Followers

Google+ Followers

Tuesday, February 11, 2014

Rahsia ~ Bab 4

When all this time I've been so hollow inside
I know you're still there

Sesat
Hujan lebat yang tiba-tiba turun mengiringi perjalanan mereka. Di dada langit, petir dan kilat saling menyambar. Sudah hampir tiga jam mereka meninggalkan hentian sebelah tadi. Alyah sudah kembali bertenang. Dia sudah bertukar tempat dengan Ria. Dia menjadi terlalu takut untuk duduk bersebelahan dengan tingkap. Jamie kembali ke tempat pemandu kerana Sham ingin berada di belakang untuk menemani Alyah. Walaupun dia tidak berada betul-betul di sisi si gadis, namun dia kerap menoleh ke belakang untuk memeriksa keadaan Alyah.
Sejak kejadian tadi tidak seorang pun yang bersuara. Masing-masing mendiamkan diri. Ada perasaan kurang senang di hati masing-masing. Yang kedengaran kini hanya alunan lagu klasik dari corong radio yang dibuka perlahan.
Damn! Radio zaman bila kau buka ni, Jamie?” Suara Khairul memecah kesunyian. Tangannya terus memicit butang di radio untuk mencari siaran lain. Namun tiada satu siaran pun diperolehi kecuali siaran radio klasik tadi. Selebihnya hanya bunyi statik yang kedengaran. Sudahnya radio terus dimatikan Khairul. Keadaan kembali hening di antara mereka. Perasaan kurang senang tadi kembali muncul di hati masing-masing.
Guys...aku rasa semacamlah.” Akhirnya Ria bersuara.
“Kau ni apahal pulak?” Tinggi suara Khairul menyoal.
“Dah lebih tiga jam kita memandu. Kau tak rasa pelik ke?”
“Apa yang peliknya? Kau jangan nak bukan-bukanlah Ria. Cukuplah seorang aje macam itu. Dah macam orang gila pulak aku tengok!” Sindir Khairul.
Shut up, Khairul!” Marah Sham.
“Ahh...blah lah lu. Tak payah nak tunjuk baik sangat.  Bro, bawa beringatlah. Dia tu tak pedulikan kau pun sebenarnya!”
“Kau ni apa hal, hah?”
“Aku cuma nak mengingatkan kau aje. Jangan nak cepat sangat angau. Orang dah tak sudi tak payah nak sorong-sorong pipi. Jangan jadi dayus, bro!”
“Eh, Khairul. Diamlah. Mulut kau ni kan mengalahkan mulut perempuan, tau tak?” Sue menyampuk.
“Alah, engkau orang pun rasa apa yang aku rasa. Cuma tak berani nak cakap je. Aku hairan, yang engkau orang beriya sangat nak berbaik dengan dia kenapa? Weh, orang tak ingin, tak payahlah terhegeh-hegeh.  Kita ini kan jahat. Dia aje yang baik. Tak sedar diri, dia tu pun kotor jugak!”
“Khairul!” Suara Sham meninggi. Kalau tak sebab mereka di dalam kereta, dah lunyai Khairul dia kerjakan.
Alyah di belakang hanya menjadi pendengar. Kepalanya terasa berdenyut. Badan dan mindanya tiba-tiba terasa letih. Semangatnya dah hilang. Dia dah hilang tenaga untuk bersuara.
Rakan-rakannya masih terus berbalah. Segala kata nista dari Khairul ibarat angin lalu padanya. Cakaplah apa pun. Dia sudah tidak peduli. Lagipun sejak dari dulu lagi Khairul memang terkenal dengan sikapnya yang suka lepas cakap.
“Woi, diamlah!” Tiba-tiba Jamie bertempik. Jejaka kacukan Cina/India itu jarang meninggikan suara tapi bila sekali dia bertempik, mereka yang lain tidak berani berbunyi.
“Aku rasa kita dah sesat.” Beritahu Jamie.
“Hah? Sesat? Jangan main-main, sayang. Kita dekat highway ni. Macam mana boleh sesat pulak?”
“Itu I tak tahu tapi korang  tengoklah sendiri. Dah lebih tiga jam kita memandu. Sebiji kereta pun kita tak nampak. Sepatutnya setiap 60km kita akan jumpa kawasan rehat. Ini dah lebih 60km, satu kawasan rehat pun aku tak nampak.”
“Bro, this is not funny ok!”
“Kau nampak aku tengah buat gelak ke Khairul?”
