Sampai di rumah pun Adhan tak boleh berhenti tersenyum. Apa yang berlaku di Adventure Park tadi memang betul-betul buat hati dia kembali berbunga. Hati berbunga? Dia ketawa sendiri sambil melabuhkan punggung di kerusi di bawah gazebo. Arghh! Sappy, Adhan! Sappy! Tapi mungkin ini agaknya ragam orang bercinta. Entahlah. Seumur hidup dia selama tiga puluh dua tahun ini belum pernah lagi dia bercinta. Berkawan, ya. Ramai. Tapi belum sampai tahap hendak ‘ada-taman-dalam-hati’ hinggalah saat dia terpandangkan Zara Harlina beberapa bulan dahulu.
Ya. Mungkin susah nak percaya. Dia sendiri pun tak pernah sangka akan terjebak dengan kisah cinta pandang pertama. Tapi semua ini rancangan takdir. Siapa dia hendak menafikan? Pertama kali mata dia terpandangkan wajah Zara Harlina pada kenduri kesyukuran di Akademi Fakih Intelek dulu, dia dah terpaut pada kelembutan si gadis. Hati tersentuh melihat kesabaran Zara melayan kerenah anak-anak istimewa itu. Apabila mommynya sendiri mula memuji bila melihat Zara pandai mengawal seorang anak istimewa yang tiba-tiba ‘naik angin’, rasa yang baru sedikit muncul dalam hati terus menggebu.
Tapi sayang…tak sempat dia hendak berkenalan dengan lebih lanjut, si gadis dah menghilang. Dia fikirkan memang mereka tidak berjodoh hinggalah dia ternampak gadis itu di majlis reunion rakan-rakan sekolahnya. Waktu itu dia hanya nampak kelibat Zara di dalam kereta. Tetapi bila melihat Nadine, rakan sekelasnya keluar dari kereta yang dipandu Zara, dia memang tak lepas peluang untuk mengenali siapa si gadis yang selalu muncul dalam ingatan dia. Bukan main gembira lagi dibuatnya bila dia dapat tahu si pemilik nama Zara Harlina itu adalah adik kenapa Nadine Imani. Bila dia tahu yang Zara masih sendiri, makin kuat hati dia kata si gadis memang jodoh untuknya.
Jadi rancangan diatur. Dalam diam dia memerhati si gadis. Makin diperhati, makin dia jatuh suka. Bila hati dah suka, hanya satu perkara yang patut dilakukan. Ikat hati si gadis cepat-cepat. Dah suka, baik dihalalkan terus hubungan. Terus diberitahu kepada mama dan papa. Kebetulan mama dan papa memang dah mengenali keluarga Zara kerana persahabatan dia dengan Nadine, jadi memang tak menjadi halangan untuk keluarga dia masuk merisik. Kata Nadine, Zara, walaupun jenis keras kepala tapi tak pernah lagi membantah kata keluarga. Lagipun dari Sofea hinggalah ke Nadine, jodoh mereka ditemukan oleh keluarga. Jadi Adhan tak nampak apa masalahnya kalau dia masuk merisik Zara.
Cuma dia silap perhitungan. Walaupun kedua keluarga dah bersetuju, tapi tuan punya hati membantah keras.
“For the first time in her life, she said no to papa and mama,” kata Nadine lewat pertemuan mereka beberapa bulan dulu.
Kalau orang lain mungkin dah putus asa. Tapi dia, makin dia tahu Zara tak hendak, makin dia hendak. Entahlah. Payah nak nasihatkan hati sendiri supaya lupakan. Memang dah jatuh hati sangatlah agaknya.
Sejak itu, bermulalah misi Adhan hendak mencuri hati Zara. Dia memang jenis manusia agresif. Memanglah dia tak tahu hendak guna cara ala mamat-jiwa-jiwa ini. Lagipun tengok dari gaya Zara pun dia tahu si gadis bukan kaki bunga, coklat atau yang seangkatan dengannya. Jadi cara dia? Beritahu saja terang-terang. Tak ada main ayat tersirat. Dia nak sesuatu, memang dia akan bersungguh dapatkan.
Tapi sayang…cara macam itu tak jalan juga untuk seorang Zara Harlina. Bila tengok Zara layan dia dingin, memang dia terasa hati. Masa di kenduri kahwin Sofea tempoh hari, hampir saja dia hendak beritahu mama dan babah Zara supaya lupakan saja risikkan keluarga dia. Sentap juga hati bila Zara ucapkan ayat ‘hidup lagi you, ya?’ Nampak sangat betapa tak pentingnya dia dalam hidup Zara. Tapi dia sabarkan hati. Dia ingatkan diri dia, hatinya dah dipegang Zara. Jadi dia yakinkan diri, dia perlu beri sedikit masa kepada Zara Harlina. Dan akhirnya, hari ini kesabaran dia terbalas. Mungkin belum seratus peratus tapi ok jugalah dari tak ada langsung, kan? Sekurang-kurangnya Zara hendak beri peluang kepada mereka berdua.
