Amzar renung cik kerani tajam. Geram. Rasa nak cekik-cekik leher cik
kerani saat ini. Ingatkan bolehlah makan tengah hari berdua. Ambil peluang yang
ada untuk sejukkan hati cik kerani. Sudahnya, dari berdua terus jadi berempat. Patutlah
cik kerani beriya sangat beritahu akan tunggu dia di bawah. Tak perlu turun
bersama. Rupanya dia bawa dua escort bersama. Bukan main lebar lagi senyuman
Kak Ida dan Anne bila cik kerani selamba beritahu ‘bos nak belanja makan tengah
hari, hari ni’. Bijak betul cik kerani mainkan dia.
“Kita nak makan di mana encik? Di kafe ke?” Tanya Anne.
Mulut dia ringan hendak menjawab, ya, makan di kafetaria sahaja walaupun
dia dah rancang hendak bawa cik kerani di Restoren Enak. Siap dah buat
tempahan. Tapi cik kerani ringan mulut menjawab bagi pihak dia.
“Takkanlah bos nak belanja di kafe saja, nyonya. Mestilah di tempat yang
best, kan encik?” Soal Alin selamba. Bukan main lebar lagi senyuman dia.
Hendak tak hendak, Amzar terpaksa mengangguk tapi mata dah mencerlung
pandang cik kerani. Berani betul dia tersenyum ya. Kalau tak fikir dosa pahala,
dah lama jadi mangsa bibir itu!
Setengah jam kemudian, mereka berempat dah selamat duduk di dalam
restoren. Pesanan dibuat. Terpegun Amzar dibuatnya melihat selera Kak Ida, Anne
dan Alin. Badan masing-masing bukan main kecil. Tapi selera bukan main besar
lebih-lebih lagi cik kerani dia. Segala jenis lauk hendak dicubanya. Amzar tak pasti, cik kerani betul-betul hendak makan
atau sekadar hendak mengenakan dia.
Sementara menunggu hidangan tiba, mereka di jamu dengan kerepek emping
sebagai kudapan. Sambil mengunyah, bukan main lagi mulut cik kerani dia berbual
dengan Kak Ida dan Anne. Dia yang berada di situ macam dah tak wujud pula
dibuatnya. Cik kerani, sejak sampai tadi asyik mengelak daripada memandang dia.
Ok. Kita tengok, lama mana dia boleh bertahan.
“Cantiknya tempat ni kan, Alin?”
Alin mengangguk. Mata memerhati ke sekeliling kawasan restoren yang
nampak agak eksklusif itu. Sesuai dengan konsep restoren makanan Melayu, hiasan
dalamannya banyak mempamerkan ciri-ciri keMelayuan. Warna merah, hitam dan
putih menjadi warna pilihan untuk setiap perabot di dalam restoren itu.
Sungguh, dia memang terpegun saat kaki melangkah masuk ke dalam restoren ini
tadi. Seumur hidup, belum pernah lagi dia masuk ke tempat begini. Kalau tidak
kerana sos salad Newman’s Own di hadapan dia ini rasanya dia tak akan ada peluang
masuk ke tempat begini. Sos salad? Hurm…sedap juga nama tu. Ok cik hati dan cik
jantung, that is his new name. Jangan
nak sexy mexy lagi!
Alin tahu sos salad di hadapan dia ini tengah bengang dengan dia. Tak
perlu dengar suara Amzar tinggi, dia dapat rasakan perasaan bengang Amzar itu
melalui pandangan tajam Amzar sejak tadi. Nasiblah encik. Saya dah kata tak nak
pergi, encik paksa juga. Saya ni tengah dalam proses nak jauhkan encik dari
dalam hati. Jadi hendak tak hendak terpaksalah saya import dua orang cik akak
ini sekali sebab kalau kita berdua saja, mahu cik hati dan cik jantung saya ni
berpaling tadah. Ini pun dah mula mengada-ngada nak bersorak.
“Encik Amzar, terima kasihlah ya bawa kami ke sini.” Ucap Kak Ida.
“Yalah, encik. Tak sangka kami, encik sudi belanja kami makan. Di tempat
mahal macam ini pula tu.” Tambah Anne.
“Ya, I pun tak sangka…” Mendatar Amzar jawab.
Kak Ida dan Anne terpingga. Alin yang sedang mengunyah emping rasa
hendak tercekik mendengar jawapan Amzar. Isyh, dia ini kan. Mulalah tu nak buat
perangai kerek dia tu!
Alin jenggil mata pada Amzar. Kenapa cakap macam itu?
Amzar balas dengan menjungkit kedua belah keningnya. Salah ke?
Alin mendengus geram. Tak pandai jaga perasaan orang langsung!
Amzar tersenyum kecil. You
honestly think I care?
Alin ketap gigi. Geram.
Amzar akhirnya ketawa. Gembira.
Kak Ida dan Anne hanya mampu jungkit bahu tak faham.
