Followers

Wednesday, January 26, 2011

Cubicle Rant : Tolong!

Saya sedang diuji. Kesihatan saya sedang merosot waktu ini. Mood saya sangat tidak elok. Saya mohon, TOLONG jangan sesiapa provoke saya dalam keadaan saya yang macam ini. Saya takut saya tidak dapat kawal emosi. Saya tidak mahu anda menjadi mangsa kemarahan saya. Terima kasih kerana memahami...

Tuesday, December 21, 2010

Cuti! Yeay!


Minggu ini saya terpaksa bekerja lebih masa. Kenapa? Sebab minggu depan saya akan bercuti hingga ke 2.1.2011. Saya akan kembali ke pejabat pada 3.1.2011. Ikutkan hati saya malas nak bercuti lama-lama tapi bos 'paksa' saya habiskan cuti saya yang masih berbaki 15 hari itu. Banyakkan? Jadi hendak tak hendak saya terpaksalah bercuti minggu hadapan.
Semalam saya sempat merangka aktiviti yang akan dilakukan sepanjang masa bercuti itu. Yang pasti tidak ada acara 'cuti-cuti Malaysia ataupun antarabangsa' kali ini. Saya akan ke rumah mak su saya di Klang dan habiskan waktu di sana dengan membaca novel dan menulis. Ini juga bermakna tidak ada internet untuk saya selama seminggu. Seminggulah saya 'terputus' hubungan dengan dunia online. Harap-harap tidak ada peristiwa hangat akan berlaku dalam masa tu nanti. :P
Malam ini saya akan mula pack novel yang bakal dibaca nanti. Senarai paling atas ialah Planet Planet Cinta yang terpaksa saya sorok dari pandangan mata saya sekarang demi mengelakkan diri dari terbaca. Saya perlu masa yang betul-betul senggang untuk mengembara ke Jupiter. Next on my list is, Semanis Coklat. Selain tu ada tiga buku lagi yang bakal dibaca. Harap-harap semuanya selesai dibaca masa cuti ini. Tahun depan mahu cari buku baru pula!
Cuti ini juga akan saya gunakan untuk habiskan 2 buah draft cerita. Ini pun saya harap dapat disiapkan sebelum tahun baru menjelang sebab selepas tu saya nak mulakan proses editing. Saya dah letak target, tahun depan sekurang-kurangnya saya nak siapkan 3 manuskrip. Doakan target saya tercapai ye? :)

***

Oh ya, kepada pembaca blog e-novel Kasih Ilham ada sesuatu yang perlu saya beritahu. Tahun baru ini saya akan buka kembali blog itu. Kepada mereka yang ingin tahu kesudahan Ilham dan Kyriel, jangan lupa ke blog itu nanti ya?

Monday, December 6, 2010

Dulu dan Sekarang

: pic

Baru-baru ni saya terdengar keluhan seorang ibu yang datang mengadu pada emak. Dia sudah mati akal dengan perangai anaknya. Nasihat sudah. Marah pun sudah tapi anaknya itu masih tak nak berubah. Dalam dia mengeluh, dia akui kesilapan diri dia dan suami. Katanya dia terlalu memanjakan anak-anak. Dia terlalu mewahkan anak-anak dia hingga budak-budak itu naik lemak dan tidak mahu mendengar kata. Dalam pada tu, mak turut mengeluh mengenangkan adik-adik saya yang lahir ketika keluarga kami sudah mulai ‘senang’. Lebih kurang saja perangai mereka semua. Keluhan tu buat saya terkenangkan zaman saya membesar.

