, sebelum ada yang bertanya, biar saya beritahu dulu. Mereka yang sedang diperkatakan di atas ini memang BELUM bernikah (berdasarkan tiada cincin di jari dan usia mereka yang nampak terlalu muda) Lagipun pasangan suami isteri yang sah tak akan buat perangai begitu di tempat awam. Kan?

Monday, October 18, 2010

Novel...novel..dan novel











Hujung tahun ni adalah hujung tahun yang menceriakan. Banyak novel yang menanti untuk dibeli dan dibaca. Rasa tak sabar pula nak bercuti lama bulan disember ini. Kali ini saya tak pergi bercuti ke mana-mana. Hanya akan habiskan cuti hujung tahun saya di rumah bersama novel-novel yang akan berada di dalam koleksi dan juga yang sudah berada di dalam koleksi tapi belum punya kesempatan untuk di baca. Apa yang tersenarai di atas cuma sebahagian daripiada novel yang saya looking forward to read.

Nujum Cik Belalang – Novel remaja karya Firas Firzana. Kisah seorang gadis yang perasan dirinya punya kuasa psikik! Ini karya teman saya, Kak Noorul.

Planet-Planet Cinta – Awas! Ini bukan karya  komedi romantik atau humor. Ini sebuah cerita berat. Ini cerita Sci-Fi. Bagi pngikut setia puteri Elara di blog Elara dahulu pasti ternanti-nanti kehadiran novel ini. Ini karya mentor saya, Puan Maria Kajiwa.

Semanis Coklat – Novel cinta dari seorang penulis lelaki! Sinopsisnya saja sudah buat saya tertarik. Ini pula karya seorang teman penulis yang menggunakan nama pena Reezai Reani. Tapi saya kenali beliau sebagai Ridh saja. Tahniah buat Ridh atas kelahiran Semanis Coklat ini ya.

Pemuja Rahsia - Melihat nama novel ini teringat lagu kumpulan Sheila On 7 yang pernah menjadi kegilaan saya satu ketika dulu (zaman sekolah dulu memang SO7 ni happening gila lah!) Buku ni belum saya dapatkan lagi. Insya-Allah, akan dibeli melalui bookstation. Cuma masa nak ber'internet' shopping itu sangatlah limited. Heheh..ini karya Ilmar Ilmia, teman seperjuangan dalam bidang penulisan ini.

Clockwork Angel – Novel ini adalah siri pertama di dalam The Infernal Devices series. Ia merupakan prequels siri The Mortal Instruments karya Cassandra Clare. Kalau dalam The Mortal Insturments, anda sudah mengenali kumpulan Shadowhunter dan Downworlder, di dalam The Infernal Devices, anada akan dikenalkan dengan asal usul dan sejarah lama Shadowhunters dan Downworlder. Novel ini dah lama tersimpan di dalam kotak. Cuma saya tak punya masa yangs sesuai untuk membaca.

Blood Trinity – Ini karya terbaru penulis kegemaran saya, Sherrilyn Kenyon. Kisah demon dan hunters beliau memang selalu dinanti-nantikan. Novel ini belum berada di pasaran. Kalau ikut jadual, penghujung bulan ini akan sampai di tangan saya. Moga-moga jadualnya tak terganggu!

Infinity – Ini adalah buku pertama dari siri The Chronicles Of Nick. Juga dari Sherrilyn Kenyon cumanya ia di dalam genre YA. Nick Gautier adalah salah seorang watak di dalam siri Dark Hunter beliau. Di dalam TCON, pembaca akan lebih menegnali siapa Nick dan bagaimana dia menjadi lelaki seperti yang kita temui di dalam siri Dark Hunter. Nasib buku ini pun seperti Clockwork Angel. Tersimpan di dalam  kotak, hanya menunggu masa untuk dibaca.

Ada dua lagi sebenarnya buku yang saya nanti-nantikan. Hehehe...novel The Untold Story dan Antasia. Harap-harap ia akan dapat dipegang menjelang hujung tahun ini.. J


Monday, October 11, 2010

Kecewa

Betullah kata orang, apa yang kita paling hendak, itulah yang kita tak akan dapat. Baru saja saya minta aura-aura negatif menjauhkan diri sari saya, secepat kilat ia datang. Dan sesungguhnya apa yang datang itu benar-benar buat saya kecewa dan menjeruk rasa. Depan orang saya masih tersenyum seolah-olah tak ada apa yang terjadi. Tapi sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke dalam home sweet home, senyuman saya hilang dan dunia saya kembali berputar. Kecewa dan sedih.
Saya sedang mengalami fasa berjauh hati dengan mereka di rumah saya.

Wednesday, October 6, 2010

Muzik dan Novel


    

Kawan sebilik saya di kolej dulu tahu saya memang gemar mendengar muzik irama rock, grunge, heavy metal dan instrumental. Sampaikan dia sendiri naik minat mendengar lagu Metallica selepas saya asyik memasang cd band itu di radio. Entah kenapa, saya perlu mendengar muzik jenis ini barulah otak saya ni boleh aktif. Kalau orang lain perlu ketenangan untuk mengulangkaji, saya perlu mendengar muzik untuk memastikan apa yang saya ulangkaji melekat di otak. Setiap kali peperiksaan, jika saya stuck di mana-mana soalan, saya akan cuba mengingati lirik-lirik lagu ini dan automatik, saya boleh mengingati jawapannya. AMARAN: Ini tenknik belajar saya secara peribadi. JANGAN tiru, takut nanti lain pula jadinya! Hehehe…

Saya sendiri tak tahu dari mana minat mendengar lagu ‘sakit kepala’ (bak kata mak saya) ni datang. Yang pasti bukan dari mak dan ayah yang lebih melayan lagu dari Abba, Bee Gees, Kak Pah dan beberapa nama yang saya sendiri tak berapa nak ingat. Tapi tolong ya, saya hanya minat lagunya sahaja. Meminati lagu dan lirik yang kadang-kadang boleh menyentuh hati saya. Saya tidak minat dengan cara hidup dan attitude band-band ini secara peribadi (walaupun bukan 100% dari mereka terjebak dengan dadah, seks bebas dan semua perkara yang negatif.)

