Followers

Google+ Followers

Friday, January 29, 2010

Ceritera Pejabat

Untuk tempoh 5 hari yang akan datang ni, saya diberi tanggungjawab oleh bos saya untuk 'menjaga' pejabat (bukan sebagai pak guard ya!). Bos-bos saya sedang bercuti sekarang ni ke Timur Tengah. Memang itu rutin mereka setiap tahun. Dan setiap tahun jugalah bila saja mereka bercuti, kerja saya akan bertambah sikit. Ayat yang diucapkan oleh bos saya "You're in-charge of everything. Do not disturb us unless it is a matter of life and death. Make your own decision so long as it won't jeopardize the firm." Ayatnya nampak mudah tapi tanggungjawab yang perlu saya pikul terasa besar.
Semalam, mereka selamat berlepas ke Dubai. Dan semalam jugalah saya mula diuji dengan macam-macam incident. Kalau diikutkan situasi tu memang saya alami setiap hari. Cuma semalam, semua kerja rutin saya jadi serba tak kena. Kemuncak kejadian yang buat saya terkedu hampir sepuluh minit di meja ialah saya dimarah oleh seorang client. Perkataan-perkataan yang keluar dari mulut Mr L itu membuatkan jantung saya luruh sekejap. Kalau tak disebabkan ramai orang di pejabat semalam, mahu menanggis saya dibuatnya. Orang lain memang malas nak melayan Mr L ni sebab itu fail lelaki diserahkan pada saya. Mengenangkan memang dah tugas, saya ikutkan juga karenah dia walaupun hati tak 100% ikhlas berurusan dengannya. "You are not giving me a good service lah my dear. How can you handle business like this?" Kata-kata itu diucapkan pada saya hanya kerana saya terlupa membalas emailnya. Baru sekali saya lakukan kesilapan tapi  berbakul-bakul dia menyumpah saya. Mungkin salah saya kerana terlepas pandang inquiry dari dia tapi semalam saya benar-benar sibuk menguruskan hal yang lebih penting. Tapi biasalah. Orang berjawatan tinggi macam dia tak pedulikan alasan-alasan munasabah pekerja bawahan macam saya. 
Tepat pukul 5.30 saya balik ke rumah. Mood nak bekerja memang zero lepas disumpah seranah lelaki itu. Ditambah lagi dengan karenah staf-staf lain yang nampak sangat sedang mengambil kesempatan di atas ketiadaan bos saya. Keluar lunch sampai 2 jam. Selama ni tak pernah pun nak tea break  Ada tu sampai ke petang tak nampak batang hidungnya. Hari ni lebih 'membanggakan'. Langsung tak datang ke pejabat! Hanya sms yang dikirimkan pada saya mengatakan dia tak dapat datang ke pejabat hari ni. Itupun dah pukul 11 pagi baru diberitahu. Wajarkah saya diamkan atau saya perlu 'nasihatkan' mereka ini? Dari segi ranking jawatan, pangkat mereka lebih tinggi dari saya. Dari segi seniority, saya lebih senior di pejabat ini. Lagipun, bos dah berikan saya lampu hijau untuk mengambil apa-apa tindakan.  Hendak ditegur, nanti ada yang terasa hati. Terus terang saya cakapkan, saya kalau menegur orang boleh buatkan orang itu membenci saya. Saya tak gunakan bahasa kasar tapi nada suara saya akan kedengaran sangat sinis dan tajam (ini menurut kata orang yang pernah di 'sound' sayalah) Sebab itu saya lebih suka diam. Tapi kalau didiamkan, takut makin menjadi-jadi. Saya sangat benci situasi ini!

Note: Picture from Google Image

Saturday, January 23, 2010

Bengkel Penulisan Sci - fi & Fantasi anjuran Astaka Villa Aksara (AVA)

Khas buat penulis yang memintai Sci-Fi dan Fantasi


 
Sila baca peraturan membayar yuran bengkel - sila klik
sini
Kepada yang berminat, sila emel nama penuh, no untuk dihubungi (apabila perlu) ke ejenmanuskrip@yahoo.com

Pembimbing : Fadli Al-Akiti (sci-fi) dan Ahmad Patria Abdullah (fantasi)
Tarikh : 13 Jun 2010 (Ahad)
Tempat : IYC, Cheras. Sila klik peta ke IYC di
sini.
Masa : 9pagi - 4 petang

Yuran : RM 150.00 -
klik sini
Ahli berdaftar dan sudah membayar yuran - diskaun 20%
Early Bird Fees (3 hari dari tarikh iklan - sila baca peraturan membayar yuran bengkel di atas)

