Followers

Google+ Followers

Thursday, April 17, 2014

Rahsia ~ Bab 6


Gangguan
“Wow!” ucap Ria untuk kesekian kalinya.
Setiap inci bilik itu dipandang dengan rasa kagum dan tanpa jemu. Sukar hendak dipercayai sebuah hotel bertaraf tiga bintang seperti Hotel Inapan Setanggi mempunyai bilik sehebat ini. Interiornya agak klasik. Siling bilik terukir dengan corak seperti di bahagian lobi tadi. Katil jenis fourposter  yang tiangnya diperbuat daripada kayu jati berada di tengah-tengah bilik. Di kiri kanan katil ada sebuah meja sisi yang turut diperbuat daripada kayu jati. Di atas meja sisi itu diletakkan mangkuk berisi air yang ditabur dengan bunga cempaka putih. Di sebelah kanan berhampiran dengan tingkap, ada dua buah kerusi rotan dan sebuah meja. Di atas meja terdapat termos air panas, empat biji cawan dan paket-paket kecil gula, kopi dan teh yang diletakkan di dalam sebuah bakul kecil.
“Hebat juga hotel ni ya? Kalah hotel dekat KL.” Puji Sue yang baru keluar dari tandas.
Ria mengangguk setuju.
“Tandas pun bersih. Ada tab mandi. Siap ada air panas lagi tu. Lega sikit rasanya lepas mandi ni.” Sue membalut kepalanya dengan tuala. Bath robe diikat kuat sebelum dia melemparkan badan ke atas katil.
“Rasa lapar pulak. Sue, Al...jom makan nak?”
            “Boleh juga. Aku pun lapar ni.”
            “Al, pergilah mandi cepat. Kita pergi makan,” gesa Ria.
            Alyah mengeleng. Dia bangun dari kerusi lalu mencapai tuala di atas katil. “You girls go ahead. Aku tak lapar. Lagipun aku sakit kepala ni. Lepas mandi, aku nak terus tidur.”
            Alyah memenuhkan tab mandi dengan air panas. Haruman Lavender yang dibawa dalam beg toiletries dititiskan ke dalam tab. Sementara menunggu tab penuh, dia merenung wajahnya di dalam cermin muka di hadapan sinki. Kusam dan nampak sangat tidak bermaya. Sakit kepalanya makin terasa. Dia membasuh mukanya berkali-kali. Botol aspirin yang sentiasa di dalam beg dicapai. Dua biji aspirin dikeluarkan lalu ditelan.
Minggu ini terasa sangat panjang dalam hidupnya. Semenjak Ria mencadangkan dia mengikuti reunion ini, hidupnya mula tidak tenteram. Tidur malamnya sering terganggu dengan mimpi yang bukan-bukan. Fikirannya mula dihantui kenangan silam yang selama ini sudah dibuang jauh-jauh. Dia menarik nafas dalam-dalam sebelum melangkah ke arah tab mandi.
Pakaiannya yang sudah lembab dilucutkan satu persatu. Kemudian dia melangkah masuk ke dalam tab. Kakinya dilunjurkan. Sehelai tuala yang dilipat tiga kali diletakkan di bahagian kepala sebagai alas kepalanya. Dia berbaring di dalam tab. Setelah selesa, dia menutup mata dan wajahnya dengan sehelai tuala kecil. Haruman lavender mula terasa mendamaikan. Fikiran Alyah mula melayang...
***
Lauk daging masak lemak cili padi disudu ke dalam pinggan. Ayam goreng yang masih panas dicapai seketul. Sayur kangkung goreng ikan masin turut dicedok ke dalam pinggannya yang penuh dengan nasi.
“Weh, bawa bertenang. Jangan gelojoh sangatlah.” Tegur Jamie sambil ketawa. Geli hati pula dia melihat Khairul makan seperti tidak ingat dunia.