Sekarang, bila saya mula berjinak-jinak semula dengan dunia penulisan, saya masih lagi menggunakan muzik seperti ini dalam proses penulisan saya. Jika tiada muzik ini, saya akan kaku depan laptop. Watak-watak saya tidak mahu bergerak. Cerita di dalam manuskrip tidak mahu berkembang. Sebab itu saya pastikan MP3 saya perlu sentiasa berada dengan saya walau di mana saya berada. Perkara lain saya boleh tinggalkan. Handphone? Saya masih boleh hidup kalau sehari ia tiada di tangan. Kereta? Saya sanggup berjalan kaki atau naik bas kalau ia tiada. Tapi MP3? Boleh kacau jiwa dibuatnya! Hehehe…

MP3 saya penuh dengan lagu-lagu (sekadara berkongsi, bukan nak bagi promosi percuma.. :P) dari band Breaking Benjamin, Evanescence, Three Days Grace, Apocalyptica, One Republic, Linkin Park, Trading Yesterday, Metallica, We are The Fallen, 30 Second from Mars, There for Tomorrow dan Lydia’s Diary. (Oh, ada juga lagu dari Maher Zain dan Yuna tapi ia cuma didengar waktu nak tulis cerpen dan manuskrip kisah cinta, hehehe…)

Sebenarnya lagu-lagu ini bukanlah semuanya melekakan atau menyesatkan pendengar seperti yang didakwa sesetengah pihak. Yang penting sebagai pendengar, kita kena bijak memilih yang mana boleh didengar dan yang mana tidak patut didengar. Tolong jangan samakan heavy metal dengan ‘ajaran‘ black metal. Walaupun saya ni hardcore fan muzik rock dan heavy metal, bukan semua band saya minati. Asalkan band itu tidak ‘bersekutu’ dengan unsur-unsur yang menyesatkan dan liriknya berunsur sihat, saya akan dengar lagunya.

Jadi kepada mereka yang pernah bertanyakan soalan  ‘kau kan perempuan, kenapa suka dengar lagu macam ni?’ dan memandang saya dengan pandagan penuh sinikal, jawapan saya : 'kenapa tak boleh? Selagi ia tidak merosakkan saya, saya akan dengar. Tolong buang sikap prejudis anda itu. Peace… V(*_*)'

Tuesday, September 28, 2010

No Entry!



Mood saya bagus sejak akhir-akhir ini. Masalah pejabat pun tak banyak. Mood yang gembira ni sedikit sebanyak membantu saya dalam aktiviti menulis. Semoga mood ini kekal lama. Sekurang-kurangnya sehingga selesai bengkel bulan October nanti sebab saya perlu siapkan beading, projek usahasama dengan dua orang kawan baik saya,  menyiapkan 2 manuskrip yang lama terbengkalai dan 1 manuskrip yang memerlukan major revamp! Oh, kerja di pejabat juga ada yang sedang menghampiri dateline. Jadi aura-aura negatif, silalah berada jauh dari saya. Minta sangat jangan menghampiri saya. It's a no entry zone for you!

Friday, September 3, 2010

Selamat Hari Raya Aidilfitri


Minggu depan kita raya! Pejam celik pejam celik dah hampir 24 hari kita berpuasa dan minggu hadapan  kita akan menyambut kedatangan Syawal pula. Masa berlalu pantas sekali. Saya harap kita semua akan berjaya meneruskan baki bulan Ramadhan ini sebaik mungkin.
Di kesempatan ini saya nak mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pengunjung blog ini, Tell A Tale dan Rumah Fantasi. Saya minta maaf jika selama perkenalan ini saya ada menyinggung atau pernah berkasar dengan kawan-kawan semua. Mohon halalkan apa yang terlebih dan terkurang. Kepada mereka yang pulang berhari raya di kampung, berhati-hati di jalan raya. Pandulah secermat mungkin, ya?
Saya akan mula bercuti seawal 8hb dan hanya akan kembali ke pejabat pada 20.9.2010. Jadi dunia maya ini akan ditinggalkan buat sementara. ^_^
Akhir sekali, sekali lagi saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan mohon maaf zahir dan batin buat sahabat-sahabat semua. Jemputlah datang ke rumah kalau anda berada di Selayang.