Di luar hujan semakin lebat. Tiba-tiba kereta Jamie tersengguk-sengguk.
“Ni apahal pulak ni?” Khairul dah membentak geram.
“Aku tak tahu. Tiba-tiba je...” Keadaan kereta semakin teruk. Jamie terus memandu ke bahu jalan. Tiba-tiba enjin keretanya mati. Jamie cuba menghidupkannya kembali namun tidak berjaya.
“Shit! Apahal pulak kereta ni?” Pekik Jamie. Yang lain sudah mula cemas.
“Sayang, you tak servis kereta ni dulu ke tadi?”
“Jangan tanya soalan bodoh boleh tak? Selama ni, pernah ke you tengok I ambil lewa hal-hal penjagaan kereta ni?” Soal Jamie kasar. Hilang sudah panggilan sayangnya. Sue terus tersentap.
“Aku nak keluar tengok.” Ujar Jamie. “Ria, tolong capai lampu suluh bawah tempat duduk kau.”
“Kau serius ke? Hujan lebat tu Jamie.” Ria menghulurkan lampu suluh ke hadapan.
“Habis tu takkan nak duduk je kat dalam ni?” Jamie terus membuka pintu kereta.
“Aku ikut kau.” Kata Sham seraya membuka pintu.
“Sham...” Seru Alyah.
Sham menoleh ke arah Alyah yang nampak risau. Dia tersenyum nipis.
“Saya temankan Jamie sekejap. Jangan risau, ok?”
Dari dalam kereta, mereka melihat Sham dan Jamie membelek enjin. Ria mengeluarkan telefon. Dia mendecit perlahan.
“Kenapa?” Tanya Sue.
“Aku nak cuba telefon PLUS Ronda tapi tak ada signal. Cuba telefon kau pula.”
Sue mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia mendengus kasar. “Sama. Khairul, cuba kau tengok telefon kau. Al, you too.”
Beberapa saat kemudian terdengar suara Khairul menyumpah. “Kat kawasan jin bertendang mana kita ni? Signal telefon pun tak dapat!”
“Aku punya pun tak ada.” Beritahu Alyah.
Tidak lama kemudian Jamie dan Sham kembali ke dalam kereta dengan keadaan basah kuyup.
“Apa yang tak kena?” Tanya Ria.
Sham mengeleng. “Kami tak jumpa apa-apa rosak pun. Kita cuba telefon mekanik atau PLUS Rondalah.” Sham mengeluarkan telefon bimbitnya. Skrin telefon ditatap. Perkataan ‘No Network Coverage’ membuatkan semangatnya jatuh.
“Kami semua dah cuba tadi tapi tak dapat signal.” Beritahu Sue.
“Aku punya pun.” Ujar Jamie di hadapan.
“Now what?” Tanya Sue.
Mereka terdiam. Semuanya ligat memikirkan apa yang patut dilakukan.
Hati Alyah bagai ditarik-tarik untuk memandang ke luar. Hujan yang lebat membuatkan daya penglihatannya sedikit terbatas. Namun dalam samar-samar cahaya dari lampu kereta Jamie, dia ternampak sebuah papan tanda berhampiran mereka. Dirinya masih lagi diselebungi rasa takut, namun hatinya meronta-ronta mahu melihat apa yang tertulis di atas papan tanda itu.
“Mana lampu suluh tadi?” Soalnya.
Sham yang memegang lampu suluh itu menoleh ke arahnya. “Kenapa?”
“Bagi saya sekejap.” Pinta Alyah. Lambat-lambat Sham menghulurkan lampu suluh kepada Alyah. Risau kalau gadis itu bertindak bukan-bukan.
Alyah membuka sedikit tingkap kereta. Lampu suluh disorotkan ke arah papan tanda yang sederhana besar yang dilihat tadi. Perkataan ‘HOTEL’ dengan tanda anak panah ke kiri yang tertera di atas papan tanda itu membuatkan hatinya sedikit lega.
“Pelik. Kat tempat macam ini pun ada hotel?” Ria bersuara hairan. Bukan sekali dua dia melalui lebuhraya ini. Belum pernah pula dia nampak papan tanda itu.
“Mungkin hotel baharu.” Alyah membuat andaian. “Aku rasa baik kita ke sana. Mungkin boleh minta bantuan.” Dia memberi saranan.
