Followers

Thursday, February 25, 2010

Maulidur Rasul 1431 Hijrah

Esok umat Islam akan menyambut satu lagi tarikh penting dalam sejarah Islam. 12 Rabiul Awal, tarikh yang mencatatkan kelahiran seorang manusia ulung, Nabi Muhammad S.A.W di bumi Allah S.W.T. 

Esok saya akan menolong mak dan rakan-rakan muslimahnya menyediakan keperluan sambutan Maulidur Rasul di masjid di kawasan perumahan saya. Dalam sibuk-sibuk mereka membuat persediaan, terdetik sesuatu di dalam hati saya. Bukan memandang ringan apa yang mereka lakukan tapi saya terfikir, mengapa umat Islam lebih ghairah dalam membuat sambutan itu dan ini tapi tidak ghairah dalam mempraktikkan suruhan dan ajaran Islam. Bila ada pihak tidak izinkan sambutan diadakan, semuanya melompat marah. Tapi kenapa bila ada mengumpat, tak berpuasa, tak solat dan tak berzakat, tiada siapa yang kecoh dan bising? Bila ada orang bukan Islam membuat kenyataan tentang Islam, cepat betul kita marah. Tapi bila umat Islam sendiri ingkar dengan ajaran Islam, kenapa tiada siapa yang sibuk bersuara? 

Satu soalan yang bermain difikiran saya, "kenapalah kita sibuk menyambut Maal Hijrah, Maulidur Rasul dan sebagainya, tapi kita tidak sibuk mengamalkan ajaran Islam yang sebenar-sebenarnya?"  Kata seorang ustaz, "tak apa. Biarkan mereka begitu. Sekurang-kurangnya mereka masih ingat untuk meraikan hari penting dalam hidup umat Islam. Kalau dibandingkan dengan mereka yang tidak sedar dan tidak tahu pun tentang hari tersebut, mereka (yang menyambut) ini lebih baik." 

Mungkin ada benarnya kata-kata ustaz itu. Jika dibandingkan dengan mereka yang tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu, mereka yang menyambut ini masih boleh dianggap baik lagi. Sekurang-kurangnya dalam satu hari tersebut, hati dan jiwa mereka terisi sesuatu. Mana tahu, dalam 10 orang yang datang hari sambutan tersebut, 9 darinya akan mula berubah?

Saya sendiri belum sempurna. Banyak lagi kekurangan dalam diri yang sedang diperbaiki. Buat semua pengunjung blog, Selamat Menyambut Maulidur Rasul. Sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah buat  junjungan kita Rasulullah S.A.W. Penuhi hari esok (dan hari-hari seterusnya) dengan berselawat ke atas Baginda. 

Seorang teman titipkan sebuah email kepada saya beberapa minggu lalu. Kali terakhir saya membaca pesanan ini 10 tahun lepas. Saya kongsikan bersama kawan-kawan semua dan sama-samalah kita hayati khutbah terakhir Rasulullah S.A.W ini:
"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
"Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
"Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
"Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.
"Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
"Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku.
"Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."
 
 
Nota: Ini hanya pandangan peribadi saya. Andai ada pihak yang terasa hati, saya susun 10 jari memohon maaf. :)

Tuesday, February 23, 2010

♥ Memori di Bangkok ♥

 Bandaraya Bangkok

 
Di depan tempat kami menjamu selera


 
Suan Lum Night Market


 
Seorang wanita menjual cenderamata di Sg. Chao Phraya


 
Sebuah rumah di sepanjang Sg. Chao Phraya


 
Pertunjukkan Gajah di Rose Garden


 
Pertunjukkan Muay Thai sewaktu persembahan kebudayaan di Rose Garden


 
Keadaan jalanraya di Bangkok. Ditengah-tengah itu adalah Victory Monument 

13.2.2010 satu lagi kenangan manis tercatat dalam diari hidup saya. Bersama bos dan rakan-rakan pejabat, kami memilih untuk ke Bangkok, Thailand sebagai destinasi percutian firma kami tahun ini. Tepat jam 12.25 tengahari, pesawat MAS Boeing 737 berlepas dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Survanabhumi , Thailand tepat jam 1.30 (inilah sebab utama kami memilih MAS berbanding AIR ASIA. On time dan teratur!) Menjejakkan kaki ke lapangan terbang itu saja dah cukup buat saya teruja. Berbeza sungguh keadaan di Survanabhumi jika hendak dibandingkan dengan KLIA. Walaupun hiasan dalaman Survanabhumi tidak secantik KLIA tapi airport ini amat sibuk! Terasa macam berada di LAX pula. 
 