Monday, August 30, 2010

Selamat Menyambut Hari Merdeka


Selamat Menyambut Hari Merdeka buat semua teman-teman dan pengunjung blog. Sudah 53 tahun kita hidup dalam bumi yang merdeka. Sesungguhnya kita, generasi pasca merdeka ini sangat bertuah kerana dilahirkan dalam keadaan yang cukup serba serbi. Bila dengar cerita atuk dan nenek tentang kepayahan hidup di zaman sebelum merdeka dulu, hati rasa bersyukur sangat-sangat. Terus-terang aku cakap, aku susah nak survive dalam keadaan itu. Nak guna air kena angkut dari perigi. Nak makan pun susah nak dapat nasi. Ada seorang wanita tua pernah cakap dengan aku, kamu ni kalau hidup zaman aku dulu aku rasa sehari aje tahan! Aduh, memang pedih tapi itulah hakikatnya.  Sebab itulah aku rasa bersyukur teramat sangat sebab dilahirkan di zaman semuanya berada di hujung jari. Nak air, putar sahaja pili paip. Nak makan, nasi dan segala macam makanan ada di sekeliling. Nak membaca dan menulis, bekalan elektrik sentiasa ada. Tak payah lagi nak pasang pelita.
Tapi sayangnya, masih ada juga manusia yang tak tahu nak menghargai semua yang kita ada pada hari ini. Setiap hari apa yang keluar dari mulut golongan ini adalah rungutan demi rungutan demi rungutan. Itu tak kena, ini tak betul. Seolah-olah mereka sahaja yang hebat. Mereka sahaja yang betul. Tak perlu nak pergi jauh. Kawan-kawan aku sendiri pun ramai yang macam itu. Tak tahulah apa lagi yang perlu dibuat dan diberi untuk memuaskan hati mereka ini.
Apa-apa pun, biarlah mereka dengan dunia mereka. Ditegur sudah, dinasihat pun sudah. Nak ikut atau tak, terpulang. Tanggungjawab aku sebagai manusia dan sahabat dah aku laksanakan. Jangan nanti sampai negara kita jadi seperti Palestin baru nak sedar! Masa tu, everything is too late my friend.
Selamat Menyambut Hari Merdeka semua.... peace! V*0*V

pic link

Saturday, August 14, 2010

Pasta

Dah lama blog tak di update sampaikan ada member ingat semangat saya masih menurun. Heheh... semangat sudah kembali normal. Cuma saya tiada cerita untuk diceritakan di sini. Demi ingin memastikan ada entri baru di blog, saya post kan cerita tentang drama korea terbaru yang telah saya tonton. Drama berjudul Pasta ini pasti akan membuatkan pengemar-pengemar Pasta terliur melihat makanan-makanan berasaskan pasta yang ditunjukkan di dalam cerita ini.
Drama Pasta ni mudah sahaja jalan ceritanya. Mengisahkan Yoo-Kyung, seorang gadis yang terlalu ingin menjadi chef elit di restoren La Sfera. Mulanya dia hanya seorang pembantu dapur tetapi selepas melihat kesungguhan dan kerajinannya bekerja, dia di naikkan pangkat menjadi tukang masak di restoren itu oleh Chef Totti. Disebabkan pihak pengurusan restoren mahu mengurangkan perbelanjaan, Chef Totti diberhertikan kerana dia kerap sangat menghubungi keluarganya di Itali hinggakan jumlah bil perhubungan dia boleh membayar gaji 2 orang pembantu dapur!
Selepas Totti dipecat, pengurus La Sfera telah mengambil  Choi Hyun Wook, salah seorang Top Chef di Itali bekerja di situ. Masalahnya Chef Hyun Wook tak suka ada orang perempuan dia dapur dia. (Sebab ada pengalaman buruk dengan bekas teman wanita dia). Hyun Wook ni akan cari sebab walaupun kesalahan itu kecil untuk memberhentikan semua pekerja wanita di dapur La Sfera. Akhirnya dia berjaya tapi hanya seorang saja yang dia tak mampu pecat iaitu Yoo -kyung. Bukan sebab tak sanggup nak pecat tapi sebab Yo-kyung ni jenis yang tak makan saman. Walaupun dah berkali-kali dia dipecat Hyun Wook, tapi dia tetap datang bekerja di restoren. Memang tak tahu malu langsung! Hehehe...tapi kita takkan rasa menyampah pada dia sebab dia ada alasan tersendiri kenapa dia bersungguh -sungguh mahu menjadi chef.
Nak tahu cerita selanjutnya, tontonlah drama ni. Sekarang ni sedang ditayangkan di Astro Ch. Shuang Xing. DVD pun dah keluar. Atau tonton sahaja di mysoju atau drama sub!

Tiga orang Chef dari Itali yang dibawa masuk oleh Hyun Wook. Heheh..kalaulah ada chef yang comel gini...

Thursday, July 22, 2010

Semangat Menurun...

Dulu, masuk ofis pukul 8.30, balik pukul 6 petang. Rehat selama satu jam dari 1 tengahari hingga 2 petang. Kebelakangan ini jadual kerja saya dah tak normal macam dulu. Masuk ofis pukul 8.30, balik pukul 10-11 malam. Rehat pun curi-curi masa in between works. Mental saya memang penat sangat.  Balik kerja yang saya ingat hanya nak baring. Bukannya saya fikir tidur, cuma fikir nak regangkan badan yang sakit-sakit ni. Satu penyakit saya, penat macamana pun mata ni macam dah ada timer sendiri. Selagi jarum jam tak menginjak ke pukul 2 pagi, jangan haraplah ia nak terpejam. Sudahnya tidur tak cukup. Macamanalah minda tak penat!
Akiviti menulis agak perlahan sekarang ini. Walaupun tiap-tiap malam buka laptop dan pandang manuskrip, tapi sepatah ayat pun susah nak ditaip. Kadang-kadang cuba juga paksa diri menaip sebaris dua, tapi jarang menjadi. Semangat menulis tu turun hingga tahap paling bawah. Mungkin sebab mata saya dah tak larat nak memandang skrin komputer lagi selepas seharian menatap skrin di ofis? Entahlah. Apa yang saya tahu saya tiada semangat hendak membaca, menulis atau menonton sekarang ni. Rasanya Eclipse lah benda terakhir yang saya tonton di skrin. Disebabkan semangat untuk melakukan benda-benda yang saya selalu buat itu dah menurun, saya gunakan masa yang ada untuk mencerna nota-nota Kak Maria yang saya dah print awal-awal. Harap-harap lepas habis mengulangkaji nota-nota tu dan jadual kerja saya kembali normal (entah bilalah agaknya tu), semangat menulis tu akan kembali semula.