“Apa? Kau dah gila ke? Entah betul ke entah tidak ada hotel kat situ. Entah-entahkan itu papan tanda lama. Aku tak setuju! Kita tunggu je kat dalam kereta sampai ada kereta lain lalu!” Bantah Khairul.
“Kalau tak ada kereta lalu?”
“Alah, takkan lah tak ada seorang pun rakyat Malaysia ni yang tak ke Penang. Mesti ada yang lalu nanti!”
“Tapi dari tadi memang tak ada sebuah kereta pun yang kita jumpa...” Ujar Sue perlahan.
“Ahh...Kau diamlah!” Marah Khairul.
Watch your mouth, Khairul!” Jamie memberi amaran. Angin pula dia dengan perangai baran Khairul.
“Sudahlah tu. Macam ini sajalah. Kita tunggu sekejap. Kalau masih tak ada juga kereta yang lalu, kita ikut cadangan Al. Setuju?” Sham cuba berdiplomasi. Lama mereka berdiam diri sebelum masing-masing menganguk setuju.
***
“Aku dah tak kuasa nak tunggu. Aku nak pergi hotel tu!” Alyah mencapai beg sandangnya. Sementara mereka menunggu tadi, dia telah mengambil bebeapa beberapa keperluan asas dan dua helai t-shirt miliknya dan diisi ke dalam beg sandangnya.
“Al...” Sham cuba menghentikan niatnya untuk membuka pintu.
No! Kita dah setuju tadikan. Kalau tak ada kereta yang lalu, kita akan pergi hotel tu. Dah dekat dua jam kita tunggu. Nak tunggu apa lagi? Hujan semakin lebat. Hari dah makin lewat. Kalau engkau orang nak berkhemah dalam kereta ni, silakan. Aku nak ke hotel tu, cari telefon dan dapatkan bantuan. Lepas tu aku nak balik KL terus. Lupakan sajalah reunion bodoh ni!” Tangan Sham ditepis lalu pintu kereta dibuka.
“Alyah...tunggu! Ok, kita pergi.” Sham menoleh ke arah rakan-rakannya yang lain.
She’s right. Takkan kita nak terus tunggu dekat sini. Lagipun tempat ni sunyi. Bahaya juga kalau kita terus duduk di sini. Baik kita ke hotel tu. Dapatkan bantuan.”
“Aku setuju. Sue, let’s go. Ambil sehelai dua baju untuk ganti nanti.” Ujar Jamie sambil mencabut kunci keretanya. Dokumen-dokumen penting di dalam dashboard turut dicapai, bimbang jika ada pencuri melalui jalan ini nanti.
“Korang yakin ke ada hotel dekat situ?” Khairul masih dengan sikap skeptikalnya. “Kalau tak ada, bukan ke buang masa sahaja?”
Sham menarik nafas dalam-dalam. Dia sudah mula bosan dengan perangai Khairul yang hanya tahu bersungut sejak tadi.
“Kita cuba dulu, Khairul. Kalau tak cuba, mana kita nak tahu. Macam ini sahajalah. Kalau kau tak nak ikut, kau duduk sini. Kalau agak-agak kau ternampak siapa-siapa lalu, tahan dan kalau ada rasa perkemanusian dalam diri tu, kau carilah kami dekat dalam sana.” Balas Sham sinis.
Ria dan Sue sembunyi senyuman. Jamie hanya ketawa kecil.
“Macam mana? Kalau kau nak tinggal, aku nak tinggalkan sahaja kunci kereta ni...” Tanya Jamie sambil mengoyang-goyangkan kunci kereta di depan mata Khairul.
Khairul mengetap gigi menahan geram. Matanya mencerlung memandang Alyah sabar berdiri di dalam hujan. Ni semua perempuan gila ni punya idea! Gumam hatinya geram. Kunci kereta yang beralun-alun di depan mata di tepis kasar. Pintu kereta terus dibuka.
“Kalau jadi apa-apa, semuanya salah kau!” Jarinya dihalakan tepat ke wajah Alyah. Rasa bencinya pada gadis itu kembali meluap-luap.
***
Mereka meredah hujan mendaki jalan bertar yang sedikit berbukit. Sepuluh meter daripada papan tanda HOTEL tadi, ada sebuah lagi papan tanda yang tertulis 200 meter. Mereka semua membuat andaian hotel tersebut berada 200 meter ke dalam. Namun perjalanan mereka dirasakan sudah terlalu lama. Rasanya sudah melebihi had 200 meter yang tertulis.
