Followers

Google+ Followers

Thursday, January 30, 2014

Rahsia ~ Bab 1

Mimpi

Gelap. Sempit. Dia terasa lemas dan sesak nafas. Matanya cuba mencari walau sekelumit pun cahaya di dalam ruang itu namun pencarian sia-sia. Tiba-tiba telingannya menangkap satu bunyi yang aneh. Dia cuba mengamati bunyi besi yang berlaga sesame sendiri yang kedengaran. Dia berpusing-pusing di dalam kegelapan itu, mencari arah bunyi itu datang. Degupan jantungnya bertambah kencang apabila kini terdengar pula suara orang bercakap-cakap dan diikuti dengan suara tangisan yang mendayu-dayu.

“Bunuh dia!”

“Tapi dia tak bersalah!”

“Bunuh dia!”

Dan suara garau dan bunyi tangisan itu semakin lama semakin menghampirinya. Dia cuba berlari namun kakinya terasa  begitu berat seolah-olah ia dipasak ke lantai.

“Bunuh dia! Bunuh dia! Bunuh dia!” Suara itu kedengaran jelas di telinganya berselang-seli dengan tangisan yang mendayu-tadi.

Bingit dan memedihkan. Dia benci mendengar suara itu. Dia tidak sanggup mendengar suara tangisan itu. Entah kenapa, semua itu mengingatkan dia kepada sesuatu yang sudah sekian lama cuba dilupakan. Dia benci! Benci!

Dia mengangkat tangan, menutup kedua belah telinga, cuba untuk menghalang suara-suara-suara itu daripada terus menerpa deria pendengarannya. Matanya dipejamkan. Namun semakin kuat dia cuba menghalang, semakin kuat suara itu kedengaran malah dia dapat merasakan kedua belah tangannya sedang digenggam kuat oleh seseorang.

“Lepaskan aku! Lepaskan aku!” Dia menjerit kuat.

“Alyah! Hei, Alyah!” Tangannya cuba ditarik. Alyah terus mengeraskan tangan. Suara itu makin keras kendengaran.

“Alyah!”

“Lepaskan aku!” Jerit Alyah.

“Hei! Alyah! Buka mata kau!” Kali ini tubuhnya digoncang kuat.

“Alyah, bangunlah!” Sekali lagi badannya digoncang. Lebih kuat dari sebelumnya. Pipinya pula terasa ditampar-tampar. Keperitan mula terasa.

“Ya Allah, Ya Tuhanku! Alyah, bangun!” Pekik suara itu.

Perlahan Alyah membuka matanya. Tangan yang tadi kejap menutup telinga diturunkan perlahan. Pandangannya sedikit kabur. Wajah seorang gadis kelihatan di depan mata.

“Hei, kau ok ke?” Tanya gadis itu.

Alyah memejam celikkan matanya beberapa kali, cuba untuk mendapatkan pandangan yang lebih jelas. Beberapa ketika kemudian wajah gadis itu mula jelas kelihatan. Kulitnya putih bersih. Matanya sedikit sepet. Dahinya berkerut-kerut seolah-olah sedang kerisauan. Dengupan jantung Alyah yang deras tadi mula kembali normal sebaik sahaja dia mula mengecam wajah gadis di hadapannya.

“Ria?”

Gadis itu menghela nafas lega. Badannya yang sedikit membongkok tadi ditegakkan kembali.

“Dekat sini pun boleh tertidur? Siap mengigau lagi tu!”

“Tertidur?” Alyah memandang ke sekeliling. Dahinya berkerut hairan melihat pokok-pokok ru yang ada di sekitarnya.

“Kita dekat mana ni?”

Ria mengeleng. “Mamai lagi ya?”

“Hah?”

“Ya Allah dia ni! Hei, kitakan dekat depan universiti lama kita ni? We’re going on a trip, remember?”

Kolej. Trip. Alyah cuba mencerna signifikan perkataan-perkataan itu dengan dirinya. Matanya memandang kawasan taman yang agak luas itu. Matanya tertancap pada sebuah papan tanda berhampiran dengan pondok tempat dia berada kini. Universiti Tun Raha. Itu memang nama universitinya dahulu. Sedikit demi sedikit dia mula teringat sebab dia berada di sini. Dia akan mengikuti majlis perjumpaan semula rakan-rakan kolejnya.