Monday, July 12, 2010

Berakhirnya World Cup 2010

Akhirnya pagi tadi Sepanyol berjaya merangkul Piala Dunia buat kali pertamanya. Dan ini juga bermakna jadual tidur saya akan kembali normal. :P Saya bukan kaki bola pada asalnya. Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini saya menjadi teman ayah untuk menonton perlawanan bola sepak gara-gara adik-adik semuanya lebih gemar menonton di kedai mamak bersama teman-teman mereka. Akibatnya saya menjadi gila dengan bola sepak. Dan sepanjang Piala Dunia berlangsung, rumah kami akan kecoh setiap kali perlawananan melibatkan pasukan pilihan berlangsung. Yang menariknya pasukan pilihan saya dan ayah serupa jadi tidak pernah terjadi perang mulut antara kami kecuali perlawanan yang melibatkan pasukan German (ayah tidak begitu gemarkan pasukan ini...hehehe).
Pagi ini selepas perlawanan tamat saya jadi sayu pula. Bukan kerana pasukan Netherlands kalah (mereka tetap pemenang bagi saya kerana mutu permainan mereka jauh lebih baik dari the Spaniards!). Saya jadi sayu kerana memikirkan selepas ini saya akan kembali jarang berbual dengan ayah. Masing-masing sudah kembali sibuk dengan kerja. Ayah kembali seibuk outstation dan saya kembali sibuk membuat overtime. Kalau ada masa nak berbual panjang pun di hujung minggu. Itupun kalau saya tiada program lain!
Jadi bagi kawan-kawan yang anggap saya gila kerana sanggup korbankan masa tidur saya untuk menonton 22 orang lelaki berebutkan sebiji bola, korang dah tahukan apa alasan aku sebenarnya. Bukan sekadar menonton kosong tapi inilah masanya aku bonding dengan ayah aku. Oh, dah aku dapat tengok muka pemain-pemain bola yangn handsome. Kira bonuslah tu... hehehe...

Vaarwel, South Africa... sien julle in Brazil...

Thursday, July 8, 2010

Jom tonton Eclipse


Jue, sabar ye. Tinggal beberapa hari saja lagi nak hari isnin. :-)
Selesai menonton. Love it!

Wednesday, June 30, 2010

Tiada lagi dia... PYH


Tiada lagi lagu dari dia...Tiada lagi lakonan dari dia... Semuanya sudah berakhir...
Yup, saya meminati aktor dan penyanyi dari Korea ini kerana suaranya. Teringat lagi macamana saya sanggup minta seorang sahabat dari Korea mencarikan albumnya di Korea kerana susah nak menemui album penyanyi Korea di Malaysia. Sewaktu bercuti di Korea beberapa tahun lepas, ketika orang lain sibuk mencari keychain, kalender, mug artis terkenal seperti Rain, Bae Yong Jun, Jo In Sung dan DBSK, saya sibuk mencari Park Yong Ha. Sekarang semuanya menjadi kenangan... (Mungkin ini yang dirasakan oleh peminat King of Pop, Micheal Jackson ketika dia pergi tahun lepas...)

Thursday, June 24, 2010

Occupational Hazard


Jika bekerja di tapak projek, perkara pertama yang harus diambil berat adalah soal keselamatan. Setiap pekerja tapak wajib memakai safety helmet dan safety shoe sebelum dibenarkan masuk ke kawasan tapak projek. Semua pihak baik pihak perunding dan pihak kontraktor harus mematuhi peraturan itu. Tapi itu kes kerja di tapak. Disebabkan itu arahan dari pihak majikan, maka kami 'terpaksa rela' mematuhinya (sesungguhnya memakai safety shoes sangat tidak selesa bagi saya).

Lain pula halnya kalau di pejabat. Percaya atau tidak, pejabat saya boleh dikategorikan sebagai 'hazardous area'. Walaupun kami ni firma perunding/kontraktor kejuruteraan professional, tapi soal keselamatan yang sering kami patuhi ketika di tapak projek tidak kami praktikkan di sini. Tapi bukan kami saja. Rata-rata firma yang lain pun macam itu juga.

Sejak 6 tahun saya bekerja di sini, sudah tidak terkira berapa kali badan ni sakit-sakit kesan dari persekitaran pejabat. Terbaru kes yang berlaku dalam minggu ini. Masuk hari ni, sudah hampir empat kali saya tercedera. Tak lah serius mana. Kes pertama, fail jatuh menimpa saya. Semuanya gara-gara nak mencari format RFI lama di dalam bilik simpanan fail. Disebabkan banyak tangan yang mengubah susunatur fail-fail itu, kestabilannya di atas rak terjejas. Kesannya, belakang badan saya ditimpa 3 buah arch file yang bersaiz 3 inci. Masa kena tak sakit, tapi malam harinya Tuhan saja yang tahu. Bertampal koyok jugalah dibuatnya.

