Followers

Google+ Followers

Friday, April 18, 2014

Rahsia ~ Bab 9 (TAMAT)


Will you still love me tomorrow?

Rahsia
2 minggu selepas itu...

“Tepuk amai-amai, belalang kupu-kupu, tepung sayang pandai, ibu upah susu...” Alyah mendodoi gembira sambil tangannya mengusap kepala anaknya yang sedang lena di dalam dakapan. Sesekali dahi anak itu dicium lembut.
“Anak ibu baik. Anak ibu comel. Ibu sayang sangat anak ibu ni. Jangan tinggal ibu, ya sayang?” Pipi bayinya dicium berkali-kali. Sedang dia asyik mengulit anak kesayangannya, tiba-tiba sahaja bayi yang sedang lena itu direngut dari dalam dakapannya. Alyah menjerit terkejut. Pantas dia mendongak ke arah insan yang berdiri di hadapannya.
“Liza...Kenapa ambil anak aku? Berilah semula!”
“Eh, perempuan! Muka tak malu. Mana anak kau? Mana? Ini bukan anak kau. Ni anak aku. Anak akulah, bodoh! Hahahaha...” Liza ketawa berdekah-dekah sambil memeluk erat bayi yang dirampas dari Alyah tadi.
“Liza, bagilah anak aku balik...Bagilah balik!” Alyah  merayu. Dia mula meraung.
Ketawa Haliza semakin kuat. Suka hatinya melihat Alyah merayu-rayu begitu. Apabila Alyah cuba mendekatinya, dia mengundur ke belakang. Apabila Alyah cuba mengapai bayi di tangannya, dia menjunjung bayi itu tinggi.
“Liza, bagilah anak aku tu. Bagilah...” Alyah dah mula menjerit bagai orang hilang akal. “Kenapa kau kejam sangat Liza? Tak cukup lagi ke kau seksa aku? Bagilah anak aku tu balik. Bagilah...” Dia merayu lagi.
“Tepuk amai-amai, belalang, kupu-kupu, tepuk sayang pandai, Mama upah susu...Sayang, marilah dekat mama. Marilah...” Alyah melambai-lambai ke arah anaknya sambil bertepuk tangan.
“Haliza, bagilah anak aku tu. Aku nak susukan dia...” Alyah merayu lagi.
“Jangan mimpi aku akan bagi anak ni pada kau. Wah, dulu tak nak sampai dibuang-buang. Ini sibuk pula nak mengelek anak buangan kau ni kenapa?” Tempelak Haliza sambil ketawa berdekah-dekah. Bayi di dalam dakapannya di sua-sua ke arah Alyah. Sempat dia mengacah mahu menjatuhkan bayi yang turut sama mengekek ketawa itu ke bawah.
“Jangan Haliza! Tolonglah Liza, serahkan anak tu pada aku,” rayu Alyah sekali lagi. Air mata sudah tidak terhitung lagi jatuh membasahi pipi cengkungnya. Dia terus merayu dan merayu sambil berlari mengejar Haliza mengelilingi bilik empat segi itu.
Lama dia berlari, akhirnya dia terjelepuk ke lantai. Dia sudah tidak berdaya lagi. Dia letih, terlalu letih. Minda, tubuh dan jiwanya sudah tidak lagi mampu menghadapi semua ini. Akhirnya dia duduk di situ, menangis semahu-mahunya. Matanya hanya memandang kosong ke arah Haliza yang asyik mendodoikan bayi di satu sudut di bilik itu.
“Tepuk amai-amai, belalang kupu-kupu...” Bibirnya terus mengalunkan lagu dodoi yang satu itu. Dalam fikirannya dia membayangkan anak yang dirinduinya saban hari itu sedang berada di dalam dakapannya. Anak comel itu dibelai lembut. Dicium, dipeluk, dijaga bagai hartanya yang paling bernilai di dunia ini. Dia bahagia bersama anaknya. Hanya ada dia dan anaknya. Tiada siapa yang berani menganggu mereka. Dunia itu hanya milik dia dan anaknya. Dia ketawa gembira...
***
Ria mengesat air matanya yang tidak berhenti mengalir sejak tadi. Sue sudah teresak-esak di dada Jamie. Khairul sudah bergerak menjauhi rakan-rakannya. Hatinya tidak cukup kuat untuk melihat semua itu. Sham mengepal tangan menahan perasaan. Air mata lelakinya yang selama ini amat mahal untuk dibiarkan mengalir turun membasahi pipi tanpa henti. Bibirnya diketap kuat, menahan diri dari menjerit Sungguh, hatinya pedih melihat semua ini. Dia rela bertukar tempat dengan Alyah. Biar dia yang menanggung semua penderitaan gadis itu. Sementelah, semua yang berlaku dulu berpunca darinya. Kalaulah dia tidak pengecut. Kalaulah dia tidak dayus. Semua ini mungkin tidak akan berlaku. Tuhan, kalaulah boleh diputarkan kembali masa...
“She’s going to be ok, right?” Parau suara Jamie bertanya kepada seorang wanita berjubah putih di sebelahnya. 
Nama Iman tertera pada tag nama yang tersemat dada baju. Tangan kanannya mengusap lembut bahu Sue yang masih belum reda tangisannya. 
It’s hard to say. Kami masih belum dapat kenal pasti seteruk mana sakit Cik Alyah. Sesi terapi yang kami buat setakat ini belum membuahkan apa-apa hasil. Cik Alyah tidak memberikan apa-apa tindakbalas kepada setiap pertanyaan kami. It’s like she’s in her own world right now and she refuse to get out. By the way, who is Haliza and why Alyah seems to have a strong reaction towards her?”
Jeda. Jamie melirik ke arah rakan-rakannya yang lain, mengharapkan salah seorang daripada mereka akan menjawab pertanyaan itu namun masing-masing nampak hanyut dalam perasaan sendiri. Dia menarik nafas dalam-dalam. Wajah Doktor Iman di sebelahnya dipandang sejenak sebelum matanya kembali memandang Alyah yang asyik ketawa dan bertepuk tangan.
“Haliza kawan kami. Kami...” Jamie terdiam, cuba mencari perkataan yang sesuai untuk menerangkan hubung kait Haliza dengan mereka semua.
“Kami...”
“Kami rakan sekelas di kolej dulu. Alyah dan arwah Haliza pernah rapat dan dia sebenarnya sukar hendak terima kematian Haliza.” Laju Ria memotong cakap Jamie.
Jamie terpempan. Khairul tersentak lantas menoleh ke arah Ria. Sham yang sedari tadi asyik melayan perasan turut menjeling Ria yang nampak selamba.
