Followers

Google+ Followers

Tuesday, January 28, 2014

Rahsia ~ Prolog

Nak mengelakkan blog bersawang. AMARAN : This is not a love story. No sweetness-overdose-angau-overload scenes will appear. Sesiapa yang nak lari dari kisah cinta, jemput baca. Cerita pendek je ni. Ada 9 bab sahaja. :P
----


Will You Still Love Me Tomorrow

***
Inapan Setanggi

            Nafas lega ditarik sebaik sahaja kaki mereka memijak dua baris tangga bangunan dua tingkat itu. Badan mereka sudah lencun dibasahi hujan yang lebat menggila diiringi dengan angin kuat yang muncul tiba-tiba. Tubuh masing-masing menggigil menahan sejuk yang mencucuk hingga ke tulang. Langkah diatur laju memasuki pintu hotel yang terbuka luas. Masing-masing mengharap mendapatkan sedikit kehangatan bila berada di dalam.

            Langkah kaki terhenti tersendiri bila sahaja semuanya berada di bahagian dalam. Wajah masing-masing nampak terpegun melihat pemandangan di hadapan mata. Dari luar tadi bangunan itu kelihatan sederhana sahaja besarnya namun apa yang dilihat kini berbeza sungguh dengan tanggapan awal mereka. Mata mereka memandang keadaan sekeliling lobi hotel tersebut yang besar dan luas. Walaupun keadaan di luar tadi nampak sedikit mengerunkan kerana lampu yang terpasang di bahagian luar malap cahayanya, tetapi suasana di bahagian dalam berbeza sekali. Ruang lobi tersebut meriah dilimpahi cahaya lampu.

            Hiasan dalamannya nampak klasik seperti binaan arkitekur di luar tadi. Sekali pandang terasa seperti berada di dalam filem klasik 60-an. Perabot-perabot kebanyakkannya diperbuat daripada kayu dan rotan. Dinding hotel dihiasi foto-foto pemandangan kawasan desa dalam warna hitam putih. Lantainya dari parket bercorak geometri. Silingnya diukir dengan corak-corak bermotif bunga dan awan larat. Limpahan cahaya dari lampu chandelier yang tergantung di tengah-tengah lobi menaikkan lagi kesan corak di atas siling tersebut.

            Bahagian lobi tersebut terbahagi kepada dua bahagian yang dipisahkan dengan sebuah grand stairs yang diperbuat daripada kayu yang nampak mahal di mata mereka. Di sebelah kanan lobi terletak sebuah kaunter reception. Di hadapannya terdapat set kerusi dan meja yang diperbuat daripada rotan. Mungkin digunakan sebagai tempat menunggu oleh pelanggan yang mahu mendaftar masuk dan keluar.

            Di sebelah kiri terdapat dua set kerusi dan meja kayu. Satu set terletak di bahagian hadapan berdekatan dengan pintu. Satu bahagian lagi di bahagian belakang berhampiran dengan tangga. Di atas meja terdapat beberapa majalah dan suratkhabar yang elok tersusun. Terdapat sebuah peti jukebox lama turut diletakkan di tepi dinding. Barulah mereka tahu dari mana datangnya lagu-lagu lama yang sejak tadi kedengaran.

            “Macam dah termasuk twilight zone pula rasanya.” Ujar Khairul.

            Yang lain-lain sekadar mendiamkan diri. Masing-masing takut bersuara. Ada satu perasaan halus yang tiba-tiba menjalar dalam diri. Tengkuk masing-masing sudah meremang namun demi menyedapkan hati dan perasaan sendiri semua menganggap itu kesan daripada kesejukkan berhujan tadi.

            Lagu di jukebox bertukar. Daripada lagu rancak beralih ke lagu yang kendengaran sayu. 

Khairul mendengus perlahan. “Dah macam duduk dengan arwah atuk aku pulak!” 

Dia cukup kenal lagu yang sedang berkumandang. Masakan tidak, sewaktu datuknya sedang sakit, rumah keluarga dia menjadi tempat tinggal baharu datuknya. Kegemaran datuknya mendengar lagu-lagu lama telah menyebabkan mereka terpaksa memasang lagu-lagu lama sepanjang masa. Dan lagu yang berkumandang itu adalah salah satu lagu kegemarannya.

            Tiba-tiba lampu yang terang benderang di lobi itu terpadam. Keadaan menjadi gelap gelita. Mereka melompat terkejut. Serentak dengan itu kedengaran bunyi pintu berdentam dentum. Pintu lobi yang terbuka luas tadi tiba-tiba tertutup. Rasa takut mula menyerang diri masing-masing. Yang perempuan sudah saling berpelukkan.

            “Stay close. Jangan berpecah.” Pesan Sham. Tangannya cuba memicit lampu suluh yang dibawa tadi namun tidak berjaya.

            “Shit! Masa ini jugaklah bateri nak habis!”

            “Apa kita nak buat ni? Takkan nak berdiri je dalam gelap ni?” Tanya Jamie.

            Sham meraba poket mencari pemetik api. Mujur poket jaketnya kalis air. Melalui cahaya dari pemetik api itu, dia mencari jalan untuk ke kaunter reception.

            “Engkau orang tunggu sini. Aku nak pergi kaunter tu, tengok kalau ada telefon.” Langkah diatur perlahan ke arah kaunter yang tidak berpenghuni tadi. Matanya cuba mencari telefon dalam samar-samar cahaya. Namun tidak kelihatan. 

            “Bro, ada tak?” Tanya Jamie.

            “Tak adalah.” Balas Sham. 

Pandangannya jatuh ke atas sebuah loceng yang terletak di atas kaunter. Tanpa berfikir lama, loceng itu dibunyikan dengan harapan pekerja hotel tersebut akan muncul. Berkali-kali loceng dibunyikan tetapi bayang seorang pun pekerja hotel itu tidak kelihatan. Dia mula hilang sabar. Kalau ikutkan hati mahu sahaja dibaling loceng itu ke dinding. Dia berpusing mengatur langkah kembali kepada rakan-rakannya.

            “Cari siapa?” Tegur satu suara wanita yang muncul tiba-tiba.

            Rakan-rakannya sudah menjerit terkejut. Sham terasa lemah lutut. Kakinya tiba-tiba menjadi lembik lalu dia jatuh terduduk. Takut-takut dia mendongak memandang wanita yang menegurnya tadi. Sebatang lilin yang dipegang wanita itu. Melalui cahaya lilin itu Sham dapat melihat wajah wanita itu. Cantik. Sukar untuk dia mengagak usia wanita berkebaya pendek itu. Untuk seketika, dia terpesona.

            Kemudian wanita itu menunduk memandangnya. Wajah yang cantik itu merenungnya tajam. Bibirnya menguntum senyuman manis. Namun lama kelamaan pandangan tajam itu nampak semakin mengerunkan. Senyuman di bibir sudah tidak semanis tadi. Jantung Sham berdegup pantas. Tengkuknya meremang. Badannya mengigil. Wanita itu kemudian mendekatkan wajahnya pada Sham. “Cari siapa?”