Kami bukan orang senang pada asalnya. Sewaktu mak dan ayah mula-mula berkahwin dulu, mereka tinggal di kuarters kerajaan di Jalan Sultan Salahuddin. Bukannya rumah sendiri pun tapi menumpang di rumah arwah wan. Ayah saya bukannya orang senang (literally). Walaupun keputusan STP dia bagus tetapi disebabkan kesempitan hidup, dia tidak menyambung pelajaran. Alasan yang klise kan? Tetapi itulah hakikatnya. Ayah hanya anak angkat kepada arwah wan. Ibu dan ayah kandungnya dah meninggal dunia sewaktu dia masih bayi lagi. Arwah wan pun bukannya orang lain, tetapi ibu saudara dia sendiri. Tetapi kalau dah adat menumpang kasih orang, terima sahajalah apa yang ada. Kalau kurang jangan nak meminta. Sebab itulah ayah tak sibuk-sibuk merengek dengan arwah wan nak sambung belajar. Disebabkan itu, habis sahaja sekolah ayah terus bekerja. Perkerjaan pertama ayah adalah sebagai pengawal keselamatan di sebuah universiti tertua di Malaysia. Rezeki ayah murah, beberapa bulan bekerja di situ ada pihak pengurusan keluarkan iklan jawatan kosong sebagai pembantu tadbir di situ dan ayah terus ambil peluang yang ada.

Lepas ayah dapat kerja sebagai pemb. Tadbir, kami sekeluarga menyewa di sebuah flat di Jalan San Peng. Masa tu umur saya sekitar 2 tahun. Sewaktu kecil, arwah nenek dan atuk yang menjaga saya dan adik. Saya ingat lagi setiap hari mak akan ulang alik hantar dan ambil kami dari rumah kami ke blok sebelah (rumah nenek). Hidup sewaktu tu memang bahagia sangat. Saya cucu sulung jadi perhatian tu memang lebih dari yang lain. Saya memang dimanjakan oleh mereka semua. Tapi itu tak bermakna kalau saya buat salah, saya tak kena marah. Manja, manja jugak. Tapi kalau buat perangai memang akan kena dengan nenek!

Dua tahun kemudian, nenek dan atuk pindah balik ke kampong di Melaka. Disebabkan kami masih belum bersekolah, saya dan adik ikut sama tinggal di kampong dengan mereka. Setiap kali cuti hujung minggu, ayah dan mak akan jenguk kami di Melaka. Dulu kami empat beranak tiada kereta. Tapi ayah gagahkan juga menunggang motosikal Hondanya dari KL ke Melaka. Sudahlah masa tu tak ada highway! Mak pernah bising betapa dia sakit pinggang kalau mereka balik ke kampong waktu tu. Kesudahannya, mereka balik naik bas sahaja (mungkin ayah tak tahan dengar mak membebel! Hehehe)

Sewaktu saya memulakan alam persekolahan, fasa baru dalam hidup kami pun bermula. Ayah dah mampu beli rumah sendiri. Kami sekeluarga berpindah ke Selayang. Rumah teres dua tingkat itu menjadi istana kami berempat. Daripada flat dua bilik, kami duduk di rumah tiga bilik. Waktu tu sayalah budak yang paling kaya sebab sepupu yang lain duduk di rumah flat lagi! Hehehe... Di sini semuanya berubah. Bermula dengan sebuah motor, ayah dah mampu beli kereta. Mak dah tak bising sakit pinggang lagi. Dari berempat, kami dah jadi berenam. Dari seorang cucu yang manja, saya dah jadi kakak kepada 4 orang adik lelaki. Tanggungjawab pun dah lebih.

Itu semua cerita 24 tahun dulu. Sekarang walaupun kami masih tinggal di rumah yang sama, keadaannya dah tak sama macam dulu. Rumah tak meriah sangat sebab adik-adik dah ada kehidupan masing-masing. Yang dah kahwin dah ada rumah sendiri. Yang masih belajar hanya ada di rumah sewaktu cuti semester. Ayah dan mak pun dah semakin tua. Kesihatan pun dan mula merosot. Ayah yang satu masa dulu cukup kuat dah mula sakit sana sini. Baru-baru ni dia diserang mild-stroke. Tapi alhamdulillah, masih belum tahap serius. Mak pun sudah tak bekerja. Dia sudah menjadi suri rumah sepenuh masa.

Bila saya fikirkan jerit perih dan susah payah yang kami hadapi sepanjang masa ni, buat saya semakin hargai kesenangan yang saya ada sekarang. Sewaktu saya membesar saya tak semewah kawan-kawan yang lain. Nak itu ini, senang saja diperolehi. Sedangkan saya kena berkira-kira nak minta pada mak dan ayah. Sebab itu sekarang, kalau saya nak apa-apa saya terus dapatkan tanpa fikir panjang. Sebab saya dah pernah rasai betapa seksanya untuk saya perolehi semua itu masa saya membesar dahulu.