Kes kedua, kaki tersadung wayar telefon yang terkeluar dari trunking yang terpasang di lantai. Gara-gara sikap 'nanti saya buat' orang yang bertanggungjawab, lutut saya jadi mangsa keadaan. Tak pasal-pasal melecet lutut. Kes ketiga, berlaku semalam. Dalam sibuk-sibuk saya bergerak ke sana sini dalam ofis semalam, sekali lagi lutut menjadi mangsa. Kali ni bukan mencium lantai sebaliknya mencium bucu meja gara-gara kaki saya tersadung beberapa kotak barang yang diletakkan di sebelah meja saya. Sakitnya, jangan cakaplah. Kes terbaru berlaku beberapa jam yang lalu. Sekali lagi kaki saya ni tersadung wayar printer yang 'terlupa' untuk digulung semula oleh rakan sepejabat. Apa yang pasti, jari kaki saya masih kesakitan lagi sekarang.

Hurmm... bila fikir-fikir balik, salah siapa sebenarnya? Saya yang cemerkap ke, atau memang ofis ni merbahaya?


pic taken: google image

Friday, June 18, 2010

The Case of the Itaewon Homicide


The Case of the Itaewon Homicide adalah sebuah filem yang diangkat dari sebuah kisah benar yang berlaku di Itaewon, Korea Selatan lewat tahun 1997. Seminggu sudah, saya selesai menonton filem ini yang saya kira adalah sebuah filem yang best. Itaewon Homicide mengisahkan tentang kejadian bunuh secara kejam seorang pelajar universiti yang singgah untuk menggunakan tandas di restoren makanan segera yang terletak di Itaewon. (Itaewon ni adalah satu kawasan di Seoul yang kebanyakan penghuninya adalah orang asing terutamanya orang Amerika memandangkan pangkalan tentera Amerika berada di Itaewon.) Suspek kes pembunuhan itu ada 2 orang. Seorang, bernama AJ, remaja Korea yang dibesarkan di Amerika Syarikat. Cakap Korea pun tak berapa fasih. Yang seorang lagi, Pearson anak seorang kakitangan di pangkalan tentera Amerika di Korea yang merupakan anak kacukan orang Mexico dan Korea. Yang ini langsung tak tahu cakap Korea.
Mulanya Pearson mengaku dia yang bunuh pelajar Korea tu tapi tak lama kemudian dia ubah cerita dan tuduh kawan dia AJ yang bunuh. Alasan dia masa CID Amerika tu tahan dan soal siasat dia, dia dipaksa untuk mengaku sebab CID itu agak racist. Yang AJ pula secara sukarela datang pejabat pendakwaraya dan buat pengakuan yang Pearson yang bunuh pelajar Korea tu. Di sinilah konflik bermula bila pendakwaraya tu, Park, kena cari siapa di antara mereka berdua yang tikam pelajar universiti tu. Dari seorang pendakwaraya, Park dah mula tunjukkan ciri-ciri cuba membela Pearson sebab dia rasakan yang Pearson bukan pembunuh tu sebaliknya AJ. Ini sedikit sebanyak membuatkan kredibiliti dia sebagai pendakwaraya mula dipersoalkan.
Siapa sebenarnya yang bunuh pelajar itu? AJ atau Pearson? Percaya atau tidak kedua-dua manusia itu sudah bebas dan sehingga kini keadilan yang dicari oleh keluarga pelajar Korea yang mati dibunuh itu masiih belum diperolehi. Macamana boleh jadi begitu? Kenalah menonton filem ni... :-)

Tuesday, June 1, 2010

You're Beautiful

Entah macamana tangan ni tercapai DVD yang satu ni baru-baru ni. Bila tengok nama Jang Geun Suk ada di cover, terus berminat nak dapatkan (semuanya gara-gara dah jatuh minat dengan JGS masa tengok Hong Gil Dong dulu.)
Nasib baik berbaloi DVD ni. Walaupun ada sesetengah orang kata cerita ni kebudak-budakkan, apa yang penting ia berjaya buat saya ketawa sepanjang masa. Dengan keadaan hidup yang sedikit 'merundum' sejak kebelakangan ni, saya memang perlu ketawa banyak. ha3x.
Jadi jika anda peminat drama korea dan sukakan cerita yang tidak memerlukan anda mengalirkan air mata, tontonlah drama You're Beautiful ini. :-)


Hehehe...walaupun lakonan JGS  di dalam cerita ni agak kebudak-budakkan, tapi bak kata orang, kalau dah suka tu, semuanya nampak bagus. :-)

Thursday, May 27, 2010

Vampire Diaries



Yes. Akhirnya. Dari tahun lepas dengar 8TV nak siarkan cerita ni, akhirnya 1 June ni Vampire Diaries akan ditayangkan di 8TV. Hehehe...seronok pulak nak tunggu walaupun dah pulun tengok online. Heheh... Bukan apa, teruja nak tengok Damon Salvatore lakonan Ian Somerhalder (my fav actor after Jensen Ackles). Overall, Vampire Diaries ni cerita yang best. Better than Twilight kot. :P

Monday, May 24, 2010

Cubicle Rant - Sick



Alangkah bahagianya kalau terus dapat duduk di rumah dan berada di atas katil hari ni... Sayangnya tuntutan kerja memaksa saya ke pejabat. Aduhai.... kenapalah baik sangat aku ni?



pic: link

Wednesday, May 12, 2010

Minggu yang penuh hal

Dua minggu ini macam-macam hal yang berlaku sampai naik lelah saya dibuatnya. Dari bab kerja sampailah keluarga, semuanya jadi serentak. Banyak rancangan yang tidak berjalan seperti yang dirancang. Tapi bak kata orang, kita hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan segalanya. Walaupun sedikit terkilan, saya anggap semua rancangan  yang tak menjadi kenyataan tu sebagai bukan rezeki saya. Mungkin di masa akan datang baru saya berpeluang buat semua itu. Harap-harap peluang itu adalah lagi ya? :-)

Alhamdulillah, sekarang semuanya beransur pulih. Semua hal-hal tu berjaya saya selesaikan dan tangani. Doa saya semoga semuanya terus baik.