Kedatangan kami disambut pemandu pelancong yang telah ditempah sejak di KL lagi. Miss Koi Panarut (heheh...ya, nama watak di dalam Untold Story saya pinjam dari nama gadis ini). Dari Survanabhumi, kami menaiki bas kecil menuju ke Hotel Asia Bangkok di Phayathai Road. Kalau diikutkan perjalanannya hanya mengambil masa 40 minit tapi disebabkan kesesakan jalanraya yang melampau di Bangkok, ia berlanjutan hingga 1 jam! Melihat tahap kesibukan jalanraya di Bangkok saya tersenyum sendiri. Terfikir dalam hati andai kata pemandu KL memandu di Bangkok entah berapa banyak sumpah seranah yang keluar dari mulut mereka. Itu belum lagi mereka yang suka 'menunjuk-nunjuk' mereka ada hon kereta. Di Bangkok, pemandunya masih mampu bertenang. Tak ada pula yang saya nampak menurunkan cermin kereta dan memaki pemandu yang cuba 'overtake' jalan mereka. Dan mereka juga tak suka membunyikan hon kereta seperti kita di Malaysia. Kata Koi, ini memang perkara biasa di Bangkok. Kesesakan macam tu memang tak dapat dielakkan lagi. (Di Malaysia pun memang sejak dulu lagi begini, tapi kenapa mentaliti masyarakatnya masih belum dapat menerima keadaan ini? hmmmm....)

Sampai di hotel, kami berehat sebentar dalam bilik sebelum keluar makan tengahari di sebuah restoren Muslim yang diusahakan oleh seorang warga Pattani. Makanan Muslim di Bangkok tiada banyak bezanya dengan makanan Thailand yang selalu kita makan di Malaysia. Tak susah nak cari makanan halal di Bangkok. Cari sahaja di mana letakknya masjid, pasti ada gerai atau restoren makanan halal di situ. Rata-rata orang Muslim di Bangkok ni boleh bercakap bahasa Melayu jadi untuk berkomunikasi tidak menjadi masalah.

Hari pertama di Bangkok kami dibawa ke Suan Lum Night Market di Pathum Wan. Shopping bukan perkara yang saya gemari jadi tak banyak yang saya lakukan di situ. Sekadar jalan-jalan dan melihat gelagat peniaga-peniaga di sana menarik pelanggan (rata-ratanya pelancong asing) membeli produk mereka. Berjalan di Suan Lum akan mengingkatkan anda pada Petaling Street cuma di sini gerainya lebih tersusun. Sekali lagi anda akan tersenyum bila mendengar orang Siam di sini bercakap Bahasa Melayu. Ini bukan lagi orang Pattani dari selatan Thai tetapi warga Bangkok sendiri!

Agenda yang saya tunggu-tunggu adalah pada hari kedua dan ketiga. Kami ke sebuah pusat membeli belah Siam Paragon. Di dalam Siam Paragon ada sebuah pusat rekreasi, Siam Ocean World. Memang menyeronokkan 'menggembara' di sini. Mulanya saya tidak begitu berminat ke sini sebab menyangkakan ia serupa dengan Aquaria KLCC atau Underwater World di Langkawi. Tetapi ia sangat berbeza. Saya teruja melihat pelbagai spesis ikan yang dipamerkan di sini. Hehehe...sedang asyik menjamu mata dengan bwarna ikan-ikan yang berwarna warni tu, sempat saya reka satu plot untuk Untold Story. :P

Kami habiskan masa lebih kurang 2 jam di sini. Selebihnya, hari kedua kami dipenuhi dengan aktiviti shopping. Kali ni saya beli beberapa buah tangan untuk keluarga di KL. Satu perkara di Bangkok, barang-barangnya memang murah. Dari barangan jenama yang asli hinggalah yang ke tiruan, semuanya mampu dimiliki.