Dia mengeluh perlahan. Disebabkan terlalu letih dia tertidur di pondok rehat di taman itu. Macam mana tak letih. Semalaman dia tidak dapat tidur semalam kerana menyiapkan laporan yang diperlukan untuk mesyuarat di pejabatnya pagi tadi. Kalau tidak kerana mengenangkan janjinya pada  Ria, memang dia sudah menarik diri dari aktiviti ini.

“Mana yang lain?” Dia mula berasa hairan bila rakan-rakannya yang tadi memenuhi kawasan taman itu sudah tidak kelihatan.

“Mereka dah pergi.”

Dahi Alyah berkerut. “Habis tu, kita?”

Ria tersenyum takut-takut. “Kita pergi dengan mereka.” Jari telunjuknya dihalakan ke arah tempat letak kereta berdekatan mereka.

Alyah menoleh. Serta merta darahnya tersirap bila melihat  empat invidu yang sedang berdiri bersebelahan dengan sebuah Vellfire berwarna putih. Alyah mendengus marah. Tanpa menunggu lama dia mencapai haversack  di sebelah.

“Aku nak balik.” Ujarnya mendatar.

“Al, janganlah macam ni. Kau dah janji kan?”

Mata Alyah merenung Ria tajam. Berang dengan kata-kata Ria.

“Aku janji nak ikut ke majlis itu sahaja. Bukan berjumpa dengan mereka!” Bentak Alyah.

“What do you expect, Alyah? Mereka tu pun kawan sekelas kita. Bila kau bersetuju nak hadiri reunion ni, kau patut tahu yang kau akan bertembung dengan mereka juga!” Tempelak Ria.

“Aku tahu mereka akan hadir tapi aku tak ingin nak jumpa atau dekat dengan mereka. Kalau di majlis tu nanti, pandailah aku nak larikan diri! You should know Ria how much I despise them!”

“I know! But for goodness sake, Al. It’s been seven years! Cukup-cukuplah tu kau membenci mereka. Fikir rasional sikit Alyah. Apa yang terjadi bukan 100% salah mereka. Kau pun ada silapnya. Tak patut kau terus menghukum mereka!” Bidas Ria.

“Tapi semua itu tak akan terjadi kalau bukan sebab mereka! Dan kau jangan lupa Ria, yang menanggung malu dan dosa untuk seumur hidup ni, aku. Aku, Ria. Aku yang menanggung seksa ni. Bukan mereka!” Ujar Alyah lirih.

Ria menarik nafas dalam. Wajah sedih Alyah dipandang sejenak sebelum pandangannya jatuh kepada wajah rakan-rakannya yang nampak sudah tidak senang menunggu.

“Alyah. Apa yang terjadi adalah takdir dari Tuhan. Kalau kau terus begini kau seolah-olah menyalahkan takdir Tuhan. Sudahlah Alyah. Jangan simpan lagi dendam tu. Ambil peluang ini untuk betulkan semuanya. Kalau kau rasa terseksa, kami juga rasakan benda yang sama Alyah. Kau dah lupa, all for one and one for all?” Soal Ria lembut.

Alyah terdiam. Masakan dia lupa kata-kata itu. Dia pernah melafazkan kata-kata itu satu masa dahulu. Tapi dia juga tidak lupa, kata-kata itulah yang membawa mereka kepada situasi mereka pada hari ini.

“Sekarang terpulang pada kau, Alyah. Kalau kau nak balik, silakan. Aku takkan halang lagi. Tapi aku harap sangat kau ikut sama ke majlis tu. Begitu juga dengan Jamie, Sue, Khairul dan Sham. Mereka semua rindukan kau. Gunakan peluang ni untuk hilangkan semua duka dalam hati kau tu. Beritahu mereka apa perasaaan kau sebenarnya. Jangan pendamkan terus hingga dalam hati, Al. Aku takut dendam tu akan jadi kanser yang bakal membunuh kau!” Ujar Ria tegas.

Beg pakaiannya dicapai lalu dia melangkah ke arah rakan-rakan mereka, meninggalkan Alyah yang masih lagi berbolak balik perasaannya.

Patutkah aku pergi? Benarkah semuanya akan kembali baik selepas ini? Tapi perasaan benci aku pada mereka terlalu dalam. Sukar untuk aku lupakan apa yang telah terjadi. Ya Tuhan, apa yang patut aku lakukan?