Followers

Monday, November 1, 2010

Kalau berpacaran...

Lokasi: Sebuah restoren di  Damansara
Sabtu. 30.10.2010

Cik Adik dan Encik Abang yang ingin saya hormati,

Saya bukan ustazah yang layak untuk bersyarah tentang hokum hakam agama. Saya juga bukan kakak atau adik kamu yang punya hak untuk marah atau ‘menghadiahkan’ penampar ke wajah anda berdua yang tampan dan cantik itu. Saya cuma seorang perempuan, kakak dan anak kepada dunia, adik-adik saya dan emak dan ayah saya. Saya tahu saya tidak punya apa-apa hak untuk menegur kamu kerana antara kita tidak ada pertalian. Tapi saya juga tahu, walaupun DNA kita tidak sama, keturunan kita masih sama. Anda berdua dan saya datangnya dari Adam dan Hawa. Melihat dari cara Cik Adik berpakaian, saya kira kita berdua juga menjunjung rukun iman yang sama. Jadi atas tiket itulah, saya membuat teguran ini. Bukan apa, disebabkan saya berada di hadapan anda berdua ‘bekalan’ yang anda kumpul tu sedikit sebanyak terpalit pada saya. Percayalah, kalaulah masa boleh dipusing semula, saya akan pusing kembali ke putaran hidup yang sama kelmarin agar saya tidak perlu menyaksikan ‘telenovela’ yang anda berdua lakonkan. Selera makan saya juga terjejas disebabkan anda!

Cik Adik dan Encik Abang,

Ini hanya nasihat. Terpulanglah kalau mahu ikut atau tidak. Saya tahu anda berdua sedang asyik bercinta dan anda berdua mahu satu dunia tahu hakikat itu. Saya tak tahulah orang lain macamana, tapi melihat dari cara Encik Abang merangkul pinggang Cik Adik, saya tahu Encik Abang takut sayang gila dan takut kehilangan Cik Adik. Dan Cik Adik pun apa kurangnya. Pelukan dan lentukan ala-ala manja itu membuktikan yang Cik Adik juga sayang sangat dengan Encik Abang. Oh, itu belum lagi saat Encik Abang menghadiahkan ciuman hangat di pipi Cik Adik dan Cik Adik sambil tersipu-sipu malu (malu ke?) membalas ciuman Encik Abang. Kalau orang lain belum tahu, pasti public affection yang satu itu sudah cukup untuk memberitahu satu dunia yang anda sedang bercinta!

Alam bercinta ini memang indah. Saya tak tahu first hand tapi melalui novel-novel cinta yang saya baca, saat mula-mula anda berkenalan hinggalah ke saat anda melafazkan kalimah keramat I LOVE YOU (I have no idea why people say that!) memang anda rasakan dunia ini anda yang punya. Orang sekeliling tak wujud langsung. Saya rasa sebab itulah anda tidak segan silu berpelukan dan berciuman di khalayak ramai! Maklumlah, mata Encik Abang hanya nampak Cik Adik dan vice versa.

Tapi sayang, Encik Abang dan Cik Adik terlupa sesuatu. Anda bukan hidup berdua di dunia ini. Ada orang lain di sekeliling anda. Di sebelah anda ada saya; seorang perempuan yang masih tebal rasa malunya dan masih berfikiran konservatif walaupun kita sudah di abad ke-21! Berdekatan dengan anda juga ada sepasang suami isteri yang bersedih hinggakan si isteri mengeluarkan ayat “minta-minta anak dara kita tak macam tu ye, bang?” Oh, dan tidak jauh dari saya ada seorang lelaki yang merah padam wajahnya bila melihat Cik Adik melekapkan bibir ke pipi Encik Abang. Mungkin teringatkan adik atau kakaknya...

Alahai Cik Adik, di mana maruah Cik Adik? Di hilangnya malumu? Sewenang-wenangnya membiarkan tubuh anda disentuh lelaki yang bukan muhrim dan belum tentu lagi menjadi muhrim anda! Dan buat Encik Abang, anda sebagai seorang lelaki sewajarnya lebih mengerti. Bukankah anda dikurniakan 9 akal? Ataupun anda memang tidak berakal? Bayangkan kalau adik perempuan atau kakak anda diperlakukan begitu. Apa perasaan Encik Abang? Saya harap masih berperasaanlah ya. Kalau tidak, memang anda dah parah!

Saya tidak akan sentuh soal dosa pahala sebab saya bukan orang yang layak. Lagipun perkara itu memang sudah diajar sejak kecil lagi. Mak dan ayah di rumah pasti ada hantar anda berdua ke sekolah bukan? Di sekolah, saya percaya ustaz dan ustazah ada beritahu apa itu dosa dan apa itu pahala. Kalau anda tidak praktikkan, apa yang mampu kami lakukan? Umur bukan baru setahun dua. Tengok dari cara Cik Adik memakai tudung litup, saya kira Cik Adik tahu tentang dosa dan pahala. Atau bertudung itu pun sekadar fesyen? Tuhan saja yang tahu...

Encik Abang dan Cik Adik,

Saya minta maaf kalau apa yang saya tulis ini menyinggung perasaan anda. Saya gembira kalau anda tersinggung sebab itu membuktikan anda terasa dengan kata-kata saya. Sekurang-kurangnya anda masih boleh berubah dan diselamatkan. Tapi kalau sebaliknya, tiada apa yang boleh saya buat lagi. Cuma berdoa agar anda cepat-cepatlah berkahwin. Kalau tidak senang-senang saja buat dosa kering!

p/s: Oh, sebelum ada yang bertanya, biar saya beritahu dulu. Mereka yang sedang diperkatakan di atas ini memang BELUM bernikah (berdasarkan tiada cincin di jari dan usia mereka yang nampak terlalu muda) Lagipun pasangan suami isteri yang sah tak akan buat perangai begitu di tempat awam. Kan?

4 comments:

  1. Suruh diorang dengar lagu 'Kalau Berpacaran' daripada Sohaimi Mior Hassan, Ana Raffali & Altimet :)

    ReplyDelete
  2. Memang pun! Kami yg dah kawen ni tak de makna nk buat pertunjukkan percuma macam tu kat kedai makan! Apa class(aku pulak geram) ... hahaha. Lain kali ko snap ke gambar2 manusia mcm ni. Pastu letak kat blog.. ko tutup bahagian mata tu...kiki..

    ReplyDelete
  3. kah..kah..kah...lawak la jue ni...

    ReplyDelete
  4. menarik.... sekarang ni ramai yang muka tak tahu malu....

    ReplyDelete