Followers

Monday, March 14, 2011

Hikayat Merong Mahawangsa

Poster Hikayat Merong Mahawangsa

Sabtu lepas saya berkesempatan menonton filem epic melayu Hikayat Merong Mahawangsa (saya tak merasainya epiknya). Filem ini  arahan Yusry Abd Halim dan diterbitkan KRU Studios. Sejak trailer filem ini mula disiarkan di internet tahun lalu, perasaan teruja untuk menontonnya sudah membuak-buak dalam hati memandangkan saya memang sukakan kisah-kisah dalam genre ini.

Apa yang boleh saya katakan tentang filem ini? Hurmmm...dari 5 bintang saya boleh beri 3.5 bintang. 3.5 itupun khas buat kreativiti KRU dalam interpretasi cerita, rekabentuk set perkampungan, babak pertarungan, babak akhir dan muzik latarnya.

Saya suka bagaimana pembikin filem ini menginterpretasi Hikayat Merong Mahawangsa. Geruda yang menculik puteri dari China itu dibayangkan sebagai sebuah kumpulan lanun dan Jentayu yang menyelamatkannya dibayangkan sebagai kapal Merong. (Sesiapa yang dah pernah baca naskah Hikayat Merong Mahawangsa terbitan DBP pasti tahu apa yang saya maksudkan.) Rekabentuk set yang dibuat juga sangat bagus. Babak pertarungan walaupun sedikit kelam kabut tapi wajar dipuji. Sekurng-kurangnya ia tidak nampak kartun macam aksi di dalam filem dan drama Melayu yang lain. Dan muzik latarnya sedap didengar (Jika dibuat album score music juga bagus). Plot ceritanya walaupun ada satu dua yang sedikit kelam kabut tapi masih boleh dimaafkan. Saya tidak sukakan satu babak pertarungan di kawasan Geruda. Saya terkeluar daripada 'pertarungan' itu bila ada dua lelaki (dari kumpulan Merong Mahawangsa) tiba-tiba berpelukan tanda menyerah kalah. Elemen humor yang cuba diselitkan Yusry tidak kena pada tempatnya. Lainlah kalau filem HMM ini sebuah epik komedi, jadi mungkin babak itu boleh diselitkan. Babak Puteri China dan inangnya melarikan diri dari kawalan Geruda juga menimbulkan tanda tanya. Bila dan bagaimana mereka berjaya lepaskan diri. Bukankah puteri itu 'aset' penting Geruda? Kenapa dia tidak dijaga dengan rapi? Kenapa Taji tidak gunakan puteri itu untuk menyuruh Merong dan kumpulannya menyerah kalah? Hurmmm....

Untuk lakonan? Saya minta maaf sangat tapi watak Merong Mahawangsa di tangan Stephen Rahman Hughes tidak menjadi (ini pendapat peribadi ya). Beliau terlalu ‘keras’! Ya, tidak dinafikan aksi pertarungan beliau memang kelas tapi hanya setakat itu kelebihan beliau. Setiap kali tiba waktu dia perlu melontarkan kata-kata, dahi saya pasti berkerut. Bukan kerana sebutan Bahasa Melayunya. (Saya rasa bahasa melayu Mr Hughes ada sedikit improvement berbanding di dalam PGLTM.) Dahi saya berkerut kerana cara penyampaiannya yang semacam tidak kena. Saya tak dapat nak pastikan bila masanya beliau sedang bercakap tentang sesuatu yang serius atau ketika itu beliau sedang membuat lawak? Sila rujuk pada babak beliau bertanya kepada seorang askar dari China ‘Does it hurt?’ Saya tahu beliau cuba untuk menjadi witty tapi entah kenapa saya tak dapat merasakannya. Dialog yang dilontarkan beliau tidak sampai pada wajahnya. Senang cakap, tak ada soul! Hehehe...ada masanya saya rasa seolah-olah sedang menonton lakonan Steven Seagal (yang pandai berlawan tapi bila berlakon agak errrr...) Dari mula hingga akhir filem ini, saya cuba untuk menyukai watak Merong tapi maaf, saya tak boleh! (Minta maaf sangat kepada peminat Stephen Rahman!) Mungkin untuk babak akhir bila Merong bertarung dengan Taji dan waktu itu dia teringat pantun dari ibunya dan akhirnya dia mula faham makna sebenar pantun itu, barulah saya suka sedikit dengan watak Merong. Ketika itu barulah saya dapat merasai (walaupun sekejapan) siapa Merong Mahawangsa.

Lakonan actor luar yang lain, saya rasa boleh tahan. Gavin Stenhouse wajar diberi pujian. Kudos juga kepada pelakon-pelakon dari Malaysia (terutamanya Wan Hanafi Su, Khir Rahman, Ummi Nazeera, Umi Aida dan Dato Rahim Razali). Tapi dalam ramai-ramai pelakon itu, saya sukakan watak Inang Puteri China. Honestly, dialah penyeri cerita itu (gelak ketawa dari penonton jelas kedengaran di dalam panggung jika ada babak si inang muncul di layar).

HMM nampak hebat kerana kesan CGI yang digunakan. Sebagai anak Malaysia, saya berbangga kerana ada anak Melayu tempatan berjaya menghasilkan filem begini. Memang saya teruja sangat melihat kesan CGInya. Walaupun belum mencapai tahap mana-mana filem epic Hollywood atau Asia yang lain, sekurang-kurangnya Yusry berjaya melakukannya. Tahniah kepada beliau.  Mungkin untuk filem-filem akan datang, kekurangan dan kelemahan di dalam HMM dapat diperbaiki. Semua itu tidak mustahil kerana umum tahu, adik beradik KRU ini memang kreatif orangnya dan mereka sentiasa mahu menghasilkan sesuatu yang baru dan bagus.

Bagi yang belum pernah membaca Hikayat Merong Mahawangsa, mungkin anda boleh menonton filem ini dengan minda yang terbuka. Tapi bagi yang pernah membaca hikayat itu, mungkin fikiran anda sedikit “kacau” ketika menontonya. Nasihat saya, "kosongkan" minda anda ketika menonton filem ini. Ingat, ini adalah sebuah filem yang dibuat berdasarkan interpretasi pembikinnya. Bukannya naskah sebenar hikayat yang dijadikan filem. Oh ya, satu lagi. Filem ini dwi bahasa ya. Pembikinnya ada sebab tersendiri mengapa mereka menggunakan dwi-bahasa. Saya rasa jika digunakan 100% Bahasa Melayu filem ini akan nampak lebih indah. Barulah lebih terasa ia filem Malaysia.

Setakat ini, filem HMM adalah filem terbaik KRU Studios yang pernah saya tonton. Dan filem terbaik bagi tahun 2011. Setakat inilah ya. 2011 masih berbaki 9 bulan lagi. Mungkin ada lagi filem lain yang lebih baik? (errr...agak doubtful)...hehehe

* Ini cuma pendapat peribadi saya yang menonton dari sudut pandangan seorang penonton. Saya bukan pelajar atau graduan bidang filem atau sastera. Peace...