Tak lama selepas itu, hidangan sampai. Bercahaya betul mata cik kerani
tengok makanan yang nampak menyelerakan itu. Dia tarik balik prasangka dia
tadi. Tak mungkinlah cik kerani hendak mengenakan dia dengan memesan makanan sebanyak ini. Tengok muka
teruja cik kerani menyenduk makanan ke dalam pinggan nampak sangat yang cik
kerani memang suka makan. Dia pula yang jadi kenyang tengok cik kerani gembira.
“Kak Ida, cuba rasa pucuk paku ni. Sedap tau!” Pelawa Alin.
Kak Ida mengeleng laju. “Tak apa Alin. Akak tak makan sayur hijau.”
“Hah? Macam ini pun ada. Nyonya, tak nak rasa?” Alin pelawa Anne pula.
“Boleh, boleh. I makan saja semua benda.” Anne angkat tangannya ke tepi,
memberi ruang kepada ALin untuk sendukkan lauk ke dalam pinggan dia.
“Sedapkan?” Tanya Alin. Anne mengangguk setuju.
Kemudian dia teruskan proses yang sama dengan lauk-lauk yang lain. Rajin
betul dia sendukkan lauk ke dalam pinggan Kak Ida dan Anne.
Amzar sejak tadi hanya memerhati.
Rasa geram pada cik kerani muncul kembali. Memang cik kerani anggap dia tak
wujud di sini ke apa? Tak boleh jadi. Dia pun hendak juga orang sendukkan lauk
ke dalam pinggan.
“Ehem!”
Cik kerani buat tak dengar.
“Ehem!” Dia berdehem sekali lagi.
Cik kerani, masih lagi buat tak dengar. Ok, dia memang nak cabar
kesabaran aku.
“Alina!” Kan dah kena panggil nama.
“Hmm?” Balas cik kerani.
Amzar pandang pinggan dia yang hanya berisi nasi putih. Alin angkat
sebelah kening tak faham. Amzar pandang ayam masak cili api di hadapan Alin kemudian
dia pandang semula ke arah pinggan dia. Kali ini Alin angkat kedua belah kening
dia pula. Oh, dia memang nak cari pasal!
“Alina Suffiya.” Dia dah sebut nama penuh.
“Ya, encik?”
“I nak lauk ayam tu.”
“Ok.” Alin senduk lauk ayam masak lemak cili api ke dalam pinggan Amzar.
Kalau dari tadi cakap elok-elok dengan dia, bukan ke senang. Ini nak berdehem,
main isyarat-isyarat mata bagai. Macamlah dia ada masalah pendengaran
dibuatnya.
“I nak rendang.”
Satu sudu rendang diletakkan ke dalam pinggan.
“I nak pucuk paku.”
Pucuk paku pula dimasukkan ke dalam pinggan.
“Nak ikan tu…” Amzar muncungkan bibir ke arah pinggan ikan.
“Anything else, encik?” Tanya Alin separa memerli.
“No.” Amzar terus suap nasi ke dalam mulut.
Alin menjuling mata ke atas. “Manja betul!” Gumamnya perlahan namun
masih boleh didengar Amzar. Amzar cuma tersenyum. Alin dah tarik nafas dalam.
Kalau kerja dia asyik nak senyum macam itu, macam mana aku nak kuatkan hati ni?
Isyhh! Masalah sungguh. Kenapalah bukan sos Knorr yang muncul dalam hidup aku
ni? Kenapa mesti sos mahal macam dia ni? Hati dia membebel sendiri.
Dia sambung semula makan. Tapi entah kenapa, tiba-tiba dia rasa pelik.
Semacam ada mata yang sedang memerhati dia sekarang. Dia angkat kepala,
memandang Amzar tapi sos salad yang satu ini sedang asyik makan. Dia kembali
mengadap makanan dia tapi perasan itu masih lagi terasa. Malah lebih kuat dari
tadi.
Alin angkat kepala dia semula. Mata memandang ke sekeliling restoren.
Semua orang sedang sibuk menjamu selera. Pandangannya terhenti ke arah meja
yang berada betul-betul di belakang Amzar. Ada lebih kurang enam orang
semuanya. Satu persatu wajah yang ada di meja itu diperhatikan hinggalah
pandangannya jatuh ke arah seorang lelaki yang sedang juga sedang memerhatikan
dia. Pandangan mereka bersatu dan Alin terasa macam hendak putus nafas. Sudu
dan garfu terlepas dari tangan.
“Alina, kenapa ni?” Tanya Amzar. Mata cik kerani tiba-tiba membulat
memandang sesuatu di belakang dia. Tangannya menggeletar.
“Alin, amoi you kenapa?” Tanya Anne. Kak Ida di sebelah juga mula risau
melihat Alin yang tiba-tiba pucat mukanya.
“Alina!?” Panggil Amzar sedikit kuat dari tadi.
Alin tersentak. Serentak dengan itu, lelaki yang asyik merenungnya tadi
sudah bangun dan berjalan menghampiri mereka. Degupan cik jantung dah mula
menggila.
