Followers

Tuesday, October 20, 2009

Bengkel Penulisan Cerpen


(Gambar dipinjam dari blog AVA)

Alhamdulillah, 18hb lepas aku berjaya menghadiri Bengkel Penulisan Cerpen anjuran AVA di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) di Cheras. Bengkel dikendalikan oleh Puan Nisah Haron, penulis novel dan cerpen yang tidak asing lagi bagi mereka yang menggemari bidang penulisan. Selain daripada tips penulisan cerpen, beliau turut menyelitkan sedikit hal-hal yang berkaitan dengan hak cipta dan hak penulis. Bengkel ini turut memberi peluang kepada kami semua untuk mengetahui sedikit tentang proses penerbitan dengan kehadiran seorang editor dari Tintarona Publication Tuan Rozlan MN. Banyak jugalah info tentang penerbitan yang aku perolehi.

Bengkel yang diadakan dalam suasana santai itu dimulakan dengan sesi suai kenal antara peserta bengkel. Beberapa orang dari peserta memang sudah aku kenali. Ada juga yang hadir pernah aku temui lewat perjumpaan pertama AVA di KL Sentral yang lalu dan ada yang aku kenali melalui dunia blog. Selepas berkenal-kenalan, sesi pertama dimulakan. Sesi pertama ini menumpukan kepada asa penulisan cerpen memandangkan kebanyakan peserta tidak mempunyai pengalaman di dalam bidang ini.

Sesi kedua bermula selepas rehat. Inilah sesi yang buat aku dan Jue kecut perut. Sesi 'membedah' cerpen yang dihantar tempoh hari. Kelakar bila mengenangkan 'ketakutan' melampau kami. Sampai kami berdua berebut mahu mengangkat tangan bila ditanya siapa yang mahu cerpennya dibedah. Ada asasnya kami menjadi takut. Kebanyakan cerpen yang dibengkelkan bagus-bagus belaka sampai kami tidak menyangka yang itu merupakan kali pertama mereka menulis cerpen. Tahniah kepada mereka yang mendapat komen baik positif mahupun negatif sepanjang sesi itu. Terima kasih juga kepada mereka yang sudi memberi komen terhadap cerpen aku, Khilaf Diriku (yang akan ditukar tajuknya  berdasarkan komen Puan Nisah yang merasakan tajuknya kurang mantap). Cerpen itu akan aku baik pulih mengikut nasihat dan komen yang kalian berikan. Mana tahu, mungkin tergerak hati ini nak menghantar ke meja penerbit. :-)

Ini merupakan bengkel penulisan yang pertama yang pernah aku hadiri dan insya-Allah segala input yang diperolehi akan aku gunakan untuk memperbaiki lagi mutu penulisan aku.
Tahniah buat AVA kerana berjaya menganjurkan bengkel pertama ini. Walaupun hanya AK seorang sahaja yang menguruskannya, tetapi segalanya berjalan dengan lancar. Terima kasih kerana memberi peluang dan ruang kepada kami yang baru hendak berjinak dalam bidang penulisan untuk mendapat sedikit ilmu. Diharap banyak lagi bengkel seperti ini dapat dianjurkan AVA dimasa hadapan.

3 comments:

  1. Ya...moga tahun depan kita boleh attend bengkel lagi...Tapi apa2 pun tahniah sbb cerpen awak BEST...errr tahun depan musti awak join kelas novel kan....saya la kena join balik kelas cerpen...huhuhuhu

    ReplyDelete
  2. banyak lagi yang saya kena pelajari kak nurul...masuk bengkel novel tak bermakna saya tak join cerpen lagi...cerpen saya masih belum mantap kak...mari kita belajar bersama-sama..

    ReplyDelete
  3. Lolozh04, kalau mahu pandai menulis perlu tambah bahan bacaan lagi...Saya menasihat atas pengalaman lepas.

    ReplyDelete