Followers

Tuesday, August 23, 2011

P. Ramlee - Suara Takbir (FULL SONG + LYRICS)





Dari dulu lagi, lagu raya yang inilah yang paling saya suka. Setiap kali dengar lagu ni, mood raya tu akan datang secara automatik. Tiba-tiba rasa teruja nak beraya. Masa kecil-kecil dululah. Sekarang ni, rasa teruja tu tak berapa nak ada sangat. Mungkin sebab makin meningkat usia, kita makin faham makna hari raya jadi perasaan yang hadir setiap kali Syawal menjelma dah tak sama macam zaman kanak-kanak dulu.
Dulu masa muda remaja (sekarang ni pun muda lagi cuma tak remaja sangatlah..hihihi) kalau nak raya je, mulalah sibuk dengan baju baru dan kasut baru. Mesti nak berpasang-pasanglah. Baju kurung tu kalau tak tiga empat pasang tak rayalah maknanya. Bab biskut raya, hidangan hari raya memang tak ambil kisah sebab itu tugas orang-orang tua. Itu masa nak menjelang raya. Bila dah masuk bulan Syawal, mulalah sibuk kira duit raya pulak. Makcik mana beri lebih. Pakcik mana beri kurang.
Tapi itu cerita dulu. Zaman fikiran kebudak-budakkan.
Sekarang ni, hari raya bagi saya adalah hari kemenangan saya berjaya melalui bulan Ramadhan yang mulia. Hendaknya pada tahun ni, macam-macam perkara berlaku pada keluarga. Memang banyak ujian kami sekeluarga. Tapi alhamdulillah, hingga ke hari ini kami berjaya tempuhinya.
Persiapan raya tahun ni sederhana sahaja. Buat pertama kalinya dalam sejarah hidup, saya tak tempah baju kurung baru. Pakai sahaja apa yang ada dalam almari tu. Biskut raya pun buat 2-3 jenis sahaja. Tapi walaupun 2-3 jenis aja yang kami buat, kami buat dalam kuantiti yang banyak. Nak tercabut jugaklah pinggang dibuatnya hujung minggu lepas. Semuanya sebab menjadi kemestian pada kami sekeluarga untuk buat banyak-banyak dan beri kepada saudara mara. Penat yang ditempuhi rasa sangat berbaloi bila melihat wajah mereka tersenyum bila dapat biskut raya dari kami.
Raya tahun ni, macam biasa kami akan beraya di Selayang sahaja. Adik-adik pun semuanya akan berkumpul di sini. Pagi raya selepas solat, kami akan balik ke Melaka melawat saudara mara di sebelah selatan. Raya kedua kami akan melawat saudara mara di sebelah utara pula. Hari raya ke-empat baru kami berada di rumah. Jadi kepada semua kawan-kawan yang tak beraya ke kampung tu, jemputlah datang ke rumah ya? :)

Tuesday, August 2, 2011

Ayah

Semalam puasa pertama. Sewaktu aku dan mak sedang sibuk siapkan hidangan untuk buka puasa, ayah datang dapur. Soalan standard darinya "hari ni kita buka apa?" Lepas mak beritahu satu persatu menu kami petang tu, dia terus cakap "ayah nak keluar cari murtabaklah." Aku bising juga mulanya. Ye lah, di rumah tu cuma kami bertiga yang akan berbuka. Adik-adik aku semua akan berbuka di tempat kerja masing-masing. Siapa nak makan? Aku? Cukuplah dengan nasi lauk rendang ayam tu. Tak perlu nak kuih muih itu semua.  Bila mak dengar aku membebel-bebel dia bagi jelingan maut. "Dah ayah terasa nak makan, biarkanlah!" Kata mak. Aku terus diam.

Pukul 6.30 ayah balik berlenggang kangkung. Aku tanya mana murtabaknya? Selamba ayah jawab, "ayah tak sempat sampai pun..." sambil tangan dia tunjuk ke arah sebelah kiri kereta. Ternganga aku tengok cat kereta tu dah bertukar warna. Dari putih dah campur kaler merah. Rupa-rupanya kereta ayah bergesel dengan kereta lain masa nak keluar ke jalan besar. Aku dah tak terkata apa. Ayah awal-awal dah cakap memang salah dia. Tapi jauh dalam hati aku salahkan diri aku. Sepatutnya aku je yang keluar cari murtabak tu. Bukannya ayah. Sebab mata ayah memang dah kabur sebelah kesan penyakit kencing manis dia. Memang tak sesuai untuk memandu. Kalau ikutkan semalam ayah kena buat laser treatment untuk mata dia. Tapi sebab tekanan darahnya tinggi, doktor batalkan. Kena postpone ke minggu depan.

