Followers

Monday, October 26, 2009

Bahasa Oh Bahasa


Beberapa bulan lalu aku ada masukkan entri tentang ‘Bahasa budak-budak zaman sekarang’.
Ini merupakan entri yang berkaitan. Aku terdorong untuk bercakap tentang hal ini sekali lagi kerana peristiwa yang berlaku jumaat lepas. Aku berkesempatan bertemu dengan junior aku. Sekarang dek kerana kegawatan ekonomi, dia telah kehilangan kerja tetapnya dan bekerja sebagai guru tuisyen yang mengajar subjek Bahasa Melayu. Topik perbualan kami pelbagai. Dari kenangan lama sewaktu zaman belajar dahulu hinggalah ke topik semasa seperti PPSMI.
Bila bercakap tentang PPSMI dia mengeleng. Ayat pertama yang dia keluarkan yang membuat aku tersenyum sendiri “Janganlah di ajar budak-budak tu dalam Bahasa Inggeris, kak. Gerun saya dibuatnya.” Aku hairan juga bila mendengar dia bercakap begitu. Terfikir juga takutkah dia bercakap dalam Bahasa Inggeris walhal dia tergolong dalam golongan yang fasih bercakap bahasa itu. Rupanya aku silap. Sebenarnya dia takut bila mengenangkan nasib Bahasa Melayu jika pelajar-pelajarnya asyik disogok dengan bahasa Inggeris. Dia tunjukkan pada aku karangan yang ditulis oleh salah seorang pelajarnya. Terkedu bila aku membaca esei yang kalau diikutkan hati aku mahu saja aku campakkan dalam bakul sampah. Ya Tuhan, bahasa apa yang dipakai oleh budak-budak ni?
“Akoo pown suka kat ko” Tolong beritahu aku, siapa yang faham dengan perkataan-perkataan ini? Aku kah yang lembab dan tidak mengikuti perkembangan semasa atau memang perkataan ini tidak masuk dek akal? Menurut kata teman aku, memang dia perlu banyak bersabar kalau mengajar pelajar-pelajarnya. Mereka kini cenderung menggunakan bahasa SMS di dalam penulisan formal. Alasannya, kerana mereka sudah biasa. Walaupun peratusan yang menulis begitu sedikit tetapi yang sedikit itulah yang harus diberi perhatian penuh, takut-takut akan merebak pada yang lain. “BM pun tunggang langgang lagi kak. Bahasa ibunda kita tu. Kalau disuruh budak-budak tu berlebihan belajar dalam bahasa Inggeris saya tak tahulah apa akan jadi! Nasib baik kerajaan setuju mansuhkan PPSMI tu. Kalau tidak...” Kita sendirilah yang fikirkan kesudahannya.
Aku belek telefon ditangan dan aku suakan kepadanya SMS yang aku terima dari ‘adik-adik’ ku.
“Sy otw p opis akk da n..”
“Ari n ke kak? N bwu lek kelas...Lau ptg xbley ke kak? Kelas pai kul 5 la kak..”
“Alg..de uit x?”
“Alg..owg x lik ri ni – far8”
Itu adalah antara SMS ‘sakit kepala’ yang aku dapat dari mereka yang berpangkat adik dengan aku. Aku ambil masa 10 minit untuk fahamkan setiap satu SMS yang dihantar. Bukan sekdar omongan kosong tetapi itulah hakikat yang aku alami. Kadang-kadang aku hampir putus asa hendak memahami pesanan mereka itu.
Inilah yang berlaku dalam hidup budak-budak muda sekarang (merujuk kepada mereka yang lahir lewat 80-an dan 90-an ke atas). Bahasa SMS digunapakai dalam urusan formal. Bagi yang rajin membaca e-novel yang tersiar di blog, pasti kalian ada ternampak perkara yang aku perkatakan ini. Seperti kata kawan aku tadi, walaupun peratusannya kecil tetapi kalau tak diberi perhatian kemungkinan ia akan merebak adalah tinggi.
Entri ini sebenarnya adalah ingatan untuk diri aku juga. Aku akui tahap penguasaan Bahasa Melayu aku masih rendah. Di sekolah menengah dulu aku boleh berbangga bila mendapat P1 untuk subjek Bahasa Melayu tetapi kalau di suruh mengambil peperiksaan yang sama sekarang kemungkinan aku untuk mendapat F9 adalah cerah. Kenapa? Kerana aku kurang latihan. Ya, untuk memahirkan semula penguasaan kita di dalam Bahasa Melayu, kita harus kerap membuat latihan. Bukan sekadar latihan menulis tetapi juga dalam perbualan kita seharian. Elakkan dari mencampur adukkan penggunaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dalam perbualan kita. Banyakkan membaca material dalam Bahasa Melayu. Jika tidak fahamkan sesuatu perkataan, rajin-rajinlah menyelak kamus.
Ini bukan bermakna kita tidak boleh langsung mendalami Bahasa Inggeris tetapi biarlah seimbang. Kalau sehari kita boleh membaca sebuah artikel dalam bahasa Inggeris, mengapa tidak kita lakukan perkara yang sama untuk bahasa Melayu?
Dulu aku pernah memberi alasan, “Sudah terbiasa”. Kemudian aku diberi satu kata hikmah yang aku kira wajar dipraktiskan kita semua, “Betulkan yang biasa, biasakan yang betul”.


4 comments:

  1. Bagi Kaseh penggunaan bahasa sms yang berleluasa memang melampau.

    lebih2 lagi dalam penulisan entry. terutama sekali entry enovel.

    sangat sakit hati bila terbaca enovel yang suka gunakan ayat sms.

    kalau masalah ni tak diatasi alamatnya jatuhlah martabat bahasa kita.

    ReplyDelete
  2. aku memang tidak bersetuju dengan penggunaan bahasa melayu yang telah di rojakkan dan digunakan secara meluas ni. Secara jujur aku pun ambil masa untuk memahami dan menganalisa makna di sebalik perkataan tu.

    susah sangat ke untuk menggunakan bahasa melayu yang betul?

    ReplyDelete
  3. pening kepala aku baca bahasa sms adik2 ko tu...hahaha. selalunya kalau aku terima sms yg memeningkan aku balas je tak paham..lepas tu baru dorg balas guna bahasa ok sikit.

    ReplyDelete
  4. Kaseh - Ya. Saya setuju dengan Kaseh. Memang sakit hati kalau baca enovel yang banyak guna bahasa sms ni. Cerita yang menarik sekalipun kalau guna bahasa gaya ini, memang buat saya berhenti membaca.

    Fasya - Nak guna bahasa melayu yang betul tak susah. Penyakitnya cuma satu: Malas!

    Jue - Hahaha..nak suruh dia hantar sms baru? sama saja jalan ceritanya. senang, aku telefon je dia. tapi siap lah aku bagi dua tiga das 'ayat-ayat' power.

    ReplyDelete