“Patutlah dia begitu. Selalunya kematian orang yang rapat dengan kita akan meninggalkan kesan yang sangat mendalam pada diri kita. Mungkin ini juga salah satu punca Alyah mengalami tekanan perasaan yang teruk. Baiklah, saya ada kerja sikit. Kalau ada apa-apa, boleh datang jumpa saya di bilik saya. Jangan risau, kami di sini akan jaga dan cuba merawat Alyah. Apa yang penting sekarang adalah doa dan sokongan dari keluarga dan rakan-rakannya. Saya harap anda semua bersabar dan terima semua ini sebagai ujian dari Allah. ” Pesan Doktor Iman sebelum meninggalkan mereka semua.
“Kenapa kau cakap begitu? Haliza dan Alyah pernah rapat? What kind of nonsense is that, Ria?” Soal Sham keras.
“Habis tu kau nak suruh dia cakap apa? Terus terang dengan doctor tu perkara sebenar? Beritahu dia Haliza tu budak kampung yang kita semua peralatkan demi kepentingan diri kita hingga membuatkan dia mati bunuh diri? Macam tu?” Tempelak Ria.
“Syhh...jangan sebut perkara tu kuat-kuatlah bodoh!” Marah Khairul yang tiba-tiba datang menghampiri mereka.
“Siapa bodoh? Aku ke kau? Eh, kau jangan lupa ya Khairul. Kalau tak sebab kau, Haliza tak akan terjun bangunan tulah!” Bidas Sue berang.
“Jangan sewenang-wenangnya nak tuding jari pada aku ya! Siapa yang sebelum tu ugut dia nak siarkan gambar bogel dia? Siapa? Siapa? Kau dengan Jamie, bukan?”
“Arghhh...Tapi kalau bukan kau dengan Sham yang kunci dia dekat atas bumbung asrama tu, dia tak akan terjunlah! Jadi kau berdualah punca Haliza mati!” Sanggah Jamie pula.
“Kau jaga mulut kau, Jamie! Kami kunci dia dekat atas tu pun sebab nak selamatkan kau, bodoh! Kalau kami tak buat macam itu, dia mesti dah pergi laporkan hal kau perkosa dia tu pada pihak polis!”
“Arghhh...jangan nak letakkan kesalahan tu pada aku pula!”
“Dah memang kau berdua puncanya!”
“Tidak, kau puncanya!”
“Engkau!”
“Sial, kau puncanya!”
“Kau!”
“Kau!”
“Diam...diam...Diam!” Jerit Ria tiba-tiba. “Yang bersalah dia. Dia yang bersalah!” Jarinya dituding ke arah Alyah. Ria menangis.
“Ri..Ria?” Terketar-ketar suara Sue menyeru nama Ria.
Ria terus menangis. Dia sudah tidak mampu menyimpan rahsia ini lagi. Dia sudah tidak sanggup menanggung dosa lagi. Dia mahu hentikannya. Dia mahu rakan-rakannya berhenti menyalahkan antara satu sama lain.
“Haliza bukan bunuh diri. Tapi dia dibunuh. Sewaktu engkau orang kunci di roof top, dia tak keseorangan di atas tu. Alyah juga ada di sana. Dia cuba hendak bunuh diri sebab dia sudah tak dapat terima lagi apa yang terjadi. Dia terlalu tertekan. Aku cuba halang dia. Bila Haliza muncul, kami bertengkar. Dan dalam pertengkaran tu, Alyah hilang kawalan. Semuanya berlaku dengan pantas. Sekejap kami bertengkar dan tak lama selepas itu Haliza dah jatuh ke bawah. Alyah dah terkaku. Yang ada di tangannya hanya tudung yang dipakai Haliza.
Tapi percayalah. Alyah tak sedar pun apa yang dia buat. Semua tu hanya kemalangan. Dia tak bermaksud nak tolak Haliza jatuh dari bangunan tu. Percayalah!”
Mereka terpenpam. Itukah sebenarnya yang terjadi tujuh tahun lalu? Rupa-rupanya Alyah yang menolak Haliza jatuh ke bawah?
“Sebab itulah Alyah tak nak jumpa engkau orang semua lagi. Aku tahu, dia buat semua itu bukan kerana dia bencikan kalian tapi sebab dia tidak mahu rasa bersalah terus mencengkam hati dia kalau dia berhadapan dengan kalian. Dia tak cukup kuat untuk tanggung semua itu.”
“Habis tu, kenapa kau paksa dia ke reunion ni? Kalau kau tak paksa, semua ni tak akan jadi, Ria...” Soal Sham lirih.
Ria mengogoi kuat. “Sebab aku pentingkan diri aku. Aku dah tak sanggup simpan rahsia ni. Aku dah tak sanggup bersubahat tanggung dosa. Aku harapkan reunion ni akan jadi tempat kita semua selesaikan semuanya. Aku mahu berterus terang pada engkau orang semua pada majlis itu nanti. Aku nak Alyah berhadapan dengan masalah dia sendiri. Aku nak dia berhenti larikan diri dari masalah. Sungguh, Sham. Kalau aku tahu begini jadinya, aku tak akan paksa Alyah. Tak akan!” Ria terduduk. Tangannya memukul lantai, kesal dengan tindakannya.
Mereka yang lain terkedu. Kisah yang diberitahu Ria benar-benar mengejutkan. Mereka memandang Alyah yang sedang ketawa gembira di dalam bilik. Gadis itu berlari-lari riang mengelilingi bilik itu. Di hadapan cermin kaca, Alyah berhenti. Dia memandang cermin kaca itu dalam-dalam. Mereka tahu, Alyah tidak dapat melihat mereka di luar seperti mana mereka dapat melihat Alyah.
Alyah meletakkan tangan kanannya di atas permukaan cermin. Bibirnya menguntum senyuman manis. Matanya nampak bercahaya. Untuk seketika mereka seolah-olah melihat kembali sahabat baik mereka. Alyah yang ceria. Alyah manja. Alyah yang sentiasa mahu menyenangkan hati semua orang.
Sham meletakkan tapak tangannya di atas cermin dari sebelah luar selari dengan tapak tangan Alyah. Wajah gadis yang pernah dicintai satu masa dahulu dipandang dengan sayu.
“All for one, one for all...” Ujar Alyah perlahan. Ada sendu tersembunyi di sebalik senyuman yang terukir.
Sue kembali menangis di dalam dakapan Jamie. Mata Jamie sudah merah menahan tangis. Khairul sudah duduk tersandar di dinding. Ria sudah meraung kuat. Sham, air mata yang ditahan tadi dibiarkan mengalir. Rasa kesal, bersalah dan berdosa atas semua yang terjadi mencengkam hati mereka semua. Dan di dalam bilik, Alyah kembali mendodoi lagu tepuk amai-amai...

