I'm gonna use you and abuse you
I'm gonna know what's inside
Mak
Yam
“Cari siapa?” Soal
wanita itu sekali lagi. Suaranya kedengaran mendatar. Panahan matanya yang
tajam benar-benar membuatkan Sham gerun. Tiba-tiba keadaan kembali terang. Sham
memejamkan mata kerana silau lampu. Di belakangnya dia terdengar rakan-rakannya
menjerit. Pantas matanya terbuka. Dia menoleh dan hampir mahu gugur jantungnya
bila melihat kelibat seorang lelaki tua bersongkok sedang berdiri di hadapan
rakan-rakannya. Lelaki itu sedang tersenyum lebar, menampakkan giginya yang
sudah hampir ronggak dan kehitaman di makan usia.
“Anak ni cari apa?”
Sekali lagi wanita itu bertanya. Kali ini suaranya kedengaran lembut pula.
Sham kembali memandang
wanita tersebut. Dia terkesima sekali lagi. Mulutnya melopong kagum. Kalau tadi
dalam samar-samar cahaya lilin, dia merasakan wanita ini cantik. Kini di bawah
terang lampu, dia merasakan wanita ini terlalu jelita. Berkulit sawo matang.
Matanya bundar. Pipinya bak pauh dilayang. Dagunya runcing. Ada lesung pipit
kecil di pipi kanannya bila dia tersenyum. Rambutnya disanggul kemas. Sekali
pandang bagai sedang melihat seorang primadona Melayu.
Wanita itu menghulurkan
tangannya ke arah Sham. Tanpa teragak-agak Sham menyambut huluran tangan wanita
itu. Sham ditarik bangun. Kini dia berdiri betul-betul di hadapan wanita itu.
“Hendak sewa bilikkah?”
Tanya wanita itu. Matanya memandang sekilas rakan-rakan Sham yang saling
berpelukan di belakang.
“Datang bersama?”
Lenggok bahasanya sangat lembut dan kedengarn agak asing di telinga Sham.
Macam menonton filem P.
Ramlee pula aku rasa. Bisiknya dalam hati.
“Err...saya nak pinjam
telefon, Pu...Puan...” Sham menelan liur. Tidak tahu gelaran apa yang patut
digunakan untuk bercakap dengan wanita ini.
Wanita itu ketawa
kecil. “Panggil aku Mak Yam sahaja.”
“Errr...ok. Mak Yam.”
Janggal pula rasanya memanggil wanita anggun ini dengan gelaran mak.
“Boleh pinjamkankan
kami telefon?”
“Untuk apa kamu mahu
menggunakan telefon?”
Dengan tenang Sham
menceritakan apa yang berlaku pada mereka. Mak Yam terangguk-angguk faham.
“Jadi kalau boleh kami
nak gunakan telefon hotel ni dan hubungi mekanik atau PLUS Ronda. Bolehkan, Mak
Yam?”
“Telefon rosak. Kabel
kena patah petir.” Balas satu suara asing yang muncul tiba-tiba.
Sham memandang ke arah
kaunter reception, arah dari mana suara itu datang. Kelihatan seorang pemuda
berusia awal 20-an sedang membaca majalah berdiri di situ. Mana pula munculnya
dia ni? Soal Sham dalam hati.
“Handphone
pun tak ada?” Tanya Sham lagi.
Pemuda itu ketawa
sinis. “Dalam hutan macam ini? Nak dapat liputan dari mana?” Tanya pemuda itu
sarkastik.
“Apa teruk sangat
tempat ni?” Tiba-tiba Khairul bersuara.
Pemuda tadi memandang
tajam ke arah Khairul. Pandangan matanya nampak sedikit menakutkan. Dia
merenung Khairul bagaikan singa lapar.
“Din...”
Pemuda yang dipanggil Din itu mengalihkan
pandangannya bila ditegur Mak Yam. Dia kembali mengadap majalah di tangan.
“Begini sahajalah.
Telefon kami rosak. Bekalan elektrik pun hampir terputus. Mujur juga ada
generator. Apa kata kalau kamu bermalam sahaja di hotel ini dan tunggu sehingga
hari siang. Pagi nanti, Mak Yam akan minta Din hantarkan kamu dengan motorsikal
ke pekan berhampiran. Kalau mahu pergi sekarang, Mak Yam risau kalau
kemalangan. Maklum sahajalah. Hujan lebat di luar. Jalanraya di sini licin.”
Sham mengeluh perlahan.
Dia bergerak menghampiri rakan-rakannya. “Macam mana? Kita bermalam di sini
dulu?”
Mereka nampak sedikit
keberatan.