Tiga orang adik saya sangat beruntung kerana sewaktu mereka membesar, mereka tak rasai apa yang saya dan adik pertama saya rasakan. Semuanya dah terhidang depan mata untuk mereka. Mereka tak perlu nak bersusah payah simpan duit belanja untuk beli buku rujukan. Tak perlu tunggu hujung bulan kalau terasa nak makan KFC. Tak perlu nak cari public phone kalau nak telefon sesiapa sebab masing-masing dah ada telefon bimibit! Beg sekolah saban tahun berganti. Kasut sekolah setahun dua pasang. Baju sekolah dua tiga pasang. Betapa beruntungnya mereka!

Buat generasi-generasi muda hari ini, hargailah apa yang anda semua ada sekarang. Jangan ambil mudah dan mengambil kesempatan di atas ‘kemewahan’ yang anda miliki. Tolonglah hargai apa yang ibu dan bapa anda sudah lakukan untuk anda. Bukan mudah jalan yang mereka lalui untuk sediakan segalanya untuk kita. Selagi masih ada kesempatan ni, balaslah jasa mereka. Bukan dengan wang ringgit tapi dengan diri kita. Jika diminta belajar, belajarlah hingga kita berjaya. Bila disuruh berbuat baik, buatlah dengan ikhlas. Bila dilarang lakukan sesuatu, patuhilah ia. Jadilah anak yang mendengar kata. Hanya itu yang mereka pinta...

Monday, November 15, 2010

Imaginasi yang terlebih!



Baru-baru ini saya balik ke kampung di Melaka untuk menjenguk rumah arwah nenek yang sudah hampir sebulan tidak dijenguk. Penat membersihkan rumah sepanjang hari membuatkan kami tidak larat nak masak sendiri untuk makan. Sudahnya kami ke Tampin untuk makan malam.  Kalau dah di kampung tu, memang suasananya berbezalah dengan di bandar. Di bandar, pukul 9 malam pun orang masih keluar rumah. Jalanraya masih ada kenderaan bertali arus. Tapi di kampung, jangan kata pukul 9, sebaik sahaja azan maghrib berkumandang, jalan raya dah sunyi sepi. Pintu rumah dah bertutup rapat. Kiranya pukul 9 malam di kampung, macam pukul 2-3 pagi di bandarlah. Sunyi dan sepi. Yang berbunyi cuma unggas-unggas malam dan macam-macam bunyi yang memang susah nak dengar di tengah bandar.
Perjalanan ke Tampin mengambil masa lebih kurang 30 minit dari kampung saya. Jalanraya yang dilalui memang lengang. Walaupun ada rumah-rumah di tepi jalan tu, tapi semuanya dah tutup pintu. Jadi perjalanan tu memang sunyi. Kalau dah sunyi tu, faham-faham sajalah. Mulalah kepala saya ni fikir benda macam-macam. Saat tu teringatlah segala macam kisah seram yang pernah saya baca dan tonton. Sewaktu melalui sebuah ladang kelapa sawit tiba-tiba saya terkenangkan cerita Janji Julia, Kak Maria Kajiwa. Mulalah terbayang scene yang Julia alami di dalam ladang tu. Seram sejuk jadinya.
Bila dalam perjalanan balik pula, kami melalui jalan yang sama. Nak dijadikan cerita, secara tidak sengaja kami terlanggar seekor beruk bewarna putih yan tersalah 'landing'. Disebabkan jam dah pukul 10.30 malam, jalan tu pula sunyi sepi dan gelap gelita, kami teruskan perjalanan. Entah apa nasib monyet tu, kami pun tak tahu. Masa tu bulu roma dah meremang. Kami pasang radio sekuat-kuatnya untuk tenangkan hati yang dah kacau. Masa ni saya asyik terkenangkan filem I Know What You Did Last Summer. Terbayang-bayang apa akan jadi kalau beruk tu mati dan suku sakatnya datang cari kami.
Tiga hari di kampung, macam-macam perkara yang terjadi. Bukanlah benda-benda yang menakutkan pun. Cuma imaginasi saya ni, bak kata Stacy 'terlebih sudah'. Apa sahaja yang berlaku, saya cepat sangatkan terbayangkan novel, cerita dan filem yang saya baca dan tonton. Bila dengar orang ketuk pintu rumah tengah-tengah malam, teringatkan filem Jangan Pandang Belakang. Hehehe...sedangkan itu nenek saudara saya dari rumah di atas, datang nak ambil kunci rumah! Bila nampak ada cahaya lampu di ladang getah depan rumah di subuh hari, saya dah mula fikir benda bukan-bukan sedangkan itu cahaya lampu kepala makcik/pakcik penoreh getah tu.
Bila balik ke KL lain pula ceritanya. Mak Su saya bercadang nak beli sebuah apartment baru. Kawasannya memang cantik. Lot yang ingin dibelinya mengadap bukit bukau dan kawasan hutan. Memang saujana mata memandang. Dan yang paling menarik, lot itu terletak di tingkat 13! Apa lagi, mulalah teringatkan karya Erti Cinta, Kak Maria! Kebetulan pula Mak Teh saya bercerita tentang sebuah lot apartment yang dikatakan haunted di sekitar kawasan Kg. Pandan. Waktu tu saya mula teringatkan budak kecil menanggis di tepi lif! Sekarang ni bila lalu je apartment yang tinggi-tinggi di waktu malam, terbayang-bayangnya cerita Erti Cinta.
Sebenarnya perkara ni dah berlaku sejak saya dulu lagi. Zaman cerita Speed, lakonan Keanu Reeves dulu, saya pernah takut nak naik lif sebab terbayang scene orang jahat tu memasang bom pada lif. Bila naik train terbayang filem Ghost Train. :P
Inilah penangan cerita seram/thriller/misteri dalam hidup saya. Yang peliknya, kalau berhadapan dengan perkara yang lovey dovey tu, tak nak pulak otak saya ni bayangkan novel-novel cinta dan filem romantik yang saya baca dan tonton! Bila diceritakan kepada seorang kawan, dia gelak besar. Saya tanya, 'gila ke aku ni?' Selamba dia menjawab 'You're not crazy. Just a little unwell!'  Ada beza ke? Hurmmmm....

