Esok umat Islam akan menyambut satu lagi tarikh penting dalam sejarah Islam. 12 Rabiul Awal, tarikh yang mencatatkan kelahiran seorang manusia ulung, Nabi Muhammad S.A.W di bumi Allah S.W.T.
Esok saya akan menolong mak dan rakan-rakan muslimahnya menyediakan keperluan sambutan Maulidur Rasul di masjid di kawasan perumahan saya. Dalam sibuk-sibuk mereka membuat persediaan, terdetik sesuatu di dalam hati saya. Bukan memandang ringan apa yang mereka lakukan tapi saya terfikir, mengapa umat Islam lebih ghairah dalam membuat sambutan itu dan ini tapi tidak ghairah dalam mempraktikkan suruhan dan ajaran Islam. Bila ada pihak tidak izinkan sambutan diadakan, semuanya melompat marah. Tapi kenapa bila ada mengumpat, tak berpuasa, tak solat dan tak berzakat, tiada siapa yang kecoh dan bising? Bila ada orang bukan Islam membuat kenyataan tentang Islam, cepat betul kita marah. Tapi bila umat Islam sendiri ingkar dengan ajaran Islam, kenapa tiada siapa yang sibuk bersuara?
Satu soalan yang bermain difikiran saya, "kenapalah kita sibuk menyambut Maal Hijrah, Maulidur Rasul dan sebagainya, tapi kita tidak sibuk mengamalkan ajaran Islam yang sebenar-sebenarnya?" Kata seorang ustaz, "tak apa. Biarkan mereka begitu. Sekurang-kurangnya mereka masih ingat untuk meraikan hari penting dalam hidup umat Islam. Kalau dibandingkan dengan mereka yang tidak sedar dan tidak tahu pun tentang hari tersebut, mereka (yang menyambut) ini lebih baik."
Mungkin ada benarnya kata-kata ustaz itu. Jika dibandingkan dengan mereka yang tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu, mereka yang menyambut ini masih boleh dianggap baik lagi. Sekurang-kurangnya dalam satu hari tersebut, hati dan jiwa mereka terisi sesuatu. Mana tahu, dalam 10 orang yang datang hari sambutan tersebut, 9 darinya akan mula berubah?
Saya sendiri belum sempurna. Banyak lagi kekurangan dalam diri yang sedang diperbaiki. Buat semua pengunjung blog, Selamat Menyambut Maulidur Rasul. Sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah buat junjungan kita Rasulullah S.A.W. Penuhi hari esok (dan hari-hari seterusnya) dengan berselawat ke atas Baginda.
Seorang teman titipkan sebuah email kepada saya beberapa minggu lalu. Kali terakhir saya membaca pesanan ini 10 tahun lepas. Saya kongsikan bersama kawan-kawan semua dan sama-samalah kita hayati khutbah terakhir Rasulullah S.A.W ini:
- "Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
- "Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
- "Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
- "Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
- "Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.
- "Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
- "Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku.
- "Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."
- Nota: Ini hanya pandangan peribadi saya. Andai ada pihak yang terasa hati, saya susun 10 jari memohon maaf. :)
No comments:
Post a Comment