Hari ketiga kami dibawa menaiki bot untuk Chao Phraya River Cruise. Perjalanan ke dermaga Tha Chang Wagna mengambil masa lebih kurang 35 minit dari bandar Bangkok. Pengalaman yang sangat berharga bagi saya. Sepanjang perjalanan menyusuri sungai Chao Phraya perasaan saya bercampur baur. Teruja dan takut (kami tak pakai life jacket ya...). Penduduk Thailand sangat beruntung kerana jalan air masih lagi digunakan sebagai salah satu medium pengangkutan mereka. Walaupun zaman sudah serba maju tetapi mereka masih lagi menggunakan kaedah pengangkutan wujud sejak dulu lagi. Jangan tak tahu di sana ada teksi air! Kami semua kagum melihat posmen menghantar surat menaiki bot, electrical technician membuat kerja dari dalam bot dan orang menjual barang dari dalam bot.

Selepas river cruise, kami ke Rose Garden atau Suan Suan Phran yang terletak kira-kira 30km dari bandar Bangkok. Di sini kami dihidangkan dengan pertunjukkan kebudayaan masyarakt Thai dan pertunjukkan gajah yang memang sinonim dengan Thailand. Pertama kali berpeluang memegang badan gajah! Sewaktu pertunjukkan kebudayaan kami dipersembahkan dengan persembahan adat budaya masyarakat Thai sperti upacara perkahwinan, meraikan pemergiaan ahli keluarga yang mahu menjadi sami dan Muay Thai.

Di waktu malam kami menghabiskan masa melakukan aktiviti sendiri. Di hotel saya menginap ada pertunjukkan kabaret. Bagi pelanggan hotel, diskaun diberi jika berminat untuk menonton. Setiap malam, lobi hotel berkenaan dipenuhi dengan pelancong asing yang mahu menonton pertunjukkan tersebut. Berkali-kali petugas hotel tu bertnaya pada kami samada kami berminat untuk menonton persembahan tersebut tapi setiap kali ditanya, saya menggeleng saja. Walaupun Thailand memang terkenal dengan pertunjukkan begitu tapi rasanya percutian saya tidak akan terjejas kalau aktiviti 'wajib' itu saya ketepikan.

Saya ambil masa terluang di waktu malam itu menaiki Sky Train. Kebetulan pakej penginapan kami termasuk dengan tiket percuma menaiki sky train, jadi kami gunakanlah peluang yang ada sebaik mungkin. Dari satu stesen ke satu stesen kami berhenti dan menjalankan sesi forografi. Hahaha...mesti orang-orang Thai tu pelik melihat kami. Satu lagi perkara yang harus anda lakukan jika ke Thailand ialah menaiki Tuk-tuk. Walaupun mengerikan tetapi bak kata seorang teman, 'tak Thailand-lah kalau tak tuk-tuk!'. Kerana terlalu teruja menaiki kenderaan separa motosikal itu, kami sanggup bayar lebih kepada pemandu tuk-tuk tersebut supaya dia boleh membawa kami ronda-ronda bandar Bangkok malam itu. Barulah lengkap rasanya percutian ke Bangkok.

It's really fun to learn about other country. I got this warm feeling every time I've visited an Asian country. Mujur sewaktu saya ke sana Thaniland Red Shirt tidak berarak di tengah jalan. :-) Bangkok memang indah. Tempatnya bersih. Masyarakatnya ramah. Tempatnya menarik untuk dilawati. For a shopaholics, Bangkok can be considered as the shopping heaven to them. Jadi bawa Baht banyak-banyak kalau ada niat mahu membeli belah ya...hehehe.

Saya tinggalkan Bangkok dengan senyuman dan hati yang gembira. Insya-Allah, andai ada rezeki saya akan ke sana dengan keluarga saya. Banyak lagi tempat menarik yang ingin saya lawati. khorb khun ka, Bangkok.


note: all pictures taken from Zaroy Facebook. A photographer from 1photography

Monday, February 22, 2010

Cubicle Rant : Episode It ain't cool...

Kamu sangat tidak cool

Kerana kamu memungkiri janji

Kerana kamu tidak tetap hati
Kerana kamu memilih beredar dengan cara ini
Kerana kamu tidak berani bersemuka dengan kami
Kerana kamu pengecut
Kerana kamu tidak jujur
Kerana kamu sebenarnya hanya mahu mengambil kesempatan


Namun kami akur
Kerana kami percaya 
Pemergian kamu adalah yang terbaik
Buat kamu
Buat kami
Mungkin ada yang lebih baik
akan hadir 
untuk kami di sini...

pic link

Monday, February 8, 2010

Lagi Kisah Bahasa...