Monday, November 1, 2010

Kalau berpacaran...

Lokasi: Sebuah restoren di  Damansara
Sabtu. 30.10.2010

Cik Adik dan Encik Abang yang ingin saya hormati,

Saya bukan ustazah yang layak untuk bersyarah tentang hokum hakam agama. Saya juga bukan kakak atau adik kamu yang punya hak untuk marah atau ‘menghadiahkan’ penampar ke wajah anda berdua yang tampan dan cantik itu. Saya cuma seorang perempuan, kakak dan anak kepada dunia, adik-adik saya dan emak dan ayah saya. Saya tahu saya tidak punya apa-apa hak untuk menegur kamu kerana antara kita tidak ada pertalian. Tapi saya juga tahu, walaupun DNA kita tidak sama, keturunan kita masih sama. Anda berdua dan saya datangnya dari Adam dan Hawa. Melihat dari cara Cik Adik berpakaian, saya kira kita berdua juga menjunjung rukun iman yang sama. Jadi atas tiket itulah, saya membuat teguran ini. Bukan apa, disebabkan saya berada di hadapan anda berdua ‘bekalan’ yang anda kumpul tu sedikit sebanyak terpalit pada saya. Percayalah, kalaulah masa boleh dipusing semula, saya akan pusing kembali ke putaran hidup yang sama kelmarin agar saya tidak perlu menyaksikan ‘telenovela’ yang anda berdua lakonkan. Selera makan saya juga terjejas disebabkan anda!

