Followers

Thursday, December 17, 2009

Hijrah




Sejak dua minggu ni jadual aktiviti malam saya berubah sedikit. Kalau sebelum ni lepas pukul 10 adalah masa saya terperap di dalam bilik dan menyiapkan manuskrip, sekarang waktu tu terpaksa saya injakkan ke pukul 12 malam. Sekarang, setiap malam jam 10-11.30, saya mengikuti kelas mengaji Al-Quran. Atas permintaan ayah, seorang ustaz akan datang ke rumah kami setiap malam untuk mendengarkan kami membaca Al-Quran. Walaupun kami semua memang sudah tahu membaca Al-Quran tetapi ayah merasakan ada lagi yang kurang tentang cara pembacaan kami. Mudah-mudahan dengan kelas ini cara bacaan dan sebutan kami akan lebih tepat lagi.
Dua minggu sudah ketika pertama kali ustaz jalankan sesi audition (nak mengaji pun kena ada audition tau!) ada kata-kata yang ustaz lontarkan yang buat saya terkedu seketika. Saat itu saya rasa betapa hinanya diri kita ini sebenarnya. Kata ustaz “Kita bila belajar mengaji ni jangan kita harapkan hari ni belajar, esok terus pandai. Kadang-kadang bertahun belajar pun belum tentu kita akan pandai. Jangan tanya kenapa Tuhan berikan laluan susah untuk aku. Kenapa Tuhan tak nak bantu aku? Kalau ada antara kamu yang berfikir macam itu fikir pula tentang ini. Berapa lama pula kamu dah lupakan Al-Quran tu? Setahun, dua tahun, tiga tahun? Tapi Allah masih bersabar dengan kealpaan kamu dan masih lagi berikan kamu ruang untuk menumpang di bumi-Nya.”
Demi Tuhan saat tu saya terasa teramat malu dan rendah diri. Saya melihat maksud yang tersurat dalam ayat-ayat itu. Kata-kata ustaz tu saya telan walaupun pahit.
Ya, kita manusia sering sahaja bersungut dan bertanya kenapa dan mengapa jika ada sesuatu yang buruk berlaku. Jika keinginan kita tidak tercapai kita mudah sangat menyoal KENAPA? Ayat-ayat "apalah nasib aku ni, apalah dosa aku, kenapalah aku saja yang kena terima semua ni" adalah di antara ayat-ayat yang selalu kita dengar jika hidup tak seperti yang kita harapkan. Dan cuba pula kita lihat kalau kita diberikan kesenangan? Bila semua kerja kita dipermudahkan? Berapa ramai antara kita akan teringatkan-Nya? Berapa ramai yang menyebut Alhamdulillah?
Saya akui kadang kala saya juga selalu tak ingat dan alpa. Bukan sengaja lupa tetapi saya cuai dalam menjalankan tanggungjawab saya sebagai umat.  Tetapi kita harus belajar dari kesilapan. Jika terkhilaf, cepat-cepatlah beringat. Ruang untuk berubah masih terbuka selagi nyawa di kandung badan dan matahari belum terbit dari barat.
Sempena Awal Muharram ini marilah kita sama-sama berhijrah untuk menjadi yang lebih baik dari sekarang. Entri ini saya tulis demi mengingatkan diri saya sendiri. Kiranya ada sesiapa yang terasa, saya mohon maaf. Salam Maal Hijrah untuk semua teman-teman dan pengunjung blog ini.


No comments:

Post a Comment