Sek Men. Keb. Ideal Heights (SMKIH) - Class of '98
Semalam entah kenapa saya terlebih rajin nak menyusun buku-buku yang bersepah dalam almari. Tengah asyik mengemas terjumpa pula majalah sekolah lama. Tiba-tiba rasa nostalgia muncul dalam hati. Class of 98. Ini bermakna dah hampir 12 tahun saya meninggalkan zaman sekolah yang paling menyeronokan dalam hidup saya. Tapi sayang, saya cuma rasakan alam persekolahan itu menyeronokan itu bila saya sudah meninggalkan pakaian seragam biru saya. Waktu sekolah, kami beriya-iya nak habiskan sesi persekolahan itu. Masing-masing tak sabar nak 'keluar' dari bangunan 3 tingkat tempat kami mencari ilmu itu. Sungguh, kalaulah saya tahu hidup di dunia luar dari tembok itu begini rupa, tak akan saya harap sangat mahu menghabiskan zaman persekolahan saya itu. Saya akan nikmati sepuas-puasnya keseronokan bergelar pelajar sekolah. Walaupun saya belajar sampai ke universiti tetapi rasa atau 'feel' nya tidak sama.
Bagi saya, menjadi pelajar sekolah saya lebih bebas. Walaupun ada terikat dengan peraturan sekolah tetapi ia tidak serumit peraturan di universiti.Saya pernah berbual dengan seorang rakan yang juga rasa apa yang saya rasakan. Katanya, zaman yang paling indah dalam hidup adalah zaman persekolahan kami. Zaman kami tidak perlu fikirkan apa-apa selain dari belajar, belajar dan belajar. Tidak perlu peningkan kepala menyusun keperluan kewangan. Tidak perlu memikirkan hutang kereta, rumah atau pelajaran. Tidak perlu berhadapan dengan karenah birokrasi di pejabat. Buat adik-adik yang masih bersekolah, nikmatilah kehidupan itu sepuas-puasnya. Jangan terlalu cepat mahu menjadi 'dewasa'. Zaman remaja adalah zaman yang indah dalam hidup kita.
Saya betul-betul rindukan zaman persekolahan saya. Sewaktu saya membelek majalah semalam, bergenang sekejap air mata (hahahah, saya emosi sikit semalam). Membaca coretan-coretan rakan-rakan lama buat saya tersenyum sendiri. Semuanya membuatkan saya terkenang semula kehidupan saya di sekolah dulu. Betapa payahnya mak mengejutkan saya dari tidur kerana saya 'liat' bangun pagi. Memanggil dan menunggu (kadang kala agak lama dan menguji kesabaran) kawan-kawan saya yang mahu bersaing berjalan ke sekolah. Membuat rondaan ke seluruh kawasan sekolah untuk memastikan para pengawas menjalankan tugas (saya adalah penolong ketua pengawas satu ketika dulu :P). Berhadapan dengan karenah pelajar-pelajar nakal yang dalam masa yang sama merupakan rakan-rakan saya juga. Jika ada homework yang gagal disiapkan, saya akan datang awal ke sekolah dan 'pinjam' buku rakan untuk di 'copy' dan 'paste' (untuk matapelajaran add math saja, ya. Saya bencikan subjek itu tetapi terpaksa ambil!) Memaksa mata terus berjaga walaupun kadang-kadang guru yang mengajar sangat membosankan. Rasa bangga bila cikgu memuji karangan dan esei kita bagus. Menahan rasa meluat pada perangai rakan-rakan yang dulunya kami gelar 'gedik' dan 'poyo'(hahahah). Dan mengawal debaran jantung bila berhadapan dengan 'dia', lelaki yang dulu kita anggap paling 'cool' di sekolah (hahahahah).
Itu semua cerita berbelas tahun dahulu. Halaman terakhir yang saya buka semalam adalah halaman yang mengandungi gambar kelas kami, 5 Sains 2. Saya amati satu persatu wajah bekas rakan sekelas saya. Alhamdulillah, semuanya sudah berjaya sekarang. Ada di antaranya yang masih saya hubungi sampai sekarang. Mujur ada facebook, dapatlah kami terus berhubungan. Ada juga yang dah putus hubungan. Sebahagian daripada mereka sudah berumahtangga. Kawan baik saya sendiri sudah punya 2 anak. Ada juga yang bakal melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi. Tuan punya blog? Hahaha...belum sampai masanya.
Tadi saya dapat berita, salah seorang dari rakan sekelas saya sudah menyahut seruan penciptanya (Gilbert, R.I.P). Aneh, baru semalam saya tersenyum melihat kenangan kami, hari ni mendapat berita begini pula.
No comments:
Post a Comment