“Sedap ni. Dah dua kali aku tambah.” Puji Khairul dengan mulut yang penuh.
“Buruk betul perangai!”
“Tadi siapalah agaknya ya yang keberatan sangat nak datang sini?” Perli Ria diikuti ketawa rakan-rakannya.
Khairul sekadar menjeling. Malas hendak bertegang urat. Lebih baik dia menikmati makanan yang enak ini.
“Betul ke Alyah tak nak makan?” soal Sham.
“Betul. Tadi kami ajak dah. Dia kata lepas dia mandi, dia nak tidur je. Kepala tengah sakit.” balas Sue.
“Kau orang bungkuskan sahajalah untuk dia.”  Sham mengeluh. Ikutkan hati mahu sahaja dia mencari gadis itu di bilik. Namun dia tidak mahu mengeruhkan lagi hubungan mereka yang sedia keruh itu.
“Kau orang perasan tak, Alyah tu nampak semacam je hari ni,” ujar Sue.
Khairul berdesit kuat. “Sengaja nak tarik perhatianlah tu. Macam korang tak biasa.”
“Isyhh...kau ni. Tahulah mulut tu ada insuran tapi beragaklah pun kalau nak melaser!” Bidas Sue.
“Sebenarnya aku pun perasan. Tapi bukan setakat hari ni je. Sepanjang minggu ni, memang dia lain macam sangat. Tidur malam asyik meracau. Lepas tu badan asyik letih. Kepala selalu sakit. Waktu siang, asal ada masa terluang dia mesti tidur. Tapi tak delah seteruk kejadian dekat hentian rehat tadi.” ujar Ria sambil menguap. Sue di sebelahnya pun turut sama menguap.
“Dia tak sihat ke?” tanya Jamie yang cuba menahan mata dari terlelap.
“Entah. Setahu aku dia ok je.”
“Mungkin sebab dia tahu kita semua akan berjumpa semula, perasaan dia jadi tertekan?” Tebak Sham. Matanya jadi berat tiba-tiba.
“Agaknya...” Balas Ria perlahan. Entah kenapa tiba-tiba dia terasa mengantuk sangat.
“Aku rasa mengantuklah. Aku naik dululah...” ujar Jamie seraya bangun dari kerusi. Namun belum sempat dia melangkah, dunianya tiba-tiba menjadi gelap. Dia jatuh terjelepuk di atas lantai.
“Jamie!” Sue cuba memaut tubuh tunangnya namun baru sahaja dia mahu mengangkat punggung, kepalanya terasa berpinar. Dia kembali terduduk lalu mukanya tersembam ke atas meja.
“Sue...” Namun belum sempat dia habis bersuara, Ria dah terkulai di sisi Sham.
“Ria...Ria...” Sham mengoncang bahu Ria berkali-kali namun matanya terasa kelat. Dunianya terasa berpusing-pusing.
“Khai...” Sham cuba meminta bantuan Khairul tapi pandangannya tiba-tiba jadi gelap dan terus dia tidak sedarkan diri...
Khairul yang asyik mengunyah, pelik melihat rakan-rakannya yang tiba-tiba tertidur di hadapannya.
“Kau orang ni kenapa?”
“Mereka mengantuk sangat agaknya. Sudahlah biarkan mereka. Nah, aku masakkan ketam goreng cili untuk kamu.” Sepinggan ketam goreng cili yang berasap-asap diletakkan Mak Yam di atas meja. Bagai orang yang kerasukkan, Khairul terus mencapai ketam tersebut. Kemudian Din tiba dengan membawa sepinggan udang goreng cili lalu diletakkan di hadapan Khairul. Pantas udang itu disambar Khairul. Selepas itu, satu persatu masakan yang menyelerakan diletakkan di hadapannya. Tanpa memperdulikan rakan-rakannya yang tidak sedarkan diri, Khairul terus melahap semua makanan itu.

Di sisinya, Mak Yam dan Din saling berpandangan dengan riak wajah sedih....