Perserta : 15 - 20 Orang Sahaja
Minum Pagi & Makan Tengahari disediakan

Sijil disediakan
Ada kemudahan surau
sila ke :
http://ejenmanuskrip.blogspot.com/

KHAR
013-6963826
ASTAKA VILLA AKSARA (AVA)
http://ejenmanuskrip.blogspot.com/


Note:  Bagi penulis yang meminati genre ini adalah digalakkan mengikuti bengkel ini. Segala persoalan tentang sci-fi dan fantasi akan terjawab pada bengkel ini. :)

Tuesday, January 19, 2010

Nostalgia 98


Sek Men. Keb. Ideal Heights (SMKIH) - Class of '98

Semalam entah kenapa saya terlebih rajin nak menyusun buku-buku yang bersepah dalam almari. Tengah asyik mengemas terjumpa pula majalah sekolah lama. Tiba-tiba rasa nostalgia muncul dalam hati. Class of 98. Ini bermakna dah hampir 12 tahun saya meninggalkan zaman sekolah yang paling menyeronokan dalam hidup saya. Tapi sayang, saya cuma rasakan alam persekolahan itu menyeronokan itu bila saya sudah meninggalkan pakaian seragam biru saya. Waktu sekolah, kami beriya-iya nak habiskan sesi persekolahan itu. Masing-masing tak sabar nak 'keluar' dari bangunan 3 tingkat tempat kami mencari ilmu itu. Sungguh, kalaulah saya tahu hidup di dunia luar dari tembok itu begini rupa, tak akan saya harap sangat mahu menghabiskan zaman persekolahan saya itu. Saya akan nikmati sepuas-puasnya keseronokan bergelar pelajar sekolah. Walaupun saya belajar sampai ke universiti tetapi rasa atau 'feel' nya tidak sama. 
Bagi saya, menjadi pelajar sekolah saya lebih bebas. Walaupun ada terikat dengan peraturan sekolah tetapi ia tidak serumit peraturan di universiti.Saya pernah berbual dengan seorang rakan yang juga rasa apa yang saya rasakan. Katanya, zaman yang paling indah dalam hidup adalah zaman persekolahan kami. Zaman kami tidak perlu fikirkan apa-apa selain dari belajar, belajar dan belajar. Tidak perlu peningkan kepala menyusun keperluan kewangan.  Tidak perlu memikirkan hutang kereta, rumah atau pelajaran. Tidak perlu berhadapan dengan karenah birokrasi di pejabat. Buat adik-adik yang masih bersekolah, nikmatilah kehidupan itu sepuas-puasnya. Jangan terlalu cepat mahu menjadi 'dewasa'. Zaman remaja adalah zaman yang indah dalam hidup kita.

Saya betul-betul rindukan zaman persekolahan saya. Sewaktu saya membelek majalah semalam, bergenang sekejap air mata (hahahah, saya emosi sikit semalam). Membaca coretan-coretan rakan-rakan lama buat saya tersenyum sendiri. Semuanya membuatkan saya terkenang semula kehidupan saya di sekolah dulu. Betapa payahnya mak mengejutkan saya dari tidur kerana saya 'liat' bangun pagi. Memanggil dan menunggu (kadang kala agak lama dan menguji kesabaran) kawan-kawan saya yang mahu bersaing berjalan ke sekolah. Membuat rondaan ke seluruh kawasan sekolah untuk memastikan para pengawas menjalankan tugas (saya adalah penolong ketua pengawas satu ketika dulu :P). Berhadapan dengan karenah pelajar-pelajar nakal yang dalam masa yang sama merupakan rakan-rakan saya juga. Jika ada homework yang gagal disiapkan, saya akan datang awal ke sekolah dan 'pinjam' buku rakan  untuk di 'copy' dan 'paste' (untuk matapelajaran add math saja, ya. Saya bencikan subjek itu tetapi terpaksa ambil!) Memaksa mata terus berjaga walaupun kadang-kadang guru yang mengajar sangat membosankan. Rasa bangga bila cikgu memuji karangan dan esei kita bagus. Menahan rasa meluat pada perangai rakan-rakan yang dulunya kami gelar 'gedik' dan 'poyo'(hahahah). Dan mengawal debaran jantung bila berhadapan dengan 'dia', lelaki yang dulu kita anggap paling 'cool' di sekolah (hahahahah).

