: pic
Baru-baru ni saya terdengar keluhan seorang ibu yang datang mengadu pada emak. Dia sudah mati akal dengan perangai anaknya. Nasihat sudah. Marah pun sudah tapi anaknya itu masih tak nak berubah. Dalam dia mengeluh, dia akui kesilapan diri dia dan suami. Katanya dia terlalu memanjakan anak-anak. Dia terlalu mewahkan anak-anak dia hingga budak-budak itu naik lemak dan tidak mahu mendengar kata. Dalam pada tu, mak turut mengeluh mengenangkan adik-adik saya yang lahir ketika keluarga kami sudah mulai ‘senang’. Lebih kurang saja perangai mereka semua. Keluhan tu buat saya terkenangkan zaman saya membesar.
Kami bukan orang senang pada asalnya. Sewaktu mak dan ayah mula-mula berkahwin dulu, mereka tinggal di kuarters kerajaan di Jalan Sultan Salahuddin. Bukannya rumah sendiri pun tapi menumpang di rumah arwah wan. Ayah saya bukannya orang senang (literally). Walaupun keputusan STP dia bagus tetapi disebabkan kesempitan hidup, dia tidak menyambung pelajaran. Alasan yang klise kan? Tetapi itulah hakikatnya. Ayah hanya anak angkat kepada arwah wan. Ibu dan ayah kandungnya dah meninggal dunia sewaktu dia masih bayi lagi. Arwah wan pun bukannya orang lain, tetapi ibu saudara dia sendiri. Tetapi kalau dah adat menumpang kasih orang, terima sahajalah apa yang ada. Kalau kurang jangan nak meminta. Sebab itulah ayah tak sibuk-sibuk merengek dengan arwah wan nak sambung belajar. Disebabkan itu, habis sahaja sekolah ayah terus bekerja. Perkerjaan pertama ayah adalah sebagai pengawal keselamatan di sebuah universiti tertua di Malaysia. Rezeki ayah murah, beberapa bulan bekerja di situ ada pihak pengurusan keluarkan iklan jawatan kosong sebagai pembantu tadbir di situ dan ayah terus ambil peluang yang ada.
Lepas ayah dapat kerja sebagai pemb. Tadbir, kami sekeluarga menyewa di sebuah flat di Jalan San Peng. Masa tu umur saya sekitar 2 tahun. Sewaktu kecil, arwah nenek dan atuk yang menjaga saya dan adik. Saya ingat lagi setiap hari mak akan ulang alik hantar dan ambil kami dari rumah kami ke blok sebelah (rumah nenek). Hidup sewaktu tu memang bahagia sangat. Saya cucu sulung jadi perhatian tu memang lebih dari yang lain. Saya memang dimanjakan oleh mereka semua. Tapi itu tak bermakna kalau saya buat salah, saya tak kena marah. Manja, manja jugak. Tapi kalau buat perangai memang akan kena dengan nenek!
Dua tahun kemudian, nenek dan atuk pindah balik ke kampong di Melaka. Disebabkan kami masih belum bersekolah, saya dan adik ikut sama tinggal di kampong dengan mereka. Setiap kali cuti hujung minggu, ayah dan mak akan jenguk kami di Melaka. Dulu kami empat beranak tiada kereta. Tapi ayah gagahkan juga menunggang motosikal Hondanya dari KL ke Melaka. Sudahlah masa tu tak ada highway! Mak pernah bising betapa dia sakit pinggang kalau mereka balik ke kampong waktu tu. Kesudahannya, mereka balik naik bas sahaja (mungkin ayah tak tahan dengar mak membebel! Hehehe)
Sewaktu saya memulakan alam persekolahan, fasa baru dalam hidup kami pun bermula. Ayah dah mampu beli rumah sendiri. Kami sekeluarga berpindah ke Selayang. Rumah teres dua tingkat itu menjadi istana kami berempat. Daripada flat dua bilik, kami duduk di rumah tiga bilik. Waktu tu sayalah budak yang paling kaya sebab sepupu yang lain duduk di rumah flat lagi! Hehehe... Di sini semuanya berubah. Bermula dengan sebuah motor, ayah dah mampu beli kereta. Mak dah tak bising sakit pinggang lagi. Dari berempat, kami dah jadi berenam. Dari seorang cucu yang manja, saya dah jadi kakak kepada 4 orang adik lelaki. Tanggungjawab pun dah lebih.
Itu semua cerita 24 tahun dulu. Sekarang walaupun kami masih tinggal di rumah yang sama, keadaannya dah tak sama macam dulu. Rumah tak meriah sangat sebab adik-adik dah ada kehidupan masing-masing. Yang dah kahwin dah ada rumah sendiri. Yang masih belajar hanya ada di rumah sewaktu cuti semester. Ayah dan mak pun dah semakin tua. Kesihatan pun dan mula merosot. Ayah yang satu masa dulu cukup kuat dah mula sakit sana sini. Baru-baru ni dia diserang mild-stroke. Tapi alhamdulillah, masih belum tahap serius. Mak pun sudah tak bekerja. Dia sudah menjadi suri rumah sepenuh masa.
Bila saya fikirkan jerit perih dan susah payah yang kami hadapi sepanjang masa ni, buat saya semakin hargai kesenangan yang saya ada sekarang. Sewaktu saya membesar saya tak semewah kawan-kawan yang lain. Nak itu ini, senang saja diperolehi. Sedangkan saya kena berkira-kira nak minta pada mak dan ayah. Sebab itu sekarang, kalau saya nak apa-apa saya terus dapatkan tanpa fikir panjang. Sebab saya dah pernah rasai betapa seksanya untuk saya perolehi semua itu masa saya membesar dahulu.
Tiga orang adik saya sangat beruntung kerana sewaktu mereka membesar, mereka tak rasai apa yang saya dan adik pertama saya rasakan. Semuanya dah terhidang depan mata untuk mereka. Mereka tak perlu nak bersusah payah simpan duit belanja untuk beli buku rujukan. Tak perlu tunggu hujung bulan kalau terasa nak makan KFC. Tak perlu nak cari public phone kalau nak telefon sesiapa sebab masing-masing dah ada telefon bimibit! Beg sekolah saban tahun berganti. Kasut sekolah setahun dua pasang. Baju sekolah dua tiga pasang. Betapa beruntungnya mereka!
Buat generasi-generasi muda hari ini, hargailah apa yang anda semua ada sekarang. Jangan ambil mudah dan mengambil kesempatan di atas ‘kemewahan’ yang anda miliki. Tolonglah hargai apa yang ibu dan bapa anda sudah lakukan untuk anda. Bukan mudah jalan yang mereka lalui untuk sediakan segalanya untuk kita. Selagi masih ada kesempatan ni, balaslah jasa mereka. Bukan dengan wang ringgit tapi dengan diri kita. Jika diminta belajar, belajarlah hingga kita berjaya. Bila disuruh berbuat baik, buatlah dengan ikhlas. Bila dilarang lakukan sesuatu, patuhilah ia. Jadilah anak yang mendengar kata. Hanya itu yang mereka pinta...
ada benarnya. hidup susah buat kita lebih menghargai dan mensyukuri apa yang kita ada walaupun ia kecil pada pandangan mata lain.
ReplyDeleteterharu sunguh mendengar cerita ni...
ReplyDelete