Sekarang saya kembali semula dengan rutin harian. Kembali bekerja dan melayan manuskrip. Semalam sewaktu sibuk melayan manuskrip , terdetik sesuatu di dalam hati saya. Betapa benarnya kata-kata 'ada hikmah di sebalik sesuatu yang terjadi'. Masa yang saya ada ketika menangani masalah yang terjadi telah memberi saya kesempatan untuk membaca semula manuskrip dan saya dapati banyak lagi kelemahan dalam manuskrip itu. Dan kesempatan tu saya gunakan sebaik-baiknya untuk mencantikkan lagi manuskrip itu sebelum diserahkan kepada pihak penerbit. Jadi bagi mereka yang selalu merungut kepada diri selalu ditimpa kesusahan, percayalah ada sebab dan hikmah kenapa semua itu terjadi. Cuma kita perlu yakin dan sabar ketika menghadapinya. :-)

Thursday, April 29, 2010

Lagenda Budak Setan Jun 2010

- Sudah ditonton. Sangat kecewa!



Semalam sempat keluar celebrate 'kemerdekaan' my best friend yang dah selamat habiskan 3 tahun PJJ degreenya. Congrats Joe. Hehehe... Dalam kami berbual dan bergossip tentang masalah masing-masing, masuk pula bab filem. Kesan dari perbualan tentang filem semalam, pagi ni selepas selesai acara periksa email, saya buka laman web youtube dan cari promo filem Lagenda Budak Setan. Teruja! Itu perkataan yang saya rasakan lepas tonton promo trailer tu. Filemnya nampak menarik. Dulu masa berita tentang novel tulisan Ahadiat Akasyah ini akan difilemkan, saya agak skeptikal. Bila lihat siapa yang bakal memegang watak the legendry Kasyah and Ayu, lagilah perasaan itu bertambah. Maklumlah, masa umur 13 tahun dulu, bila baca novel Budak Setan, dalam kepala dah bayangkan macamana rupa Kasyah. Mata coklat. Bibir merah. Memang hero pujaan remaja zaman itulah! Bila dengar Farid Kamil berlakon jadi Kasyah, mulalah tarik muka. (I'm not a fan of Farid Kamil sebenarnya...)

Tapi lepas tengok promonya tadi, perasaan itu sedikit berubah. Boleh tahan juga Farid Kamil menjadi Kasyah. Dan Lisa Surihani menjadi Ayu pun tidak menghampakan. Tapi itu baru dalam trailer yang tak sampai tiga minit pun. Dalam filem penuhnya nanti, kita belum tahu lagi. Mungkin menjadi, mungkin tidak. Kalau nak tahu kenalah menonton filem ini nanti.

Jadi saya dah pesan pada diri sendiri. Tonton filem ini dengan hati dan fikiran yang terbuka. Jangan mengharap sangat yang filem yang durasinya saya dengar hanya 2 jam dapat summarised 3 buah buku sekali gus! Menonton filem dan membaca novel adalah dua perkara berbeza. Filem akan menyogok kita dengan visual yang indah-indah. Kita tak perlu nak membayangkan apa-apa. Tak perlu bermain dengan imaginasi. Duduk dan hayati sahaja filem itu. Berbeza dengan membaca novel, kita bebas menggunakan minda kita untuk membayangkan sesuatu babak itu. 10 orang yang membaca novel yang sama mempunyai 10 macam imaginasi. Tak mungkin ada persamaan di antara 10 orang itu.

Jadi bagi die-hard-fan Lagenda Budak Setan, buka minda kita masa menonton filem itu ya. Bagilah peluang kepada Farid Kamil dan Lisa Surihani. Mungkin mereka bukan Ayu dan Kasyah yang sudah lama 'tersemat' dalam hati kita tapi manalah tahu ada dengan bakat yang mereka ada, akan muncul Ayu dan Kasyah yang baru. :P . Dulu ramai juga yang tak suka Robert Pattinson jadi Edward Cullen. Tapi sekarang, dah wujud Edward mania pula. Heheheh..

Friday, April 2, 2010

♥~Thank you ~♥


Thank you to all of my friends for the birthday wishes and doa. Sangat-sangat menghargai dan terharu bila membaca. Terasa diri dihargai. Semalam, senyum lebar sampai telinga sepanjang hari. It was a happy and cheerful day. I had a blast. No celebration or party whatsoever. Just a nice and simple outing with my bestfriend, Joe. Thanks Joe for the cakes and KFC. Hopefully in 10 years coming, we can still makan-makan like yesterday. Hehehe...
Again, thank you...

Tuesday, March 30, 2010

Self-Inventory


Feeling down and numb. Mencari mana perginya mood ini. Di pejabat dah macam robot. Buat kerja non-stop. Same goes at home. Sejak dua tiga hari ini, asyik berfikir macam-macam. I'm starting to wonder and ponder. 

'Ada apa dengan hidup aku?'  Time flies. Lagi beberapa hari angka hidup saya akan bertambah setahun lagi. I'm getting older. Cliche. Tapi rasanya sepanjang hidup yang lama ni, masih banyak lagi kekurangan dalam diri. 