Cik Adik dan Encik Abang,

Ini hanya nasihat. Terpulanglah kalau mahu ikut atau tidak. Saya tahu anda berdua sedang asyik bercinta dan anda berdua mahu satu dunia tahu hakikat itu. Saya tak tahulah orang lain macamana, tapi melihat dari cara Encik Abang merangkul pinggang Cik Adik, saya tahu Encik Abang takut sayang gila dan takut kehilangan Cik Adik. Dan Cik Adik pun apa kurangnya. Pelukan dan lentukan ala-ala manja itu membuktikan yang Cik Adik juga sayang sangat dengan Encik Abang. Oh, itu belum lagi saat Encik Abang menghadiahkan ciuman hangat di pipi Cik Adik dan Cik Adik sambil tersipu-sipu malu (malu ke?) membalas ciuman Encik Abang. Kalau orang lain belum tahu, pasti public affection yang satu itu sudah cukup untuk memberitahu satu dunia yang anda sedang bercinta!

Alam bercinta ini memang indah. Saya tak tahu first hand tapi melalui novel-novel cinta yang saya baca, saat mula-mula anda berkenalan hinggalah ke saat anda melafazkan kalimah keramat I LOVE YOU (I have no idea why people say that!) memang anda rasakan dunia ini anda yang punya. Orang sekeliling tak wujud langsung. Saya rasa sebab itulah anda tidak segan silu berpelukan dan berciuman di khalayak ramai! Maklumlah, mata Encik Abang hanya nampak Cik Adik dan vice versa.

Tapi sayang, Encik Abang dan Cik Adik terlupa sesuatu. Anda bukan hidup berdua di dunia ini. Ada orang lain di sekeliling anda. Di sebelah anda ada saya; seorang perempuan yang masih tebal rasa malunya dan masih berfikiran konservatif walaupun kita sudah di abad ke-21! Berdekatan dengan anda juga ada sepasang suami isteri yang bersedih hinggakan si isteri mengeluarkan ayat “minta-minta anak dara kita tak macam tu ye, bang?” Oh, dan tidak jauh dari saya ada seorang lelaki yang merah padam wajahnya bila melihat Cik Adik melekapkan bibir ke pipi Encik Abang. Mungkin teringatkan adik atau kakaknya...

Alahai Cik Adik, di mana maruah Cik Adik? Di hilangnya malumu? Sewenang-wenangnya membiarkan tubuh anda disentuh lelaki yang bukan muhrim dan belum tentu lagi menjadi muhrim anda! Dan buat Encik Abang, anda sebagai seorang lelaki sewajarnya lebih mengerti. Bukankah anda dikurniakan 9 akal? Ataupun anda memang tidak berakal? Bayangkan kalau adik perempuan atau kakak anda diperlakukan begitu. Apa perasaan Encik Abang? Saya harap masih berperasaanlah ya. Kalau tidak, memang anda dah parah!

Saya tidak akan sentuh soal dosa pahala sebab saya bukan orang yang layak. Lagipun perkara itu memang sudah diajar sejak kecil lagi. Mak dan ayah di rumah pasti ada hantar anda berdua ke sekolah bukan? Di sekolah, saya percaya ustaz dan ustazah ada beritahu apa itu dosa dan apa itu pahala. Kalau anda tidak praktikkan, apa yang mampu kami lakukan? Umur bukan baru setahun dua. Tengok dari cara Cik Adik memakai tudung litup, saya kira Cik Adik tahu tentang dosa dan pahala. Atau bertudung itu pun sekadar fesyen? Tuhan saja yang tahu...

Encik Abang dan Cik Adik,

Saya minta maaf kalau apa yang saya tulis ini menyinggung perasaan anda. Saya gembira kalau anda tersinggung sebab itu membuktikan anda terasa dengan kata-kata saya. Sekurang-kurangnya anda masih boleh berubah dan diselamatkan. Tapi kalau sebaliknya, tiada apa yang boleh saya buat lagi. Cuma berdoa agar anda cepat-cepatlah berkahwin. Kalau tidak senang-senang saja buat dosa kering!

p/s: Oh, sebelum ada yang bertanya, biar saya beritahu dulu. Mereka yang sedang diperkatakan di atas ini memang BELUM bernikah (berdasarkan tiada cincin di jari dan usia mereka yang nampak terlalu muda) Lagipun pasangan suami isteri yang sah tak akan buat perangai begitu di tempat awam. Kan?

