Followers

Google+ Followers

Monday, October 26, 2009

Bahasa Oh Bahasa


Beberapa bulan lalu aku ada masukkan entri tentang ‘Bahasa budak-budak zaman sekarang’.
Ini merupakan entri yang berkaitan. Aku terdorong untuk bercakap tentang hal ini sekali lagi kerana peristiwa yang berlaku jumaat lepas. Aku berkesempatan bertemu dengan junior aku. Sekarang dek kerana kegawatan ekonomi, dia telah kehilangan kerja tetapnya dan bekerja sebagai guru tuisyen yang mengajar subjek Bahasa Melayu. Topik perbualan kami pelbagai. Dari kenangan lama sewaktu zaman belajar dahulu hinggalah ke topik semasa seperti PPSMI.
Bila bercakap tentang PPSMI dia mengeleng. Ayat pertama yang dia keluarkan yang membuat aku tersenyum sendiri “Janganlah di ajar budak-budak tu dalam Bahasa Inggeris, kak. Gerun saya dibuatnya.” Aku hairan juga bila mendengar dia bercakap begitu. Terfikir juga takutkah dia bercakap dalam Bahasa Inggeris walhal dia tergolong dalam golongan yang fasih bercakap bahasa itu. Rupanya aku silap. Sebenarnya dia takut bila mengenangkan nasib Bahasa Melayu jika pelajar-pelajarnya asyik disogok dengan bahasa Inggeris. Dia tunjukkan pada aku karangan yang ditulis oleh salah seorang pelajarnya. Terkedu bila aku membaca esei yang kalau diikutkan hati aku mahu saja aku campakkan dalam bakul sampah. Ya Tuhan, bahasa apa yang dipakai oleh budak-budak ni?
“Akoo pown suka kat ko” Tolong beritahu aku, siapa yang faham dengan perkataan-perkataan ini? Aku kah yang lembab dan tidak mengikuti perkembangan semasa atau memang perkataan ini tidak masuk dek akal? Menurut kata teman aku, memang dia perlu banyak bersabar kalau mengajar pelajar-pelajarnya. Mereka kini cenderung menggunakan bahasa SMS di dalam penulisan formal. Alasannya, kerana mereka sudah biasa. Walaupun peratusan yang menulis begitu sedikit tetapi yang sedikit itulah yang harus diberi perhatian penuh, takut-takut akan merebak pada yang lain. “BM pun tunggang langgang lagi kak. Bahasa ibunda kita tu. Kalau disuruh budak-budak tu berlebihan belajar dalam bahasa Inggeris saya tak tahulah apa akan jadi! Nasib baik kerajaan setuju mansuhkan PPSMI tu. Kalau tidak...” Kita sendirilah yang fikirkan kesudahannya.
Aku belek telefon ditangan dan aku suakan kepadanya SMS yang aku terima dari ‘adik-adik’ ku.
“Sy otw p opis akk da n..”
“Ari n ke kak? N bwu lek kelas...Lau ptg xbley ke kak? Kelas pai kul 5 la kak..”
“Alg..de uit x?”
“Alg..owg x lik ri ni – far8”
Itu adalah antara SMS ‘sakit kepala’ yang aku dapat dari mereka yang berpangkat adik dengan aku. Aku ambil masa 10 minit untuk fahamkan setiap satu SMS yang dihantar. Bukan sekdar omongan kosong tetapi itulah hakikat yang aku alami. Kadang-kadang aku hampir putus asa hendak memahami pesanan mereka itu.
Inilah yang berlaku dalam hidup budak-budak muda sekarang (merujuk kepada mereka yang lahir lewat 80-an dan 90-an ke atas). Bahasa SMS digunapakai dalam urusan formal. Bagi yang rajin membaca e-novel yang tersiar di blog, pasti kalian ada ternampak perkara yang aku perkatakan ini. Seperti kata kawan aku tadi, walaupun peratusannya kecil tetapi kalau tak diberi perhatian kemungkinan ia akan merebak adalah tinggi.
Entri ini sebenarnya adalah ingatan untuk diri aku juga. Aku akui tahap penguasaan Bahasa Melayu aku masih rendah. Di sekolah menengah dulu aku boleh berbangga bila mendapat P1 untuk subjek Bahasa Melayu tetapi kalau di suruh mengambil peperiksaan yang sama sekarang kemungkinan aku untuk mendapat F9 adalah cerah. Kenapa? Kerana aku kurang latihan. Ya, untuk memahirkan semula penguasaan kita di dalam Bahasa Melayu, kita harus kerap membuat latihan. Bukan sekadar latihan menulis tetapi juga dalam perbualan kita seharian. Elakkan dari mencampur adukkan penggunaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dalam perbualan kita. Banyakkan membaca material dalam Bahasa Melayu. Jika tidak fahamkan sesuatu perkataan, rajin-rajinlah menyelak kamus.
Ini bukan bermakna kita tidak boleh langsung mendalami Bahasa Inggeris tetapi biarlah seimbang. Kalau sehari kita boleh membaca sebuah artikel dalam bahasa Inggeris, mengapa tidak kita lakukan perkara yang sama untuk bahasa Melayu?
Dulu aku pernah memberi alasan, “Sudah terbiasa”. Kemudian aku diberi satu kata hikmah yang aku kira wajar dipraktiskan kita semua, “Betulkan yang biasa, biasakan yang betul”.