“We need to go. I need to go…Now,
please!?” Dia benci
merayu macam ini. Dia benci keadaan begini. Dah bertahun Alin, kenapa kau masih
biarkan dia pengaruhi emosi kau?
Tak menunggu jawapan daripada Amzar, Alin terus capai dompetnya dan
bergerak laju keluar dari restoren itu. Tak. Dia bukan lari. Dia cuma belum
bersedia sahaja dengan pertemuan ini.
“Stay. Biar I yang tengok dia.” Keras Amzar bersuara. Dia
bergegas mendapatkan cik kerani yang sudah keluar dari dalam restoren.
“Alina, tunggu!” Panggil Amzar. Namun cik kerani dia makin laju menapak.
“Alina, slow down!” Ujar Amzar lagi. Apa kena dengan dia ni?
“Alina Suffiya, stop!” Jerit
Amzar. Dia dah tak peduli lagi dengan pandangan orang ramai yang berada di
sekitar mereka.
Alin berhenti. Amzar segera mendapatkan cik kerani. Wajah cik kerani dah
hilang warna. Bibir terketar-ketar macam hendak berkata sesuatu. Tubuh cik
kerani pula mengigil macam orang ketakutan.
“Alina, what’s wrong?” Tanya
Amzar risau. Tak pernah dia lihat cik kerani dia takut begini.
Alin cuba hendak bersuara tapi macam ada yang menghalang suaranya dari
keluar. Ya Allah, kenapa lemah sangat ni Alin? Cik jantung, bukankah kita dah
janji nak jadi kuat? Cik hati, bukankah kita dah janji kita akan biarkan rasa
itu mati? Habis itu kenapa kita macam ini?
“Alina, tell me. What’s wrong?
Siapa yang you nampak sampai you takut begini?” Pujuk Amzar. Dia tahu ada
seseorang di dalam restoren itu yang membuatkan cik kerani dia bereaksi hingga
begini.
“Alina…” Tiba-tiba ada suara yang menegur mereka dari belakang.
Alina terkaku. Darah rasa macam baru disedut keluar dari badan. Tubuh
terasa ringan. Semangat dia dah melayang-layang pergi. Tanpa sedar tangan dia
memegang lengan Amzar. Kuat, seolah-olah ingin meminjam sedikit kekuatan
daripada Amzar untuk berhadapan dengan pemilik suara garau yang menyeru nama
dia tadi.
Amzar pandang tangan yang sedang mencengkam kuat lengan dia. Dia dapat
rasakan betapa badan cik kerani sedang mengigil dan puncanya berada di belakang
dia sekarang. Dia menoleh ke belakang. Mencerlung matanya memandang lelaki tinggi
lampai yang sedang berjalan menghampiri mereka. Who the hell is this guy? Darahnya rasa menggelegak. Tiba-tiba
wujud rasa benci kepada lelaki ini.
“Alina…” Sapa lelaki itu sebaik sahaja dia berada di hadapan Alin. “It’s been a long time…” Sambung lelaki
itu dengan senyuman nipis di bibir.
Darah Amzar makin menggelegak. Siapa lelaki ini? Dari gaya dia bercakap
seolah-olah dia dah lama mengenali cik kerani. Alina? Kenapa dia rasa meluat
dengar lelaki itu panggil cik kerani begitu?
Amzar menoleh ke arah cik kerani. Dada dia tiba-tiba terasa pedih. Is
that tears in her eyes? Amzar pandang mata cik kerani yang nampak berkaca-kaca.
Tangan ringan mahu menyentuh tangan cik kerani yang masih kuat memegang lengan
dia. Entah kenapa, timbul perasaan mahu melindungi diri cik kerani apabila
melihat dia yang sentiasa tersenyum, dia yang selalu menceriakan hari-hari dia
hanya dengan bebelan yang ada masanya menyakitkan hati, hanya mampu berdiri
kaku. Oh Tuhan, what’s happening to me?
“Alina?” Perlahan dia menyeru nama cik kerani. Namun cik kerani nampak
seperti berada di dunia lain…
Dan ya, Alin memang berada di dunia lain. Dia dah tak nampak orang lain
selain daripada lelaki yang sedang berdiri di hadapan dia. Dia dah tak dengar
suara lain selain daripada suara lelaki di hadapan dia. Ya Allah. Dia masih tak
berubah. Masih seperti dulu. Wajah yang satu masa dulu pernah menjadi igauan
dia, nampak bertambah kacak dan lebih dewasa daripada dulu. Mata yang satu masa
dulu pernah buat dia lemah lutut setiap kali pandangan mereka bersatu masih
lagi memberikan kesan yang sama. Senyuman itu…oh Tuhan. Ia masih mampu buat cik
jantung dan cik hati dia diam terpaku.
“Apa khabar, Alina?” Tanya lelaki itu lembut. Macam dulu-dulu. Lelaki
itu memang sentiasa berlembut dengan dia.
Alin tarik nafas dalam sebelum menjawab, “Baik...”
Liur ditelan, “…Hairi.”