Materially, semuanya serba cukup. Spiritually?  Entahlah. Rasanya  same-o same-o je. Last week chatted with my dear good friend via YM. Kata dia, kalau you dah start having this kinds of thoughts, means Allah s.w.t dah ketuk pintu hati you untuk you buat anjakan paradigma (His exact words). Up to you nak bukak pintu hati tu or nak biar tertutup. Wah...sangat pilu mendengar kata-kata dia. Naz, thanks buddy. The truth always hurt but better get hurts now than later, right?


Umur dah banyak baru terasa nak berubah. Not that I'm evil before. I'm somewhere in between. Tutup aurat separuh-separuh. Solat kadang-kadang ada diskaun. But better late than never, right? Kira bertuah jugaklah dari mereka yang selalu guna ayat klise 'life begins at forty'. Kalau sempat pergi forty. Kalau tak? Wallahualam...

 

Wednesday, March 24, 2010

Adik-adikku...


Oppss...Ini bukan sambungan cerpen Adik. Ini cuma cerita biasa. Cerita yang berlaku di depan mata saya sejak sekian lama. Cerita yang saya rasa wajar saya ceritakan lebih-lebih lagi ketika negara sedang dihebohkan dengan kes-kes masalah sosial yang makin menjadi-jadi ini. 

Cerita ini tidaklah menyayat hati sangat. Tak sampai membuat anda mengalirkan air mata. Mungkin  hanya hati golongan yang bergelar ibu bapa sahaja akan tersayat. Dan golongan mereka yang peduli. Bagi yang tidak peduli, mungkin cerita ini dianggap remeh atau silap haribulan hanya akan dipandang sebelah mata. Tak apa. Saya tak kisah. Seperti mana saya punya hak untuk menulis, anda juga punya hak untuk tidak membaca.

Ok. Saya dah melalut panjang. Let's get to the story. Pagi ini, mata saya dihidangkan dengan sebuah adegan yang kalau kena pada gayanya, boleh mengharukan perasaan. Kebetulan, pejabat saya sangat berdekatan dengan sebuah sekolah menengah. Tiap-tiap hari kecuali masa cuti sekolah, kawasan ini akan dipenuhi dengan golongan muda yang memakai baju putih seluar hijau dan kain biru ini. Masa ini macam-macam perangailah yang boleh anda nampak. Merokok, masuk kedai video game, menunggang motor macam di litar. Itu semua pemandangan biasa kami di sini.Yang ponteng sekolah, jangan ceritalah. Kalau nasib anda tak baik, anda boleh tengok adegan bergaduh sekali. Ini realiti ya. Bukan cerita rekaan dalam novel. Kalau anda tak yakin, cuba duduk satu hari di kawasan seperti ini. 

Tapi hari ni saya kira nasib saya agak baik. Bukan adegan bergaduh yang saya nampak. Tapi adegan sepasang kekasih yang belum kering hingus melakonkan adegan yang agak memedihkan mata. Gadis itu cukup bersopan. Baju kurung tersarung rapi. Tudung cantik terpakai di kepala. Dengan sebuah beg sandang, dan sebuah fail di tangan, anda akan fikirkan dia seorang pelajar yang cermerlang. Paling tidak pun, dia golongan budak 'baik-baik'. Bukan golongan kaki ponteng atau yang seangkatan dengannya. Yang lelakinya hanya berseluar khakis tiga suku dipadankan dengan T-Shirt warna kuning air.  Sampai di sebuah lorong yang menghala ke pintu pagar sekolah, si gadis  tunduk hormat sambil mencium tangan si lelaki, Yang lelaki tanpa segan silu memegang kepala si gadis dan hampir nak mencium dahinya tapi terbantut sebab kebetulan ada sekumpulan makcik-makcik yang baru balik berjoging lalu di belakang mereka. 

Jelingan makcik-makcik itu cukup buat mereka terkedu. Kalau sekali pandang, lagaknya macam seorang abang menghantar adik ke sekolah.Mungkin bagi mereka yang tidak mengenali pasangan itu, itu first impression mereka. Tapi bukan saya. Wajah budak perempuan itu memang biasa saya lihat kerana rumahnya berdekatan dengan rumah saya. Dan lelaki itu pun selalu saya nampak kerana saya pernag terserempak dengannya di tepi jalan berkali-kali. Jadi saya cukup maklum, hubungan mereka bukan hubungan adik beradik.

Sebenarnya adegan ini memang sudah acapkali saya nampak. Masa zaman saya menyarung uniform yang serupa juga adegan seperti ini memang berlaku. Mak sendiri selalu nampak adegan ini sejak dia menjadi surirumah tangga. Kadang-kadang anak kenalan sendiri berkelakuan macam itu. Nak ditegur, nanti mak dikatakan kaki sibuk. Nak didiamkan, nanti dikatakan bersubahat. Memang serba salah dibuatnya. 

Mata saya memang pedih bila nampak adegan macam ini. Hati memang jadi pilu. Alangkah baiknya kalau tangan yang disalam dan dicium itu milik ibu dan ayah. Saya cukup yakin si gadis memang tak buat begitu dengan ibu atau bapanya sebab 2-3 saya pernah terserempak dia hanya mengucapkan 'A pergi dulu mak!' sebelum dia keluar dari rumah untuk ke sekolah. Bayangkan apa yang ibu bapa mereka rasakan kalau mereka tahu anak mereka lebih rela mencium tangan lelaki yang bukan mahramnya dari ibu bapa sendiri?