Friday, October 23, 2009

Bengkel Penulisan Novel AVA

Bagi mereka yang berminat untuk mengikuti bengkel penulisan ini, ada beberapa perkara yang diperlukan :

1) Hanya terbuka kepada 15 orang sahaja (terbuka kepada semua dan yang menempah awal). Sila daftar dengan menghantar emel pada ejenmanuskrip@yahoo.com dengan memberikan nama, nama pena (sekiranya ada), alamat, nombor telefon.

2) Sila hantar/emel sinopsis lengkap novel (tidak kira apa genre) kepada ejenmanuskrip@yahoo.com bagi dinilai di dalam bengkel kelak. Boleh memasukkan sinopsis untuk watak-watak, latar tempat, masa dan sebagainya. Contoh/format akan diberikan kepada perserta melalui emel perserta dalam masa yang terdekat.

3) Menyertakan bab 1 (bukannya salah satu daripada bab yang ada/siap)


4) Tarikh : 12 Disember 2009 (Sabtu)

5) Pemudahcara : Puan Nisah Hj. Haron

6) Tempat : Pusat Belia Antarabangsa, Cheras.

7) Yuran pendaftaran : RM 100.00 (Dibayar sewaktu pendaftaran bengkel)
8) Selain itu, pemudahcara memohon agar perserta membaca semua sinopsis - agar dapat memahami apa yang bakal diterangkan serta dapat memberi buah fikiran dan pendapat.

9) Makan dan minum disediakan, surau ada di tempat bengkel.

p/s : Sekiranya ada sambutan atau sesiapa yang berminat dan tidak dapat mengikuti bengkel ini, tarikh bengkel penulisan novel seterusnya adalah 3 Januari 2010 (Ahad). Sila buat tempahan awal, kerana untuk menjaga kualiti bengkel, hanya 15 orang perserta sahaja yang dapat menyertai. Terima kasih.

Tuesday, October 20, 2009

Bengkel Penulisan Cerpen


(Gambar dipinjam dari blog AVA)

Alhamdulillah, 18hb lepas aku berjaya menghadiri Bengkel Penulisan Cerpen anjuran AVA di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) di Cheras. Bengkel dikendalikan oleh Puan Nisah Haron, penulis novel dan cerpen yang tidak asing lagi bagi mereka yang menggemari bidang penulisan. Selain daripada tips penulisan cerpen, beliau turut menyelitkan sedikit hal-hal yang berkaitan dengan hak cipta dan hak penulis. Bengkel ini turut memberi peluang kepada kami semua untuk mengetahui sedikit tentang proses penerbitan dengan kehadiran seorang editor dari Tintarona Publication Tuan Rozlan MN. Banyak jugalah info tentang penerbitan yang aku perolehi.