Sampai di sebuah simpang tiga, Khairul menjerit. “Berhenti...berhenti. Aku penat!” Khairul menumbuk-numbuk dadanya yang terasa sesak. “Aku dah cakap, hotel tu tak ada, engkau orang degil. Sekarang kan dah menyusahkan diri sendiri!”
Mereka terdiam. Kata-kata Khairul walaupun pahit namun terpaksa mereka telan. Tadi sewaktu melihat jalan menuju ke dalam elok bertar, mereka menyangkakan hotel itu pasti wujud. Namun semakin jauh mereka ke dalam, rasa teruja untuk melihat hotel itu makin kurang. Kiri kanan mereka hanya terdapat hutan. Mujur hujan lebat, jadi telinga mereka tidak dapat menendgar apa-apa bunyi unggas atau haiwan yang menjadi penghuni hutan itu.
Alyah menghela nafas panjang. Dia tahu, mata rakan-rakannya tertumpu padanya kini. Idea untuk mencari hotel itu datang daripadanya. Kalau ada apa-apa yang tidak elok terjadi, memang wajar dia dipersalahkan.
“Kita patah balik ajalah.” Ria membuat cadangan. Gerun pula dia berada di tengah-tengah hutan yang gelap gelita ini.
Alyah ingin membantah. Entah kenapa, hatinya kuat mengatakan hotel itu ada. Cuma mereka perlu lebih bersabar sahaja. Tiba-tiba telinganya menangkap satu bunyi. Sayup-sayup sahaja kedengaran di dalam hujan.
“Shhh!” Alyah memberi isyarat agar rakan-rakannya diam.
“Korang dengar tak?” Telinganya cuba mencari arah bunyi yang kedengaran.
Sham, Jamie, Khairul, Ria dan Sue saling bertukar pandang. Pelik dengan tingkah Alyah. Alyah tiba-tiba melangkah ke arah simpang di sebelah kanan mereka.
“Alyah...” Panggil Sham. Tangan gadis itu cuba digapai tetapi gagal. Alyah terus melangkah laju ke dalam. Mahu tidak mahu, mereka terpaksa mengikut Alyah.
Semakin ke dalam dia berjalan, semakin jelas bunyi yang didengari tadi.
‘Kenapa bermain cinta...manis di mulut sahaja...nanti di suatu masa...kau kan terasa...’
“Korang dengar kan?” Tanya Alyah teruja.
Muka mereka mula ceria sebaik sahaja terdengar apa yang didengari Alyah. Semakin jelas di telinga mereka lagu klasik yang sedang berkumandang di udara. Mereka tidak pasti adakah lagu itu datang dari hotel yang dicari atau rumah orang. Sekurang-kurangnya melalui lagu itu, mereka tahu ada manusia yang menghuni kawasan itu.
Mereka terus bergerak mengikut arah lagu itu. Tidak sampai 50 meter mereka berjalan, akhirnya mereka menarik nafas lega. Mahu sahaja mereka menjerit gembira. Kini di hadapan mereka tersergam sebuah bangunan dua tingkat yang sederhana besar. Perkataan Inapan Setanggi terukir indah di dinding hadapan hotel tersebut. Tingkap-tingkap kayu di bahagian atas tertutup.
 Mereka memerhatikan kawasan sekeliling hotel yang agak menyeramkan itu. Kalau tidak disebabkan lagu yang kedengaran dari dalam hotel dan kehadiran beberapa buah kereta di hadapan hotel, hampir sahaja mereka menyangkakan ini bangunan tinggal.
“Korang bau tak?” Tanya Jamie tiba-tiba. “Wanginya...”
“Bau apa tu?” Soal Ria. Pandangan mereka serentak menghala ke arah pohon rendang di hadapan hotel. Perasaan pelik mula dirasakan bila melihat bunga-bunga cempaka putih berkembang melitupi pohon itu. Dalam hujan yang lebat begini, tiada sekuntum pun bunga cempaka yang jatuh ke tanah.
 “Creepy...” Bisik Sue perlahan.
“Shh...mama aku pesan, kalau nampak benda pelik-pelik jangan tegur!” Balas Khairul dari celah gigi. “Weh, kita tunggu apa lagi ni? Jomlah masuk!”

Ria mencapai tangan kanan Alyah. Sue pula memegang kuat lengan kiri Alyah dan untuk kali ini, Alyah tidak menepis. Dia juga perlukan sedikit keberanian untuk mendekati hotel itu. Sham, Jamie dan Khairul yang berada di hadapan mula mengatur langkah.