 

Hari ni saya memang dah hilang sabar dan akhirnya saya 'meletup'. Sudah banyak kali saya ingatkan pada mereka, tolong gunakan BAHASA MELAYU yang betul jika mahu berurusan dengan saya. SMS atau email, sila gunakan ejaan yang dipelajari di sekolah dulu. Jika mereka masih hantar SMS dan email pada saya menggunakan ejaan 'trendy' mereka saya akan abaikan. Saya akan anggap itu cuma SMS dan email tak penting. Dan hari ini saya terpaksa memarahi mereka selepas nasihat dan teguran saya tak dihiraukan. 

Saya bukan guru Bahasa Melayu ataupun Sasterawan. Saya akui, penggunaan Bahasa Melayu saya masih ada kelemahan. Saya bukan sempurna. Saya sendiri masih belajar membetulkan penggunaan Bahasa Melayu saya. Jadi saya tak harapkan mereka gunaan Bahasa Melayu tinggi dengan saya. Andai kata mereka ingin gunakan ringkasan sekalipun saya dah minta gunakan ringkasan yang sering orang gunapakai. Bukannya ringkasan yang makin 'memanjangkan' perkataan itu. Bayangkan sampaikan perkataan 'pun' diubah menjadi 'pown'! Tak sakitkah hati anda membacanya? 

Hari ini bos saya sendiri menegur cara budak-budak muda ini menghantar pesanan pada kami. Bila bos sudah bersuara, saya terpaksa mengambil tindakan yang lebih tegas pada mereka. Panjang berjela email yang saya kirimkan pada mereka tadi. Di akhir email saya selitkan sedikit ugutan agar mereka lebih serius dalam berurusan dengan saya. Harap-harap kali ni mereka akan berubah!

Tuesday, February 2, 2010

Paintball

 
pic source : Shaz's FB

Paintball. Salah satu cara nak hilangkan stress. Sesiapa yang berminat nak sertai, boleh hubungi saya. Sesiapa saja boleh sertai. Heheh...saya akan sertai. Kurang-kurang boleh jugak keluarkan peluh dan mengurangkan jumlah kilogram badan yang agak bertambah sejak kebelakangan ni. Aktiviti adalah hasil usaha kawan saya, Shazlina yang semenjak dua menjak ni gilakan permainan paintball. Katanya, ia sangat bagus nak untuk hilangkan tekanan. Maklumat tentang aktiviti riadah ni seperti berikut:-

Tarikh: 21.2.2010
Waktu: 10.00 am - 4.00 pm
Lokasi: Putra Paintball Park

Package B : RM75 per person (300 paintballs)
+ RM6 (Lunch Set)
Package includes:
* rental of Tippmann Custom 98 paintball marker
* barrel sock & loader
* safety mask
* body & neck protector
* unlimited CO2 gas (20oz. canister)
* team arm band
* field fee
* referee & crew fees

Monday, February 1, 2010

Koishite Akuma ~The Loving Demon~

 
Picture source: link
 
Disebabkan adapter laptop masih belum sampai lagi, kerja-kerja menulis di rumah tergendala sebentar. Jadi saya agak kebosanan pada hujung minggu semalam. Sudahnya, masa keluar sesi makan-makan dengan keluarga saya Sabtu lepas, saya menuju ke kedai jual DVD yang agak lama saya tak kunjungi sebab mood nak tengok DVD tak berapa nak ada semenjak dua menjak ni. Niat mulanya memang tak nak beli apa-apa DVD. Hahaha...tapi itulah yang selalu terjadi. Konon tak nak beli apa-apa sudahnya saya beli juga satu box set drama Jepun. Nasib baik ceritanya best kalau tak menyesal tak sudah dibuatnya.

DVD yang menjadi mangsa 'kegilaan' saya hari tu ialah Koishite Akuma. Kisah vampire jepun. Hehehe... Kisahnya bermula bila Kuromiya Ruka, terpaksa hidup dikalangan manusia kerana dia masih belum lagi 100% layak digelar vampire. Semuanya kerana dia belum lagi merasai darah manusia yang dihisap terus dari leher. Jadi Kaito, seorang vampire berusia 400 tahun, yang juga dianggap sebagai ketua Ruka, hantar dia tinggal bersama  keluarga Jiro yang mengusahakan kedai makan makanan Cina.  Ruka juga terpaksa bersekolah di Sekolah Tinggi Koyo. Ruka ni sangat bencikan manusia kerana bagi dia, manusia hanyalah satu bangsa yang melecehkan. Suka membuat bising dan hidup selalu dipengaruhi emosi. Cinta, persahabatan dan kebahagian hidup bersama keluarga tidak wujud dalam hidup seorang vampire. Bagi Ruka juga ,bangsa vampire adalah bangsa yang mulia. Sebab itu dia tak cuba berkawan dengan kawan sekolahnya dan bermesra dengan ahli keluarga Jiro. 