Bengkel yang diadakan dalam suasana santai itu dimulakan dengan sesi suai kenal antara peserta bengkel. Beberapa orang dari peserta memang sudah aku kenali. Ada juga yang hadir pernah aku temui lewat perjumpaan pertama AVA di KL Sentral yang lalu dan ada yang aku kenali melalui dunia blog. Selepas berkenal-kenalan, sesi pertama dimulakan. Sesi pertama ini menumpukan kepada asa penulisan cerpen memandangkan kebanyakan peserta tidak mempunyai pengalaman di dalam bidang ini.

Sesi kedua bermula selepas rehat. Inilah sesi yang buat aku dan Jue kecut perut. Sesi 'membedah' cerpen yang dihantar tempoh hari. Kelakar bila mengenangkan 'ketakutan' melampau kami. Sampai kami berdua berebut mahu mengangkat tangan bila ditanya siapa yang mahu cerpennya dibedah. Ada asasnya kami menjadi takut. Kebanyakan cerpen yang dibengkelkan bagus-bagus belaka sampai kami tidak menyangka yang itu merupakan kali pertama mereka menulis cerpen. Tahniah kepada mereka yang mendapat komen baik positif mahupun negatif sepanjang sesi itu. Terima kasih juga kepada mereka yang sudi memberi komen terhadap cerpen aku, Khilaf Diriku (yang akan ditukar tajuknya  berdasarkan komen Puan Nisah yang merasakan tajuknya kurang mantap). Cerpen itu akan aku baik pulih mengikut nasihat dan komen yang kalian berikan. Mana tahu, mungkin tergerak hati ini nak menghantar ke meja penerbit. :-)

Ini merupakan bengkel penulisan yang pertama yang pernah aku hadiri dan insya-Allah segala input yang diperolehi akan aku gunakan untuk memperbaiki lagi mutu penulisan aku.
Tahniah buat AVA kerana berjaya menganjurkan bengkel pertama ini. Walaupun hanya AK seorang sahaja yang menguruskannya, tetapi segalanya berjalan dengan lancar. Terima kasih kerana memberi peluang dan ruang kepada kami yang baru hendak berjinak dalam bidang penulisan untuk mendapat sedikit ilmu. Diharap banyak lagi bengkel seperti ini dapat dianjurkan AVA dimasa hadapan.

Saturday, October 3, 2009

Rancangan Akhir Tahun


Wah...pejam celik pejam celik, dah masuk bulan ke sepuluh dah tahun 2009 ni. Kejap betul masa berlalu. Tak sedar rupanya ada tinggal 2 bulan saja lagi untuk kita habiskan segala azam yang dibuat awal tahun dulu untuk 2009 ni. Tadi aku belek-belek diary, rupanya banyak benda lagi yang aku belum buat. Antaranya menyiapkan naskah manuskrip aku yang tergendala sepanjang bulan puasa hari tu. Alhamdulillah, sekarang ni aku dah kembali aktif menyiapakan apa yang patut.

Kasih Ilham masih lagi dibaik pulilh. Sejujurnya aku kurang berpuas hati dengan naskah yang satu ni sebab terlalu banyak kesalahan yang aku buat dalam manuskrip tu. Masa aku siapkan dalam bentuk e-novel, aku tak ambil kisah sangat tentang ejaan dan pengunaan tatabahasa. Ada beberapa fakta dalam cerita tu yang aku tak pasti betul atau tidak lebih-lebih lagi bila bab nama tempat-tempat di Pulau Langkawi. Almaklumlah, aku baru sekali jejakkan kaki ke pulau tu. Selebihnya aku dapatkan maklumat dari internet yang aku kira hanya boleh dipercayai 70% sahaja. Sebab apa? Bila aku pergi website yang ini, keterangannya lain. Aku ke website yang lain, keterangannya lain. Sampai aku pun naik konfius! Hahahah..ada sesiapa yang kat sini arif pasal Langkawi tak?