Semalam puasa pertama. Tapi aku rasa aku tak dapat apa... :(


Tuesday, July 12, 2011

Takut

Aku tengah makan malam semalam bila adik tiba-tiba berbisik:

Adik:  Along, tadi mak batuk keluar darah... 

Terus suapan aku terhenti. Nasi dan lauk di dalam pinggan dah tak nampak sedapnya.

Aku: Banyak ke?

Adik: Tak sure. Tadi pun orang nampak kesan tu pada tisu yang mak buang. Lepas tu semalam adik ada cakap selsema mak pun ada darah sikit. Orang ingat sebab panas. Tapi bila dengar batuk dia macam batuk yang dulu, orang takut penyakit lama datang balik lah.

Aku: Jom, kita bawak pergi hospital. 

Adik: Mak tak nak. Orang dah ajak petang tadi. 

Aku terus senyap. Masa tu jugak aku dengar mak batuk-batuk semula. Betul cakap adik aku, batuk mak dah bunyi macam batuk dia masa dia sakit dulu. Batuk yang tak lepas keluar. Aku terus pergi dapur cari mak. 

Aku: Mak, jomlah pergi hospital. Batuk tu lain macam je bunyi.

Mak: Tak payah. Batuk biasa je ni...

Aku: Habis yang campur darah tu?

Mak diam lama. Aku mula membebel-bebel kat sinki. 

Mak: Tak ada apa-apalah. Sekarang ni kan cuaca tak menentu. Panas sangat agaknya sebab tu hidung mak berdarah. 

Aku: Saya tak kira. Esok kalau batuk mak teruk lagi, kita pergi hospital. Kalau kena seret pun, saya seret!

Aku terus tinggalkan mak seorang diri dekat dapur. Masuk bilik aku menanggis. Aku tahu aku kurang ajar bila bercakap dengan mak macam tu. Tapi aku risau kalau betul penyakit lama mak datang semula. Kawan-kawan mak ada yang mengadu cakap yang badan mak sekarang ni makin kurus. Bila aku dengar cerita macam tu, campur pulak dengan keadaan mak yang batuk-batuk tak berhenti tu, makin hati aku risau. Risau sebab semua benda tu pernah mak alami sebelum dia terlantar sakit dulu. Aku takut nak bayangkan kalau perkara tu betul. Aku tak yakin aku mampu nak hadapi keadaan yang sama untuk kali kedua. Aku takut!

Monday, June 27, 2011

Dia pergi...

Kejamkah saya kalau saya masih mampu ketawa dan tersenyum di waktu orang lain sedang berduka? Saya cuba untuk bersimpati. Saya cuba untuk mempunyai perasaan kasihan. Tapi bila saya kenangkan perbuatan dia, hati saya jadi tawar. Jadi kering. Saya tak boleh berpura-pura bersedih. Berpura-pura menanggis sebab rasa itu tidak ada dalam jiwa. Walau sekelumit! Bila berita pemergian dia dikhabarkan kepada saya, saya cuma berkata 'oh, ye ke?' Saya masih boleh pergi berjalan-jalan di pasar malam. Sewaktu mak 'paksa' saya ikut ke rumahnya, saya begitu keberatan. Lebih-lebih lagi keesokkan harinya saya sudah berjanji mahu ke SACC untuk acara buku. Tapi demi mak, saya paksa juga diri bangun dan masuk ke dalam kereta. Saya bertanya pada mak, kenapa nak pergi sedangkan dah macam-macam dia lakukann. Jawab mak, air dicincang tak akan putus. Jadi saya kunci mulut dan tidur sepanjang perjalanan.
Saat jenzahnya dimasukkan ke dalam liang lahad, saya hanya mampu memandang sepi wajah anak-anak dan isterinya yang menanggis. Kata mak, kalau benci sekalipun jangan ditunjukkan sangat pada orang. Tapi saya bukan manusia hipokrit. Perlu ke saya berpura-pura demi menjaga air muka keluarganya? Apa yang pernah dia lakukan kepada orang yang saya sayangi masih lagi berbekas di hati. Tak mungkin saya dapat lupakan kerana dia buat air mata orang-orang kesayangan saya tumpah kerana keegoaan dia. Jadi, maafkan saya jika dalam masa dua hari lepas saya tidak seperti orang lain. Saya tak menanggis sebab air mata saya tidak mahu tumpah untuk dia.  Itu saja. Titik. 