Monday, October 18, 2010

Novel...novel..dan novel











Hujung tahun ni adalah hujung tahun yang menceriakan. Banyak novel yang menanti untuk dibeli dan dibaca. Rasa tak sabar pula nak bercuti lama bulan disember ini. Kali ini saya tak pergi bercuti ke mana-mana. Hanya akan habiskan cuti hujung tahun saya di rumah bersama novel-novel yang akan berada di dalam koleksi dan juga yang sudah berada di dalam koleksi tapi belum punya kesempatan untuk di baca. Apa yang tersenarai di atas cuma sebahagian daripiada novel yang saya looking forward to read.

Nujum Cik Belalang – Novel remaja karya Firas Firzana. Kisah seorang gadis yang perasan dirinya punya kuasa psikik! Ini karya teman saya, Kak Noorul.

Planet-Planet Cinta – Awas! Ini bukan karya  komedi romantik atau humor. Ini sebuah cerita berat. Ini cerita Sci-Fi. Bagi pngikut setia puteri Elara di blog Elara dahulu pasti ternanti-nanti kehadiran novel ini. Ini karya mentor saya, Puan Maria Kajiwa.

Semanis Coklat – Novel cinta dari seorang penulis lelaki! Sinopsisnya saja sudah buat saya tertarik. Ini pula karya seorang teman penulis yang menggunakan nama pena Reezai Reani. Tapi saya kenali beliau sebagai Ridh saja. Tahniah buat Ridh atas kelahiran Semanis Coklat ini ya.

Pemuja Rahsia - Melihat nama novel ini teringat lagu kumpulan Sheila On 7 yang pernah menjadi kegilaan saya satu ketika dulu (zaman sekolah dulu memang SO7 ni happening gila lah!) Buku ni belum saya dapatkan lagi. Insya-Allah, akan dibeli melalui bookstation. Cuma masa nak ber'internet' shopping itu sangatlah limited. Heheh..ini karya Ilmar Ilmia, teman seperjuangan dalam bidang penulisan ini.

Clockwork Angel – Novel ini adalah siri pertama di dalam The Infernal Devices series. Ia merupakan prequels siri The Mortal Instruments karya Cassandra Clare. Kalau dalam The Mortal Insturments, anda sudah mengenali kumpulan Shadowhunter dan Downworlder, di dalam The Infernal Devices, anada akan dikenalkan dengan asal usul dan sejarah lama Shadowhunters dan Downworlder. Novel ini dah lama tersimpan di dalam kotak. Cuma saya tak punya masa yangs sesuai untuk membaca.

Blood Trinity – Ini karya terbaru penulis kegemaran saya, Sherrilyn Kenyon. Kisah demon dan hunters beliau memang selalu dinanti-nantikan. Novel ini belum berada di pasaran. Kalau ikut jadual, penghujung bulan ini akan sampai di tangan saya. Moga-moga jadualnya tak terganggu!

Infinity – Ini adalah buku pertama dari siri The Chronicles Of Nick. Juga dari Sherrilyn Kenyon cumanya ia di dalam genre YA. Nick Gautier adalah salah seorang watak di dalam siri Dark Hunter beliau. Di dalam TCON, pembaca akan lebih menegnali siapa Nick dan bagaimana dia menjadi lelaki seperti yang kita temui di dalam siri Dark Hunter. Nasib buku ini pun seperti Clockwork Angel. Tersimpan di dalam  kotak, hanya menunggu masa untuk dibaca.

Ada dua lagi sebenarnya buku yang saya nanti-nantikan. Hehehe...novel The Untold Story dan Antasia. Harap-harap ia akan dapat dipegang menjelang hujung tahun ini.. J


Monday, October 11, 2010

Kecewa

Betullah kata orang, apa yang kita paling hendak, itulah yang kita tak akan dapat. Baru saja saya minta aura-aura negatif menjauhkan diri sari saya, secepat kilat ia datang. Dan sesungguhnya apa yang datang itu benar-benar buat saya kecewa dan menjeruk rasa. Depan orang saya masih tersenyum seolah-olah tak ada apa yang terjadi. Tapi sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke dalam home sweet home, senyuman saya hilang dan dunia saya kembali berputar. Kecewa dan sedih.
Saya sedang mengalami fasa berjauh hati dengan mereka di rumah saya.