Itu baru adegan salam, cium tangan. Yang lain-lain tu saya sendiri takut nak ceritakan. Puas saya cari di mana puncanya masalah macam ini terjadi. Ibu bapa tak cukup ajarkah? Pengaruh kawan-kawan? Faktor persekitaran? Honestly, I still can't find the right answer.
Bagi saya mudah sahaja. Allah kurniakan kita akal untuk berfikir. Kalaupun ibu bapa terlepas pandang dalam mendidik kita, kenapa kita tak berfikir sendiri. Seteruk-teruk ibu bapa yang lalai dalam menjaga anak, mereka masih lagi menghantar anak mereka ke sekolah. Nah, bukankah di sekolah anda diajar menilai mana baik dan mana buruk? Kenapa tak gunakan akal yang dianugerahkan itu sebaik-baiknya? Kalau anda mampu berfikir untuk menyalahkan pihak-pihak lain terhadap keburukan yang anda lakukan, maknanya anda bukan bodoh atau lembab. You're just plain ignorant.

note: pic taken form google image

Tuesday, March 2, 2010

Cerpen 'Adik' Di Jelita Mac 2010

 
 
Ahad lepas dalam keadaan pisat-pisat, saya minta mak su carikan majalah Jelita waktu dia keluar nak cuci kereta. Nak tunggu dia balik macam menunggu buah durian nak gugur. Excited campur berdebar! Bila dia sampai dengan senyum simpul dia, dia tunjuk majalah dekat tangan. "Berdebar lah tu!" Kata dia tapi saya buat muka cool lagi walaupun hati memang dah dap, dup, dap, dup. Akhirnya mukasurat yang dicari terbuka depan mata. Alhamdulillah, cerpen yang ditunggu akhirnya tersiar juga di media. Cerpen 'Adik' ni saya tulis selepas balik dari bengkel penulisan cerpen anjuran AVA. Kerana tak yakin dengan hasilnya, saya minta bantuan Kak Maria Kajiwa untuk bedah cerpen ni. Alhamdulillah, beliau sudi membantu dan hasil tips yang di beri Kak MK, saya perbaiki cerpen ni dan akhirnya saya hantar ke Berita Publishing untuk dimuatkan dalam Majalah Jelita.(Terima kasih pada Kak Lili Norlaili dari berita publishing)
Terima kasih juga pada Puan Nisah Haron dan Abang Khar kerana atas bimbingan mereka, saya dapat keberanian untuk menghasilkan karya. Dan buat semua teman-teman AVA, mari kita terus berkarya! 

Sedang giat menghasilkan cerpen-cerpen lain. Chaiyok, Farah!

Thursday, February 25, 2010

Maulidur Rasul 1431 Hijrah

Esok umat Islam akan menyambut satu lagi tarikh penting dalam sejarah Islam. 12 Rabiul Awal, tarikh yang mencatatkan kelahiran seorang manusia ulung, Nabi Muhammad S.A.W di bumi Allah S.W.T. 

Esok saya akan menolong mak dan rakan-rakan muslimahnya menyediakan keperluan sambutan Maulidur Rasul di masjid di kawasan perumahan saya. Dalam sibuk-sibuk mereka membuat persediaan, terdetik sesuatu di dalam hati saya. Bukan memandang ringan apa yang mereka lakukan tapi saya terfikir, mengapa umat Islam lebih ghairah dalam membuat sambutan itu dan ini tapi tidak ghairah dalam mempraktikkan suruhan dan ajaran Islam. Bila ada pihak tidak izinkan sambutan diadakan, semuanya melompat marah. Tapi kenapa bila ada mengumpat, tak berpuasa, tak solat dan tak berzakat, tiada siapa yang kecoh dan bising? Bila ada orang bukan Islam membuat kenyataan tentang Islam, cepat betul kita marah. Tapi bila umat Islam sendiri ingkar dengan ajaran Islam, kenapa tiada siapa yang sibuk bersuara? 

Satu soalan yang bermain difikiran saya, "kenapalah kita sibuk menyambut Maal Hijrah, Maulidur Rasul dan sebagainya, tapi kita tidak sibuk mengamalkan ajaran Islam yang sebenar-sebenarnya?"  Kata seorang ustaz, "tak apa. Biarkan mereka begitu. Sekurang-kurangnya mereka masih ingat untuk meraikan hari penting dalam hidup umat Islam. Kalau dibandingkan dengan mereka yang tidak sedar dan tidak tahu pun tentang hari tersebut, mereka (yang menyambut) ini lebih baik." 

Mungkin ada benarnya kata-kata ustaz itu. Jika dibandingkan dengan mereka yang tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu, mereka yang menyambut ini masih boleh dianggap baik lagi. Sekurang-kurangnya dalam satu hari tersebut, hati dan jiwa mereka terisi sesuatu. Mana tahu, dalam 10 orang yang datang hari sambutan tersebut, 9 darinya akan mula berubah?

Saya sendiri belum sempurna. Banyak lagi kekurangan dalam diri yang sedang diperbaiki. Buat semua pengunjung blog, Selamat Menyambut Maulidur Rasul. Sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah buat  junjungan kita Rasulullah S.A.W. Penuhi hari esok (dan hari-hari seterusnya) dengan berselawat ke atas Baginda. 

Seorang teman titipkan sebuah email kepada saya beberapa minggu lalu. Kali terakhir saya membaca pesanan ini 10 tahun lepas. Saya kongsikan bersama kawan-kawan semua dan sama-samalah kita hayati khutbah terakhir Rasulullah S.A.W ini:
"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
"Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
"Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
"Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.
"Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
"Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku.
"Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."
 
 
Nota: Ini hanya pandangan peribadi saya. Andai ada pihak yang terasa hati, saya susun 10 jari memohon maaf. :)