Thursday, June 23, 2011

Bercuti!

Beberapa minggu kebelakangan ni mood saya agak down. Semuanya gara-gara hal di tempat kerja. Kawan-kawan nasihatkan, bercutilah. Rehatkan badan dan minda. Dan sebagai seorang kawan yang baik (chewahhh), saya mengikut nasihat mereka. Makanya, saya akan pergi bercuti pada awal Julai ini! Kurang 8 hari dari tarikh ini, saya akan terbang tinggalkan masalah-masalah saya di sini untuk seketika. Untuk tempoh 5 hari, saya dapat melepaskan diri dari dinding empat segi di pejabat. Harap-harap tempat itu dapat kembalikan semula semangat saya yang dah jatuh ni. Mudah-mudahan...

Sebelum tu, pada 26.6.2011 ni saya akan berada di booth One Nusantara sempenan Pesta Buku Selangor yang akan di adakan di SACC, Shah Alam. Jadi pada sesiapa yang berada di sekitar kawasan tu, jomlah kita jumpa. :)

Destinasi percutian saya!

Monday, June 6, 2011

Kerja gila @ Gila kerja?




Lama tak update blog ni. Sampai kena perli dengan juliaesqa pun saya tak juga update2. Bukan tak nak. Bukan juga malas. Alasan ni mungkin kedengaran klise tapi itu adalah hakikatnya. 2 bulan kebelakangan ini dan hinggalah ke akhir tahun ini, saya sangat dan akan sibuk. Bulan lepas sahaja, lebih dari 3 kali saya terpaksa tidur di pejabat. In coming months, I'll be facing the same routine. For how long? Entahlah. Saya tak kuasa nak fikir sebab kalau difikirkan saya akan jadi letih. Tahap kesihatan saya pun sedikit menurun sejak kebelakangan ini. Awal-awal saya dah beritahu ketua saya, andai kata badan saya bertambah teruk, saya akan kembali mengikut waktu kerja yang dimeterai dalam appointment letter saya, 8.30 - 5.00 pm. No more overtime, no more staying overnight. Walaupun saya ni muda lagi tapi badan saya ni tak sihat macam orang muda lain. Silap sikit, senang sangat jatuh sakit. Ini memang dah keturunan sebelah mak. Walaupun kami berkeupayaan buat kerja-kerja berat, tapi bila badan dah mula bagi signal suruh berhenti, kami kena berhenti. Tak boleh nak paksa diri. Kalau degil juga, tanggunglah akibatnya. Kalau anda semua nak tahu, wanita-wanita di dalam keluarga kami (sebelah mak saya ye) umur mereka tak panjang mana. Puratanya sekitar 55-60 tahun sahaja. Itu hasil kajian kami selepas kami tengok salahsilah keluarga semalam. Mak saya sempat lagi perli saya "Kalau nak masuk carta, kerjalah lagi sampai 5-6 pagi selalu!" Aduhai, mak! Bukan kehendak diri ini. Kalau ikutkan akal yang normal ni, siapalah yang sanggup 'berumah tangga' di pejabat? Siapalah yang sanggup tidur kat atas kerusi 'patah pinggang'  tu? 
Ok. Need to get back to work. Sebelum tu maafkan saya kalau saya tak cepat balas email, saya tak berapa 'mesra' chatting di YM, saya menjadi silent reader di FB dan saya tidak update blog enovel. Bukan saya tak nak, tapi fikiran saya sedang serabut dengan macam-macam hal. Minta maaf sangat-sangat. Doakan saya agar badan saya ni dapat bertahan untuk hadapi kerja saya yang sedang menggila ni,ya.  

Monday, May 30, 2011

Read Malaysia 2011

Bagi yang ingin mendapatkan novel pertama saya The Untold Story terbitan One Nusantara Sdn Bhd. boleh dapatkan di Read Malaysia 2011. Ada juga novel-novel lain terbitan One Nusantara Sdn Bhd di sana. 



Tarikh: 27 Mei - 5 Jun
Masa: 11.00 pagi - 10.00 malam
Tempat: Malaysia International Exhibition & Convention Centre (MIECC), MINES Resort City