***
            Doktor Iman hanya mengeleng dari jauh. Dia sudah tidak hairan lagi dengan apa yang dilihatnya. Sejak menjadi doctor di hospital pskitari ini, sudah bermacam-macam perkara yang dilihat.  Anak bunuh emak. Emak bunuh anak. Ayah ‘makan’ anak. Anak jadi gila. Kejadian yang menimpa Alyah dan rakan-rakan tadi hanya satu lagi drama masyarakat yang bakal masuk ke dalam jurnal yang sedang diusahakannya. Kerana terlalu mengikut nafsu dan darah muda, mereka semua terpaksa menanggung akibat yang maha hebat ini.
Untuk semua kesilapan dan dosa yang mereka lakukan, mereka harus menanggungnya untuk seumur hidup. Antara mereka semua mungkin Alyah yang paling bernasib baik kerana jiwa gadis itu sudah musnah. Tiada lagi kesakitan yang perlu ditanggung. Namun tidak untuk rakan-rakannya. Hidup mereka akan terus dihantui peristiwa itu. Dia menoleh ke arah wanita berkebaya pendek di sebelahnya.
            “Mak Yam nak balik dah?”
            Wanita berkebaya itu hanya mengangguk seraya bergerak menuju ke pintu keluar. Pandangan Doktor Iman mengiringi lenggok Mak Yam hingga wanita itu hilang dari pandangan. Doktor Iman tersenyum nipis. Harap-harap ada lagi manusia ‘berdosa’ yang akan dibawa Mak Yam. Dia perlukan kisah mereka demi melengkapkan kerjayanya.


-TAMAT-