“Adhan Mikhail!”
Lamunan Adhan tersentak bila terdengar nama dia disebut. Adhan angkat kepala, memandang wajah si pemanggil yang dah berdiri di sisinya. Dia tersenyum sebaik sahaja terpandangkan wajah Puan Maisarah.
“Mommy…” Tangan si ibu dicapai lalu disalam dan dicium lembut.
“Dah solat?” Soalan pertama yang muncul dari mulut si ibu. Sejak sampai tadi, si anak terus melepak di bawah gazebo. Entah dah Isyak atau belum, dia pun tak tahu. Walaupun Isyak tu masanya panjang, tapi kalau boleh dibuat awal apa salahnya.
“Dah mommy. Tadi Adhan singgah masjid, maghrib. Terus Adhan tunggu sampai Isyak.”
Puan Maisarah senyum senang hati. Anak ini memang penyejuk hati!
“Ni, bukan main jauh lagi mommy tengok anak mommy mengelamun. Ingatkan siapa?” Usik Puan Maisarah. Mug berisi milo panas yang dibancuh untuk si anak disuakan ke arah Adhan.
“Teringat bakal menantu, mommy,” jawab Adhan terus-terang. Nak sorok buat apa. Bukan orang lain, tapi ibu sendiri.
“Jangan teringat berlebihan sampai terbuai-buai perasaan tu. Mommy takut nanti fikiran tu mula fikir benda bukan-bukan.” Pesan si ibu. Darah muda. Dugaan memang kuat kalau melibatkan hal hati dan perasaan ini.
Adhan cuma tersenyum. Insya-Allah, dia masih ingat dosa dan pahala. Mommy dah papa cukup beri didikan kepadanya. Milo di dalam muk disisip perlahan. Panas!
“Papa mana, mommy?” Adhan angkat kepala, cuba memandang ke dalam rumah. Senyap sunyi. Tak ada bunyi televisyen terpasang pun. Belum balik masjid lagikah?
“Papa tidur.”
“Awalnya!” Adhan belek jam di tangan. Baru 9.45 malam. Takkan papanya dah tidur. Selalunya waktu begini papa akan habiskan masa menonton News Channel. Hendak catch-up dengan perkembangan dunia katanya selepas seharian sibuk dengan hal kerja.
Puan Maisarah mengeluh perlahan. “Papa tak sihat sangat.”
Macam hendak terhenti jantung Adhan dengar kata-kata mamanya. Papa tak sihat? Kenapa dia tak tahu? Tadi pagi sebelum keluar Encik Iskandar nampak sihat sahaja. Siap bergurau dengan dia lagi. Tak nampak pun papanya sakit. Atau papa tengah sembunyikan apa-apa dari dia?
“Kenapa dengan papa, mommy? Adhan nak tengok dia.” Adhan dah angkat punggung hendak menjenguk si bapa tapi si ibu menghalang. Tangan Adhan dipegang, mata beri isyarat supaya Adhan duduk kembali.
“Tengah hari tadi papa mengadu dada dia sakit. Mommy risau kalau jantung dia ada masalah lagi jadi Mommy call Uncle Hisyam. Alhamdulillah, jantung dia ok.” Beritahu Puan Maisarah.
Adhan hela nafas lega. Alhamdulillah. Risau bukan main hati dia kalau papa jatuh sakit lagi.
“He’s tired, Adhan,” ujar si ibu lirih.
Adhan tersandar di kerusi. Wajahnya diraup perlahan. Dia tahu mana hala tujunya perbualan ini. Punyalah dia cuba mengelak dari membincangkan hal ini tapi nampak gayanya kali ini dia dah tak ada pilihan lagi. Hendak tak hendak, malam ini dia dan mommy akan bercakap tentang hal yang bakal buat rutin hidupnya berubah.
“Adhan, mommy rasa dah sampai masa Adhan ke Cempaka. Papa dah patut berehat sekarang, hmm?”
Permintaan dari si ibu buat hati Adhan tak senang hati. Cempaka atau Cempaka Sdn Bhd, adalah syarikat papa dan adik beradiknya seramai tiga orang itu. Papa salah seorang ahli lembaga pengarah syarikat pembuat perabot terkemuka Malaysia itu. Bermula hanya sebagai syarikat pembuat perabot kecil-kecilan, sekarang nama Cempaka dah dikenali di seluruh Malaysia malahan perabot-perabot buatan Cempaka dah mula menarik minat pelabur luar negara.
Adhan tahu, sebagai anak memang tanggungjawab dia untuk menggantikan tempat si bapa. Macam Pak Long dan Pak Langnya, sekarang dah berehat di rumah. Yang menguruskan Cempaka adalah anak-anak mereka.
'And they did one hell of a job!' Ujar dia dalam hati. Tak perlu untuk Adhan ke sana. Tapi Encik Iskandar berharap sangat agar Adhan dapat bersama dengan sepupu-sepupunya membangunkan lagi Cempaka. Cuma masalahnya…
“Mommy tahu, Adhan risau kalau sepupu-sepupu Adhan tak setuju kan?” Si ibu pantas menebak kerunsingan si anak.
