Followers

Google+ Followers

Friday, February 7, 2014

Rahsia ~ Bab 3

I know well what lies beyond my sleeping refuge
The nightmare I built my own world to escape


Dia

Mereka kembali meneruskan perjalanan selepas berhenti rehat di R n R tadi. Kali ini Sham mengambil giliran memandu. Jamie sudah beralih tempat dengan Khairul. Dia kini duduk di sebelah Sue dan sedang asyik berbual dengan gadis yang berasal dari Sarawak itu. Alyah masih lagi seperti tadi. Duduk diam di bahagian belakang melayan perasaannya. Ria di sebelah khusyuk bermain game Candy Crush Saga.

“Aduh...” Sue mengaduh tiba-tiba.

“Kenapa, sayang?” Alyah terdengar Jamie bertanya. Dalam gelap dia mencemik mendengar panggilan mesra Jamie pada Sue.

“Sakit perut...” Balas Sue manja.

“Pulak? Salah makan ke?”

“Tak tahu sayang, cari tandas. Sakit sangat ni...”

“Sabar ya, sayang. Sham, berhenti dekat hentian depan tu nanti. Sue nak pergi tandas.”

Alyah mendengus perlahan. Geli telinganya mendengar perbualan Sue dan Jamie. Ria yang terdengar dengusannya terus mencuit lengannya lalu memberi isyarat agar Alyah tidak bersuara. Alyah hanya menjeling menyampah.

“Aduh, sayang...sakitnya.” Sue mula merengek.

“Hold on, sweetie. Sekejap lagi kita sampai.”

“Sakitlah, sayang...” Rengek Sue lagi.

“Kau merengek-rengek sakit, bukannya tandas tu boleh tiba-tiba muncul depan mata. Sabar sikit tak boleh?” Tempelak Alyah yang sudah meluat melihat perangai Sue. Dari dulu sampai sekarang, mengada tak habis-habis. Tak berubah-ubah! Ngomelnya dalam hati.

Sue terus terdiam. Jamie sudah menjeling Alyah tidak puas hati. Geram bila tunang tersayang dimarah bagai budak kecil. Mahu ditempelak namun Sue menghalang. Ria yang terkejut dengan sikap Alyah terus menampar paha Alyah perlahan. Matanya dijengilkan tanda tidak puas hati.

“Laa...boleh rupanya bercakap. Aku ingat dah bisu...” Perli Khairul selamba. 

Alyah memandang ke hadapan. Baru sahaja dia hendak buka mulut membalas kata-kata Khairul, Ria sudah memegang lengannya. Kepalanya digelengkan. 

“Sudahlah tu. Jangan nak panjangkan benda kecil. Kita nak bersuka-suka ni kan? Don’t spoil the mood, please?”

Then you shouldn't have persuaded me to come in the first place, Ria.”

Ria menarik nafas dalam. “Aku beri kau pilihan tadi, Al. Kau boleh balik atau ikut kami. You make your own choice. Bukan aku atau sesiapa yang paksa.”

Alyah terdiam. Dia mengigit bibir menahan geram. Ya, dia yang buat keputusan dan kini dia dah mula menyesali keputusan yang dibuat.
***
Mereka berhenti di sebuah hentian sebelah yang hanya mempunyai tandas dan ruang letak kereta yang terhad. Tiada kenderaan lain yang berada di tempat itu kecuali mereka dan sebuah lori menjual air dan buah-buahan. Sebaik sahaja kereta di parking, Sue terus keluar meluru ke tandas ditemani Ria dan Jamie. Khairul keluar meregangkan badan. Yang tinggal di dalam kereta kini hanya Sham dan Alyah.

“Sampai bila nak macam ini?” Soalan Sham memecah kesunyian antara mereka.

Alyah hanya memandang Sham sekilas. Soalan Sham dibiarkan tidak berjawap. Tumpuannya dihalakan kepada lori menjual air dan buah-buahan yang diletakkan di bawah sebatang lampu jalan berhampiran mereka. Kelihatan seorang lelaki tua sedang sibuk menyusun buah-buahan yang ada dalam lorinya. Perasaan hairan mengetuk pintu hati. Alyah memeriksa jam di tangan. Sudah hampir 10.30 malam. Masakan sudah selewat ini masih ada lagi orang berniaga buah-buahan? Setahu dia, peniaga-peniaga yang berniaga di kawasan hentian sebelah hanya berniaga hingga lewat petang sahaja.

Tiba-tiba kereta terasa bergegar. Alyah menjerit perlahan kerana terkejut. Matanya mencerlung memandang Sham yang sudah berdiri di luar. Rupanya Sham yang menghempas pintu kereta. Barangkali geram bila Alyah tidak memperdulikan dia. Sham memandangnya tajam dan pandangan itu seperti tadi, membuatkan dia sedikit gerun. Cepat-cepat dia mengalihkan pandangannya ke arah lori menjual buah dan air tadi.