Itu semua cerita berbelas tahun dahulu. Halaman terakhir yang saya buka semalam adalah halaman yang mengandungi gambar kelas kami,  5 Sains 2. Saya amati satu persatu wajah bekas rakan sekelas saya.  Alhamdulillah, semuanya sudah berjaya sekarang. Ada di antaranya yang masih saya hubungi sampai sekarang. Mujur ada facebook, dapatlah kami terus berhubungan. Ada juga yang dah putus hubungan. Sebahagian daripada mereka sudah berumahtangga. Kawan baik saya sendiri sudah punya 2 anak. Ada juga yang bakal melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi. Tuan punya blog? Hahaha...belum sampai masanya. 
Tadi saya dapat berita, salah seorang dari rakan sekelas saya sudah menyahut seruan penciptanya (Gilbert, R.I.P).  Aneh, baru semalam saya tersenyum melihat kenangan kami, hari ni mendapat berita begini pula.

 

Tuesday, January 12, 2010

Hati Tikus


 
Masuk hari ini dah hampir dua minggu kita berada di tahun baru. Dan ini juga bermakna sudah hampir dua minggu badan saya masih lagi tidak baik tahap kesihatannya. Di awal tahun, tangan kanan saya makin sakit. Penyakit yang ini sebenarnya dah lama saya kena. Seingat saya dah hampir tiga bulan pergelangan tangan kanan ni sakit-sakit. Sapu minyak, krim doktor, makan painkiller dan apa-apa yang berkaitan dah saya buat. Tapi sakitnya masih ada lagi. Entah apa penyakitnya saya pun tak tahu. Mulanya dulu saya ingatkan hanya lenguh-lenguh biasa. Maklumlah kerja banyak dihabiskan dengan menaip. Pergi jumpa doktor, katanya mungkin disebabkan postur badan saya ketika menaip tidak betul. Mungkin juga tapi yang menghairankan saya kenapa pergelangan tangan pula yang sakit? Ketika saya menaip, tangan saya berada di atas meja. Jadi kemungkinan untuk sakit agak sedikit. Entahlah, saya bukan pelajar perubatan jadi bab-bab ini saya tak arif. Sekarang ni jika saya letakkan tangan ni di atas meja untuk beberapa minit tanpa berbuat apa-apa, saya  akan merasa sakit bila tangan diangkat. Perkara yang sama akan saya rasakan bila saya bangun dari tidur. Sekarang ni nak gerakkan mouse pun akan terasa bisa!

Saya perasan tangan kanan saya ini pun dah tak sekuat dulu. Jika dulu, saya masih mampu mengangkat benda-benda berat tanpa apa-apa masalah. Sekarang ni, nak memegang Arch File 3'' yang sarat dengan  dokumen pun saya akan terasa sakitnya. Adakalanya pegangan tangan saya boleh terlepas.  Tadi misalnya, hampir saja saya terlepas Stapler Heavy Duty yang selama ni boleh saja saya pegang dengan satu tangan. Mujur ada kawan di sebelah. Kalau tidak, jari kaki saya akan berbalutlah hari ni. 
Saya dan kawan ada jalankan eksperimen antara kami. Saya akan cuba genggam tangan dia menggunakan kedua-dua belah tangan saya. Dan keputusannya : Genggaman tangan kiri saya lebih kuat berbanding kanan. Aduh....Ini betul-betul buat saya risau. Nak pergi jumpa doktor lagi, saya takut. Entahlah, mungkin saya ni memang jenis yang takut nak dengar kata-kata doktor. Takut jika apa yang lahir dari mulut doktor tu boleh buat diri saya tak tenteram. Senang cakap saya memang takut! Bak kata bos saya, saya punya hati macam tikus. Penakut! Aduhaiiiii.....

Wednesday, January 6, 2010

Kosong



Kosong. Itu yang otak saya alami sekarang. Dengan selsema yang makin teruk dan badan yang kejap sejuk kejap panas, dan batuk yang menjadi-jadi saya memang tak mampu nak berfikir secara waras. Buktinya, hari ini sahaja dah dua kesalahan yang saya nampak dalam kerja-kerja yang saya tengah lakukan. Yang satu masih boleh diselamatkan lagi kerana belum dihantar pada pihak yang berkenaan. Yang satu lagi dah selamat sampai ke tangan klien nun jauh di Penang. Walaupun kesilapan tu boleh diperbetulkan untuk tugas yang akan datang tapi hati saya rasa tak tenteram. Mujur klien di Penang tu bukan jenis yang teliti tapi setiap kali telefon berdering jantung saya pasti berdegup kencang, risau kalau mereka menghubungi saya. Bukan saya takut dimarahi sebab saya akui memang saya yang salah cuma saya harapkan kalau pun mereka nak marah atau sebagainya, tolong lakukan bila saya dah sihat. Dalam keadaan badan saya yang tak sihat ini saya memang tak boleh nak hadapi kalau dimarah. Pada bos saya dah terangkan dan alhamdulillah, walaupun dia bising sikit tapi dia memahami.
Ada teman cakap, kau ni selalu aja tak sihat. Hakikatnya saya tidak mempunyai sistem pertahanan penyakit yang kuat. Kalau terdedah dengan mereka yang berpenyakit memang saya akan cepat berjangkit. Kali ni bos kedua dan rakan pejabat saya diserang selsema. Balik rumah ayah dan adik saya deman selsema. Jadi bayangkanlah virus yang sedang berlegar-legar di sekeliling saya waktu ni.
Mood memang tak ada sekarang ni. Dari kerja di pejabat sampailah kerja menulis saya. Kepala berat sangat ni. Dalam kepala saya hanya katil dan bantal di rumah yang saya bayangkan. Esok, saya akan mohon MC. Minta-mintalah demam dan selsema ni akan kebah  segera sebab hujung minggu ini saya punya tugas yang lain. Amin...