Nadi pun semakin rancak pembikinannya. Sekarang ni masih di stage ke-3. Aku dah nak masuk bab yang akan merungkai segala persoalan. Bagi sesiapa yang nak tahu, aku menulis ada 5 stage. Stage pertama, aku drafkan segala maklumat penting bagi kisah itu cthnya nama watak, lokasi, lagu yang sesuai (aku memang perlukan lagu untuk menulis..hehehe) dan sebagainya. Stage ke-2, aku mula rangka jalan cerita supaya kronologinya betul. Stage ke-3, aku mulakan menaip ke dalam laptop dan mula publish ke blog. Stage ke-4, aku baca semula dan mula buat editing (bila dah sampai stage ni, aku akan mula lambat publish kat blog, macam yang jadi dgn Kasih Ilham..hihihihi...peringkat ni perlukan keazaman yang sangat tinggi kalau tak memang akan terbengkalai macam projek perumahan terbengkalai tu). Stage ke-5, final editing dan bila dah selesai aku akan timbang-timbangkan untuk hantar pada pihak yang berkenaan atau tidak (peringkat yang ini belum tiba lagi sampai la ni...isyh...isyh..isyh...)

Bulan October ini juga kerja dipejabat sibuk kembali. Ada 3 projek yang dateline nya hingga ke penghujung October ni. Mujur ada TA baru. Sekurang-kurangnya kerja membelek pelan-pelan tu aku tak perlu buat lagi. Setakat tolong sikit-sikit je. Aku boleh concentrate hal-hal dokumentasi tender. Ringan sikit beban kerja.

Bulan ini juga aku akan menghadiri bengkel yang berkaitan dengan penulisan. Kalau ikut rancangan, 10hb ni sepatutnya ada Bengkel Penulisan Thriller dan Aksi anjuran Alaf21. Dengan penulis terkenal Encik Ramlee Awang Murshid dan Encik Eyman Hykal. Mulanya aku tak boleh nak hadiri sebab ada program lain, tapi lepas kena pujuk dan goda dengan Jue dan Kak Nurul, aku ikut juga. Sekali kena cancel lah pulak! Haiiii... Menurut kata pihak Alaf21, bengkel tu akan diadakan sekitar bulan November. Tak kisahlah kan, janji bengkel itu akan diadakan. Cuma cepat atau lambat je.

Pada 18hb ni pulak, aku akan menghadiri satu lagi bengkel penulisan tapi kali ini penulisan cerpen. Bengkel ni anjuran AVA ni akan dikendalikan oleh Puan Nisah Haron. Aku sebenarnya tak sabar nak hadiri bengkel ni tapi dalam tak sabar tu, ada terselit rasa takut dan gerun. Bukan apa, kami dikehendaki hantar cerpen untuk dibengkelkan masa bengkel ni nanti. Aku rasa takut pula bila mengenangkan cerpen tu akan dibaca orang lain. Aiyakkk!!!!

Apa-apa pun aku harapkan segala perancangan yang dirancang berjalan lancar. Walaupun sebenarnya aku ni jenis yang tak boleh merancang sebab sejak azali lagi, semua benda yang dirancang awal2 akan tergendala. Aku hanya boleh merancang 2-3 hari sebelum aku nak buat apa-apa. Masa tu insya-allah semuanya berjalan lancar. Teringat pula kata-kata hikmah yang satu ni 'Manusia yang gagal merancang adalah manusia yang merancang untuk gagal'. Masalahnya aku tak pernah gagal merancang cuma faktor persekitaran yang sering membuat rancangan aku gagal. Macamana tu?