Adhan cuma senyum tawar. Tepat tekaan si ibu. Kalaupun bapa-bapa saudaranya bersetuju tapi dia tahu, tugasnya di Cempaka tidak mudah bila harus berurusan dengan sepupu-sepupunya. Siapa yang sanggup hendak menerima arahan daripada orang yang tak ada pertalian darah dengan mereka? Cukuplah sekali dulu dia diingatkan oleh Razif, anak Pak Longnya tentang kedudukan Adhan dalam keluarga mereka. Dia tak perlu diingatkan lagi!
“Mereka dah setuju, Adhan.”
Adhan ketawa kecil. Setuju? Yang lain-lain mungkinlah. Tapi Razif? Mustahil abang sepupunya itu boleh berubah hati macam itu sahaja.
“I’m not from the same bloodline, mommy. Takkan semudah itu mereka nak terima Adhan.”
Puan Maisarah dah menggeleng laju. Tangan si anak dicapai lalu digenggam erat.
“Adhan anak mommy. Anak papa. Ya, Adhan bukan lahir dari rahim mommy. Tapi mommy yang susukan Adhan. Ikut Islam, Adhan anak mommy. Ikut undang-undang pun, Adhan dah jadi anak kami. Adhan layak dapat apa yang mereka dapat.”
“I know that, mommy. Tapi mereka? Adhan tak nak keluarga kita bergaduh pasal benda-benda macam ini mommy.”
Cukuplah sekali dulu si ibu menangis bila Razif terlepas cakap tentang kedudukan Adhan dalam keluarga mereka. Tak sanggup rasanya tengok si ibu menangis sebab bendna yang sama.
Lagipun dia tak hadap segala harta dari Cempaka. Dia cukup puas hati dengan Café #2. Dia tak berminat hendak hidup kaya raya. Asalkan dapat bersama orang yang dia sayang, hidup dengan selesa, dah memandai.
“Tapi Adhan…” Puan Maisarh tak sempat hendak habiskan kata-katanya sebab di anak dah menggeleng laju.
“Mommy…Adhan akan ke Cempaka.” Adhan tarik nafas dalam-dalam. Ya, dia akan pergi ke Cempaka. Demi Mommy. Demi Papa. Tapi dia ada syaratnya dan demi Tuhan, dia harap mommy dan papanya setuju.
“Tapi Adhan tak nak sebarang syer dalam syarikat tu. Adhan akan ke sana hanya untuk bantu papa. Please, mommy? Can you tell papa that?” Sungguh, dia cuma hendak hidup yang aman damai. Dia tak mahu jadi sebahagian daripada statistik keluarga yang berantakkan sebab berebutkan harta!
“Tapi hak Adhan?”
Adhan senyum segaris. “Melainkan semuanya bersetuju, Adhan tak akan ambil mommy.” Which never going to happen as long as Razif is alive. Dia sendiri tak tahu kenapa abang sepupunya ituu benci sangat dengan dirinya.
“Adhan dah nekad?” Tanya Puan Maisarah.
“Ya, mommy.”
Puan Maisarah mengeluh perlahan. “Kalau itu yang Adhan nak, mommy tak boleh cakap apa. Nanti mommy beritahu papa.”
“Thanks mommy.”
Puan Maisarah mengangguk. Tangan si anak ditepuk-tepuk perlahan sebelum dia bangkit masuk ke dalam.
Adhan bersandar kembali ke kerusi. Pandangan di hala ke arah air terjun mini berhampiran gazebo. Tenang. Tapi dia dapat rasakan hidup dia bakal jadi tak tenang tak lama lagi. Note II di atas meja dicapai. Aplikasi Whatsapp dibuka. Nama Zara di skrol. Laju jarinya menaip pesanan buat si gadis.
If I could tell you one thing it would be that I love hearing your words by the waterfall today…
Seminit. Dua minit. Minit ketiga, pesanan balas diterima. Adhan tersenyum kecil membaca balasan Zara.
Cheesy! :p
Aplikasi Whatsapp ditutup. Skrin telefon kembali ke skrin ‘home’. Gambar Zara yang dicuri ambil ketika kenduri di rumah Zara beberapa minggu lalu ditatap lama. Andai hidup dia jadi tak tenang, dia tahu dia ada Allah dan seorang gadis bernama Zara Harlina yang boleh menenangkan harinya.
Namun senyuman itu perlahan-lahan mati. Adakah Zara masih sudi hendak bersamanya kalau Zara tahu siapa Adhan Mikhail yang sebenarnya?
Adhan pejam mata, tarik nafas dalam-dalam. Bayangan Zara sewaktu kali pertama dia melihat si gadis terbayang di fikiran. Adhan buka mata perlahan. Zara Harlina ada sekeping hati yang baik. She’ll accept me...I hope, doa Adhan dalam hati.
No comments:
Post a Comment