Monday, January 4, 2010

Rumah Fantasi




The Untold Story by Farah Husain
Night Crawlers. Mereka makhluk malam yang kewujudannya tidak diketahui oleh sesiapa. Diketuai Aidan yang misterius, misi mereka adalah untuk  memastikan umat manusia terus selamat. Bersama Kazar, Shaq, Que dan Nael, mereka semua berusaha untuk menghapuskan Shifters dan dalam masa yang sama melindungi rahsia kewujudan dunia gelap mereka. 
Teja Aira, gadis lurus yang baik hati. Asal saja ada orang yang memerlukan pertolongan dia akan hulurkan bantuan tanpa berfikir panjang. Dan kerana kebaikannya itu, dirinya terheret dalam dunia gelap yang penuh dengan kekejaman.
Aira yang lurus. Aidan yang misterius. Bila dua insan ini bertemu secara tidak sengaja, sebuah sejarah lama hidup kembali. Beribu tahun dahulu sebuah hubungan terlarang telah berakhir dengan satu tragedi. Bagaimana pula kali ini? Mampukah Aidan dan Aira mencipta kesudahan yang baru atau mereka juga akan menerima nasib yang sama? Dan siapakah Night Crawlers dan Shifters? Temui jawapannya dalam The Untold Story di Rumah Fantasi.


Insomnia V by Anita Aruszi
Percaya atau tidak bahawa di dunia ni mungkin ada orang yang tidak pernah tidur buat selama-lamanya? Tak percaya? Haha.. kalau tak percaya, mulai saat ini anda kenalah percaya sebab Insomnia V akan melanda planet bumi pada tahun 2010.
Groul the ancient alien sudah bersiap sedia mahu menakluk planet 7 jajaran. Untuk menyelamatkan bumi, anda harus mencari Adham si nakal, Yuna si psikik dan Darius si genius untuk menjejaki Tuan Ryaz yang menjadi banduan maut di sebuah tempat paling terpencil dan paling bahaya di dunia. Apakah rahsia yang ada pada Tuan Ryaz? Mungkinkah Yuna akan menemui cinta sejatinya? Apakah Adham mampu menyerahkan nasib orang-orangnya di tangan Yuna? Segalanya di dalam Insomnia V.





Forever Ring by Zuliana Abuas 
Kerana satu malam yang durjana telah mengheret Dean Albert John kepada satu janji. Janji Lady Megana kepadanya telah meyakinkan dia untuk terus berada dalam dunia yang penuh dengan kesepian dengan harapan satu masa nanti kesepian itu akan berakhir. Namun tanpa disedari dia sebenarnya terperangkap dalam satu peperangan yang bakal menentukan takdir hidupnya. Tetapi benarkah dunia pilihannya itu penuh dengan kedinginan? Siapakah Lady Megana? Siapakah yang dinanti oleh Dean? Benarkah Dean bersendirian dalam dunia pilihannya itu? Mampukah dia mempertahankan dunianya?

Selamat Tahun Baru 2010 buat semua rakan-rakan. Tertanya-tanya apa itu Rumah Fantasi? Ini merupakan projek usahasama saya dan dua orang rakan blog the infamous Anita Aruszi dan Zuliana Abuas a.k.a JuliaEsqa. Idea tercetus ketika saya dan Anita Aruszi ber YM bersama. Disebabkan kami berdua amat meminati kisah-kisah fantasi dan yang seangkatan dengannya maka lahirlah idea mewujudkan sebuah blog yang menghimpunkan kisah-kisah fantasi dari sesiapa yang turut meminati genre ini. Jika anda seperti kami, silalah ke Rumah Fantasi dan marilah mengembara bersama kami yang sudah bertambah usia tapi masih suka berfantasi...hehehe... Bagi yang berminat untuk menyumbang cerita untuk tatapan umum, hubungi Anita Aruszi. Cara-caranya ada diberitahu di blog Rumah Fantasi.  Jumpa di sana...