Untuk menjadi seorang vampire yang sebenarnya, Ruka dikehendaki mencari wanita yang ditakdirkan untuknya dan hisap darah wanita berkenaan. Jadi Ruka memulakan tugas mencari wanita tersebut di sekolah tempat dia belajar. Dia mula mendekati Takagi Kaori, kawan sekelasnya sebab dia sangkakan Kaori adalah wanita yang dimaksudkan. Tetapi bila dia bersama Kaori, gigi taringnya tak muncul. Maknanya Kaori bukan wanita yang dicari. Gigi taring Ruka hanya muncul bila dia bersama cikgu dia, Natsukawa Makoto. Mulanya Ruka tak dapat terima hakikat tu (sebab Makoto ni tua  sikit dari dia..heheh...) Kaito pulak asyik paksa dia supaya cepat selesaikan tugas dia agar dia boleh balik semula ke Romania. Beberapa kali Ruka cuba nak hisap darah Makoto tapi setiap kali dia hampiri Makoto, dia tak dapat nak teruskan. Masa tu baru dia sedar yang dia dah jatuh cinta pada Makoto jadi dia buat keputusan tak nak hisap darah Makoto.

Konflik bermula bila Ruka mulai lemah dan Makoto pula bertunang dengan Naib Pengerusi Sekolah Tinggi Koyo. Kaito terus menerus paksa Ruka supaya cepat hisap darah Makoto. Menurut Kaito, kalau Ruka enggan hisap darah Makoto sehingga bulan penuh yang seterusnya, jasad Ruka akan menjadi abu. Dalam erti kata lain, Ruka akan mati. Ruka tetap tak nak sebab dia sayang dekat Makoto dan Kaito cadangkan supaya Ruka jadikan Makoto vampire juga supaya diaorang boleh hidup selamanya-lamanya.

Dalam masa yang sama, si Ruka ni mula dapat mimpi dan bayangan tentang hidupnya yang lama. Bila segala ingatan dia yang lama muncul, barulah dia tahu yang dia dulu asalnya manusia biasa dan Kaito adalah vampire yang mengubah dia. Dan waktu ini jugalah Ruka tahu kenapa dia ditakdirkan berjumpa Makoto. Rupa-rupanya 10 tahun dulu waktu umur dia 16 tahun dia ada seorang teman wanita dan gadis itu adalah Makoto! Sebab itu diawal cerita, bila Makoto jumpa Ruka pertama kali, dia terkejut. Wajah Ruka saling tak tumpah dengan wajah cinta pertama dia, Ayumu yang mati sewaktu menyelamatkan seorang budak yang lemas. Mulanya Ruka tak nak beritahu Makoto siapa dia yang sebenarnya lebih-lebih lagi bila dia tahu yang Makoto sebenarnya belum dapat lupakan Ayumu. Tapi dari sehari ke sehari tingkah laku Ruka yang sebiji macam Ayumu membuatkan Makoto syak Ruka adalah Ayumu. Akhirnya Ruka terpaksa mengaku sebab Makoto nampak dia gali keluar cincin yang dia tanam 10 tahun dulu dengan Makoto.

Macam-macalah yang jadi lepas tu. Makoto tak dapat teruskan pertunangan dengan Fujii, Kaori bencikan cikgu dia gara-gara dia cemburu bila nampak Makoto dan Ruka keluar date. Kemuncak cerita, rahsia tentang siapa Ruka yang sebenarnya terbongkar. Makoto dihina pelajar-pelajar dia sebab rahsiakan siapa Ruka. Keluarga Jiro dikecam jiran dan pelanggan kedai dia kerana membela seorang vampire. Masa ni Ruka dah berubah. Dia dah mula sayangkan keluarga angkat dia dan kawan-kawan sekolah dia. Dan bila dia tengok orang-orang yang dia sayang menderita sebab dia, dia ambil keputusan nak pergi. 

Kesudahan cerita ini agak menyedihkan. Kalau anda gemarkan cerita yang happy ending, ini bukan cerita untuk anda. Tapi saya berpuas hati dengan endingnya. Kalau selalu sangat nak tengok cerita happy ending aje, bosan jugak kan? Heheheh...