“Aku tak sedap hatilah, Sham. Nampak semacam
je tempat ni.” Ria mengosok-gosok badannya yang kedinginan. Entah sebab hujan
atau sebab gerun dengan tempat ini, dia sendiri tidak pasti.
“Betul cakap Ria tu.
Mereka tu nampak peliklah. Tu pakcik pelik tu. Dari tadi asyik
tersengih-sengih. Naik seriau pulak aku dibuatnya.” Kata Sue.
“Habis tu? Takkan nak
patah balik ke kereta? Jauh tu!” Bidas Sham.
“Alah, satu malam je.
Kalau dah takut sangat, kita ambil dua bilik sahaja. Engkau orang ladies, satu
bilik. Kami satu bilik. Ambil bilik sebelah menyebelah. Kalau jadi apa-apa,
senang.” Sham beri cadangan.
Setelah menimbang baik
buruknya situasi yang mereka hadapi, akhirnya mereka mencapai kata sepakat.
“Baiklah Mak Yam. Kami
bermalam di sini sahaja. Berikan kami dua bilik. Kalau boleh, biar sebelah
menyebelah.”
Mak Yam tersenyum
lebar. “Bagus!” Dia berpusing ke arah Din.
“Din, uruskan untuk
mereka ya. Berikan bilik suits itu pada tetamu istimewa ini ya.”
“Eh, Mak Yam. Bilik
biasa pun boleh. Tak perlu suits. Kami cuma nak bermalam semalam sahaja...”
Mak Yam mengeleng.
“Jangan khuatir. Aku anggap kamu ini
tetamu istimewa. Jadi wajarlah bilik yang terbaik diberikan kepada kamu. Soal
bayaran usah dirisaukan. Kami kenakan harga yang sama seperti bilik yang lain.
Kamu selesaikan dengan Din, ya. Aku mahu ke kafe sebentar.”
Mendengar perkataan
kafe, tiba-tiba perut Sham terasa lapar.
“Buka lagikah kafe Mak
Yam. Dah lewat malam ni?” Mata Sham melirik ke arah grandfather clock berhampirannya.
“Pekerja kafe sudah
pulang. Tapi masih ada lagi makanan yang tinggal. Kalau kamu semua lapar,
datang sahaja ke kafe. Akan aku sediakan untuk kamu.” Mak Yam terus berjalan
pantas menuju ke sebuah pintu kecil yang terukir perkataan KAFE di daun pintu.
“Ini kunci bilik.” Din
menghulurkan dua batang kunci kepada Sham selepas selesai urusan pendaftaran.
“Naik tangga ni, belok
ke kiri. Nanti Pak Said akan tunjukkan bilik kalian. Pak Said, hantar mereka ke
Suits Cempaka.” Lelaki tua tadi mengangguk dan terus menyeringai. Seram sejuk
dibuatkan Ria dan Sue.
“Terima kasih.” Ucap
Sham.
“Aku nak ingatkan.
Dekat sini jangan nak buat yang bukan-bukan. Dan pastikan kalian tidak ke
bahagian hotel di sebelah kanan. Tempat tu bahaya sebab kami sedang lakukan
pengubahsuaian. Kolam renang di bahagian belakang juga adalah kawasan larangan
pada hujan begini.” Pesan Din tegas.
“Ada kolam renang juga
ke hotel ni?” Tanya Khairul sinis.
Din tersenyum nipis.
“Saiz Olimpik. Kalau kau nak cuba, aku tak larang. Kalau lemas, lagi senang
kerja aku.”
Khairul mula berang.
Ringan sahaja tangannya mahu menumbuk wajah dingin Din namun cepat dihalang
Sham. Sham pantas menarik Khairul menyertai rakan-rakannya yang sudah naik
menuju ke atas kecuali Alyah yang masih tercegat di kaki tangga.
“Alyah?” Sham menyentuh
lengan Alyah. Gadis itu tersentak macam orang baru dikejutkan dari lamunan yang
panjang.
“Kenapa tak naik lagi?”
Bibir Alyah bergetar.
Macam mana dia hendak naik, kalau kakinya sedang dipaut seseorang?
“Dahlah. Jom naik.
Mandi cepat. Nanti demam pulak.” Sham menarik tangan Alyah.
Alyah melirik dengan
ekor matanya ke arah kaki kirinya. Dahinya berkerut. Dia berpusing di
sekeliling, mencari sesuatu.
“Al cari apa?
Kawan-kawan lain semua dah naik. Jomlah...” Terus dia diseret naik.
“Mana budak tu?”
“Budak mana pula ni,
Alyah? Isyhh...Al ni macam-macamlah. Jomlah naik!” Suara Sham sedikit tinggi.
Hati Alyah berdebar
kencang. Mana perginya kanak-kanak perempuan yang memaut kakinya tadi?
No comments:
Post a Comment