Dari dalam kereta dia melihat Jamie sudah berada di sebelah lori tersebut. Di tangannya ada sebotol air mineral yang baru dibeli dari lelaki tua tadi. Di belakang Jamie kelihatan seorang gadis yang memakai sepasang kurung cotton warna biru lembut lengkap bertudung litup sedang berdiri membelakanginya. Alyah memandang sekeliling cuba melihat kalau-kalau ada kenderaan lain yang baru tiba namun tidak kelihatan. Dia kembali memandang ke arah Jamie.

Tiba-tiba badannya mengigil. Bibirnya terketar-ketar. Kedua belah tangannya menekup mulut. Matanya membulat. Darahnya bagai sudah disedut keluar. Degupan jantungnya menjadi deras. Kalau dia berdiri pasti dia sudah terkulai jatuh kerana lututnya terasa begitu lemah kini. Dia ingin mengalihkan pandangan namun semakin dia mencuba semakin galak matanya merenung gadis di belakang Jamie tadi. Gadis yang kini sudah pun berdiri tegak mengadapnya. Wajah gadis itu sudah jelas kelihatan. Walaupun jarak mereka agak jauh, namun Alyah dapat merasakan pandangan gadis itu menghala ke arahnya.

“Mama...” Sekali lagi panggilan itu kedengaran. 

Alyah mengigil ketakutan. Suara itu kali ini jelas kedengaran di telinganya. Kali ini dia yakin, dia tidak tersalah dengar. Dia berpusing mencari arah suara itu. Namun yang kelihatan hanya pokok-pokok yang di tanam di sekitar kawasan hentian itu.

“Mama...mama...marilah dekat baby...” Alyah menekup telinganya. Dia jadi takut mendengar suara itu. Entah kenapa, matanya kembali memandang ke arah gadis tadi. Dia menjerit perlahan bila dia melihat gadis itu sudah berdiri di sebelahnya dan sedang menyeringai ke arahnya. Tak mungkin...tak mungkin itu dia!

“Mama...” Panggil suara itu lagi. Alyah mengeleng laju. Telingannya ditekup lebih kuat. Matanya dipejamkan.

“Diam...diam...diam!”

“Mama...” Seru suara itu diikuti dengan ketawa.

“Diam!” Jerit Alyah kuat. 

Cermin tingkapnya diketuk kuat. Dia masih terus menekup telinga dan menutup mata. Kereta tiba-tiba bergegar. Tiba-tiba dia terasa ada tangan kasar sedang memegang bahunya. Jeritan Alyah bertambah kuat. Dia meronta-ronta minta dilepaskan.

“Lepaskan aku! Lepaskan aku!” Dia menolak-nolak tangan yang mengenggam bahunya. Dia mula menangis ketakutan.

“Alyah! Hei! Bawa mengucap! Nurul Alyah!”

Pang! Pipinya tiba-tiba terasa perit. Alyah membuka matanya. Wajah Sham muncul di depan mata.

“Sham?” Sebutnya perlahan.

Sham mengangguk. Kedua-dua belah pipi Alyah dipegang. 

“Awak kenapa?” Tanya Sham lembut.

Alyah memandang sekeliling. Suara tadi sudah tidak kedengaran. Wajah gadis yang menakutkan tadi sudah hilang. Yang kelihatan kini adalah wajah rakan-rakannya yang sedang merenungnya pelik. Alyah menangis. Bibirnya bergetar menahan rasa. Tanpa sedar, tubuh Sham dirangkul, cuba untuk mencari ketenangan di dalam pelukan bekas teman lelakinya itu. Dia menangis semahunya.

“Shhh...it’s ok. I’m here.” Pujuk Sham sambil mengusap belakang Alyah.

“Al takut...” Bisik Alyah perlahan.

“Jangan takut. Sham ada.”

“Dia datang, Sham...Dia datang balik...”

Sham berkerut hairan. Pelukannya dilonggarkan. Wajah Alyah yang masih tersembam di dadanya dipandang lama. 

“Siapa, Al? Siapa yang datang balik?”

Tangisan Alyah kembali kuat. Tangannya memeluk kuat tubuh Sham. Tubuh Alyah bergetar kuat. Jelas kelihatan yang dia sedang ketakutan.  Semua itu membuatkan perasan ingin tahun Sham bertambah kuat. 

“Al? Siapa?”

Dalam esak tangisnya, Alya menyebut satu nama. Nama yang sudah lama mereka lupakan. Nama yang membuatkan mereka semua terkesima. Nama yang tiba-tiba membuatkan kesemua mereka mula berasa takut.

“Haliza...”